3 Sikap Terpuji David Beckham Yang Dapat Dipelajari Dari Dokumentari Beliau

Siri dokumentari berjudul BECKHAM telah mula ditayangkan di Netflix sejak 4 Oktober lalu dan sepertinya ramai peminat yang teruja untuk menyaksikan rancangan tersebut.

Dokumentari tersebut telah diarahkan oleh pemenang Academy Award, Fisher Stevens dan telah diterbitkan oleh Studio 99 dengan kerjasama dari Ventureland.

Dokumentari Beckham menceritakan tentang kehidupan pemain kelahiran London itu dan turut mendedahkan tentang bagaimana beliau mampu menjadi fenomena global pada era kegemilangannya.

Siri dokumentari itu menceritakan tentang kisah Beckham sejak zaman persekolahan, permulaan karier, dilempar but oleh Sir Alex Ferguson dan juga kisah percintaan beliau bersama isterinya, Victoria.

Siri dokumentari ini juga disiarkan sebanyak empat episod dan setiap episod berdurasi selama 60 minit.

David Beckham jelas sekali merupakan antara legenda terhebat sepanjang zaman untuk Manchester United dan England.

Selain bersama Manchester United, Beckham juga pernah beraksi bersama Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan Paris Saint-Germain (PSG).

Bersama skuad kebangsaan England, David Beckham telah membuat 115 penampilan dengan beliau berjaya menjaringkan 17 gol serta mencatatkan 42 assist sepanjang tempoh tersebut.

Melihat kepada komen-komen mereka yang sudah menonton dokumentari tersebut, jelas sekali ramai yang sangat berpuas hati.

Banyak tauladan yang boleh diambil dari melihat bagaimana kehidupan serta sikap seorang David Beckham.

Tidak kira dari sudut seorang pemain bola sepak, seorang suami, seorang ayah mahupun cara beliau mengurus diri sendiri.

Berikut merupakan tiga contoh baik yang boleh dijadikan tauladan menurut penulis dan sebenarnya banyak lagi contoh baik lain yang boleh didapati dari menonton dokumentari tersebut.

1) Seorang bapa dan suami yang perlu dicontohi

Terdapat begitu banyak kisah menarik yang telah diceritakan oleh anak dan isteri beliau dalam dokumentari ini tentang bagaimana hebatnya seorang David Beckham memimpin keluarga.

Beckham merupakan seorang yang tegas dan pada masa sama beliau sangat-sangat menyayangi keluarga kecilnya.

Selepas menonton dokumentari ini, peminat tentu akan sedar yang Beckham sememangnya terlalu mementingkan keluarganya dan beliau mengambil berat setiap perincian dalam melindungi keluarganya.

Beckham juga turut mendedahkan yang hidup beliau serba tak kena dan tak sempurna andai anak dan isterinya tiada bersama-sama dengannya.

Hal itu pernah berlaku ketika beliau beraksi di Sepanyol dan Beckham mengakui beliau sangat sukar untuk menerima hal tersebut.

Walau beliau dan isterinya merupakan bintang besar, namun Beckham sedaya upaya berusaha memastikan anak-anaknya tidak menjadi tumpuan media mahupun dunia.

Beliau berusaha untuk melindungi anaknya dari media atau peminat ketika mereka masih kecil dan hanya membenarkan hal tersebut selepas merasakan yang anaknya sudah cukup dewasa.

2) Mempunyai mental yang luar biasa

Di zaman media sosial seperti sekarang, semua orang sudah tahu tentang kepentingan kesihatan mental.

Bintang-bintang besar di era media sosial jelas sekali sangat bergelut dengan kesihatan mental mereka kerana membaca kecaman serta hentaman dari peminat di internet.

Walau bagaimanapun, mereka lebih bernasib baik kerana di era sekarang banyak kempen kesedaran yang telah dianjurkan dan jelas sekali mereka mendapat sokongan yang cukup bagi menghadapi segala tekanan-tekanan yang ada.

Beckham sendiri tidak terlepas dari hal tersebut dengan beliau turut pernah depresi akibat menjadi mangsa hinaan, kecaman serta makian oleh peminat ketika usia remajanya.

Beckham telah dipersalahkan sebagai punca mengapa England gagal memenangi gelaran Piala Dunia 1998 kerana beliau telah dilayangkan kad merah ketika aksi bertemu Argentina di pusingan 16 terbaik.

Kad merah tersebut menyebabkan beliau dianggap sebagai punca mengapa England tewas di tangan Argentina, seterusnya gagal menjuarai pertandingan terbesar di pentas dunia bola sepak itu.

Ekoran dari hal tersebut, Beckham telah dibenci oleh semua penyokong England dan beliau teruk dikecam oleh peminat, media serta semua pihak.

Bukan hanya dikecam, tetapi Beckham juga turut menerima ugutan bunuh atas hal tersebut dan menyebabkan beliau berdepan masalah tekanan perasaan.

Walau bagaimanapun, dek kerana memiliki mental yang sungguh menakjubkan, Beckham akhirnya berjaya meneruskan kariernya dengan cemerlang.

Pemain lain mungkin sudah berhenti bermain bola andai mereka berdepan hal yang sama seperti Beckham di usia semuda itu.

3) Berkarisma

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan fakta yang Beckham terkenal kerana memiliki rupa paras yang tampan dan juga gaya yang sangat menakjubkan.

Beliau seorang yang sangat mementingkan penampilannya dan satu hal yang pasti, rambut adalah perkara yang paling peminat akan ingat tentang Beckham.

Dalam dokumentari ini, peminat akan sedar dan tahu tentang bagaimana Beckham mementingkan segala hal-hal serta perincian yang melibatkan penampilan beliau.

Apa yang menariknya, beliau tidak mengharapkan orang untuk menguruskan hal tersebut dengan Beckham menyusun serta merapikan segala pakaiannya sendiri sahaja.

Ya, Beckham menguruskan segala hal itu dengan sendirinya dan beliau tahu andai ada barangnya yang disentuh oleh orang lain.

Banyak lagi sebenarnya hal-hal menarik dari dokumentari tersebut dan anda semua patut tonton untuk melihat sendiri tentang bagaimana hebatnya keperibadian seorang David Beckham.

Untuk yang dah tonton, cuba kongsi di ruangan komen bagaimana pandangan anda tentang dokumentari tersebut dan apa hal paling menarik yang anda dapat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN