3 Sebab Terengganu FC Langsung Tak Ambil Graduan AMD

Timbalan-Presiden-PBSNT-Hishamuddin-Terengganu-FC-AMD

Terengganu FC mengambil pendekatan berbeza dalam isu graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dikatakan hanya ‘diborong’ oleh dua pasukan sahaja.

Baru-baru ini, graduan AMD generasi kedua dikatakan telah ‘diborong’ oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor dengan masing-masing mengambil enam pemain. Antara prospek terbaik yang menjadi tumpuan utama adalah Ziad El Basheer Norhisham yang memilih untuk bersama Harimau Selatan untuk musim hadapan.

Selain itu, pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar pula memilih untuk ke Selangor. Seorang lagi pemain yang juga perlu disebutkan adalah Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal yang mengikuti jejak Ziad El Basheer ke JDT.

Walaubagaimanapun, tiada istilah borong kerana hanya dua pasukan tersebut sahaja yang menunjukkan minat terhadap produk kelahiran AMD sejak generasi pertama lagi. Untuk pasukan lain, tidak dapat dipastikan sama ada mereka tidak berminat ataupun mereka yang gagal menarik minat pemain-pemain muda tersebut.

Malam tadi telah berlangsung program Dialog Hala Tuju Bolasepak Terengganu di Hotel Permai di Kuala Terengganu dan pengurusan telah menjelaskan mengapa tiada graduan AMD yang diambil untuk menyertai pasukan dari Pantai Timur itu.

Langkah penjimatan

Terengganu ketika ini dalam langkah penjimatan bagi mengharungi musim hadapan dan tentunya langkah terbaik buat mereka dalam menandatangani pemain-pemain baharu adalah dengan melihat kepada jumlah gaji yang akan dibayar nanti.

Difahamkan pada musim lalu yang menyaksikan Selangor mengambil 28 graduan generasi pertama telah menawarkan gaji sekitar RM2,000 ke RM5,000, di mana menurut pihak pengurusan, mereka merasakan ia adalah terlalu tinggi.

Tidak mahu lonjak pasaran harga pemain muda

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dipetik berkata, “Kita ada pendirian yang berlainan sedikit. Bukan kita tidak mahu ambil pemain bagus daripada akademi itu, tapi kita tidak mahu meletak pasaran harga yang terlalu tinggi kepada mereka sebab pemain itu masih muda.”

Jika perebutan pemain-pemain berlaku, sudah tentunya akan berlaku tawar-menawar gaji yang mungkin akan menyaksikan tawaran gaji ‘luar biasa’. Begitupun, majoriti produk daripada AMD sudah tentu akan memilih pasukan yang ada fasiliti terbaik.

Bentuk graduan gred B kepada yang berkualiti

Selain itu, dapat dilihat daripada ungkapan Hishamuddin, mereka sebenarnya masih ada pemain-pemain lain di peringkat akar umbi yang boleh digunakan.

Sebagaimana ciapan di laman Twitter Youth Football Malaysia sebelum ini, saban tahun hampir 3 ribu graduan NFDP dilahirkan daripada AMD, Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD).

Katanya, “Lagipun kita sudah ada pembangunan akar umbi yang cukup baik. Jika kita ambil dengan harga yang tinggi, kita bimbang akan merosakkan pemain-pemain lain. Jadi, buat masa ini jika pemain AMD gred A sudah diambil pasukan lain, kita fokus kepada gred B. Insya-Allah kita akan bangun pemain ini ke tahap yang lebih berkualiti.”

KREDIT FEATURED IMAGE: PENYU SUKAN

Baca lagi artikel mengenai Terengganu FC dan AMD:

AMD: Skuad Elit, Hasil Program Pembangunan Bolasepak Negara

Berbaloikah Terengganu FC Rombak Import Sebagai Persediaan Piala AFC?

‘Are You Retiring Lee?’ Antara Reaksi Selepas Lee Tuck Ucap Selamat Tinggal Terengganu

Leave a Reply