Tiga tonggak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ditandatangani sebelum ini iaitu Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez dan Roque Mesa berkemungkinan bakal mencipta penampilan sulung mereka bagi menghadapi cabaran daripada Central Coast Mariners (CCM).
Terdahulu, JDT secara rasminya memperkenalkan tiga pemain import baharu mereka dari Sepanyol yang dikhususkan untuk saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pada saingan musim ini.
Ketiga pemain tersebut iaitu Viera, Alvaro, serta Mesa dianggap memiliki kualiti dalam permainan serta kaya dengan pengalaman dari Eropah untuk membantu wakil kelab Malaysia tersebut.
Pastinya aksi menentang CCM dari Australia hari ini menjadi tumpuan para peminat jika ketiga pemain berkenaan bakal dibawa turun atau tidak di persaingan tertinggi Asia itu.
Menurut Hector Bidoglio selaku pengendali utama JDT, beliau menganggap kehadiran tiga pemain tersebut sebagai suatu nilai tambah terbaik buat pasukan.
Malah, Bidoglio turut mengakui memiliki banyak pilihan selepas ini untuk menilai pemain mana bersesuaian bagi diletakkan dalam senarai kesebelasan utama.
“Bagi saya, apa yang penting mereka merupakan pemain yang berpengalaman terutamanya dari segi teknikal. Ini memberi nilai tambah kepada pasukan.
“Mereka juga telah bermain lama di peringkat antarabangsa dan mereka tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri. Kehadiran mereka juga memberikan kita lebih banyak pilihan bagi menurunkan kesebelasan yang terbaik dalam saingan ACLE kali ini,” kata beliau menerusi laporan Kosmo.
Rekod sebelum ini menyaksikan Viera merupakan antara pemain yang beraksi di saingan LaLiga bersama beberapa kelab terkemuka bersama rekod cukup memberansangkan.
Beraksi di posisi sayap serta tengah serangan, kehadiran Viera dilihat mampu menjadikan impian JDT untuk terus mendominasi kejohanan domestik serta Asia pada masa akan datang.
Sementara Mesa pula kali terakhir beraksi di LaLiga 2 bersama Sporting Gijo dan beraksi selaku perancang utama pasukan.
Pengalaman luas dimilikinya mampu membentuk JDT tampil lebih teratur untuk menyusun pergerakan ketika berhadapan kelab-kelab handalan Asia lain.
Bagi Alvaro, beliau sudah pun beraksi di saingan utama Arab Saudi bersama Al-Qadsiah FC sehingga ke pertengahan tahun lalu sebelum dirinya bebas tanpa mewakili mana-mana kelab.
Secara keseluruhan pula, bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu sudah terlibat 451 perlawanan sepanjang karier dan merekodkan 10 gol serta 12 bantuan jaringan.