Terengganu bakal menghadapi satu lagi aksi mencabar pada hari ini bagi saingan ACC Shopee Cup musim 2024/2025 dengan pertemuan seterusnya membabitkan kelab itu menghadapi BG Pathum United.
Beraksi di gelanggang lawan, sudah tentu Sang Penyu menyedari akan ancaman lawan yang dianggap sebagai salah satu kelab gergasi kini di Thailand menerusi reputasi semasa mereka.
Malah, BG Pathum United kini juga berada di persada Kumpulan A bagi kejohanan ACC Shopee Cup yang menjadikan Terengganu perlu tampil berwaspada jika mereka ingin mendapatkan keputusan positif.
Selain itu, gergasi Thailand tersebut juga masih belum mencipta sebarang kekalahan sejak empat perlawanan lalu dihadapi yang menjadikan mereka tampil begitu bermotivasi untuk aksi hari ini.
Melihat pada aksi tersebut, jelas banyak persediaan dan fokus penuh perlu diberikan wakil dari Malaysia itu terutama sekali membabitkan beberapa pemain tonggak lawan.
Bagi aksi hari ini, Semuanya BOLA menyenaraikan tiga tonggak tumpuan BG Pathum United yang wajar diawasi Terengganu sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.
Raniel
Penyerang dari Brazil ini antara yang perlu diawasi sepenuhnya oleh pertahanan Terengganu ekoran ketajaman beliau sudah pun terbukti di saingan ACC Shopee Cup.
Sepanjang mengharungi 21 perlawanan bersama kelab berkenaan, Raniel sudah pun meledak enam gol bersama tiga bantuan jaringan termasuk di kejohanan tersebut.
Selain tajam, Raniel juga mempunyai keupayaan tinggi untuk meletakkan diri beliau di posisi tepat bagi menerima umpanan daripada rakan sepasukan dalam petak penalti.
Chanathip Songkrasin
Pemain bertubuh kecil ini tidak perlu diperkenalkan lagi buat semua peminat bola sepak di Asia ekoran impak telah diberikan beliau sewaktu menyarung jersi skuad kebangsaan Thailand.
Licik, mempunyai skil kawalan bola baik, dan kreatif menjadikan Chanathip sebagai satu senjata cukup berbahaya buat BG Pathum untuk pertaruhkan dalam mana-mana perlawanan.
Setakat ini, ‘Messi Jay’ telah pun merekodkan lima gol bersama sembilan bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 26 perlawanan dihadapi bersama pasukan tersebut.
Freddy Alvarez
Bekas pemain kebangsaan Costa Rica ini mampu untuk beraksi selaku pemain tengah serangan serta sayap kanan mengikut percaturan dibuat jurulatih pasukan itu.
Freddy dianggap sebagai salah seorang pemain berbahaya kerana keupayaan beliau untuk meledak gol dari pelbagai sudut serta mempunyai kekuatan fizikal cukup baik.
Rekod musim ini menyaksikan Freddy telah pun meledak tiga gol serta dua bantuan jaringan sepanjang bersama BG Pathum termasuk di saingan ACC Shopee Cup.