3 Sebab Penang FC Perlu Berhati-Hati Dengan ‘Bisa’ De Paula

Guilherme de Paula Perak JDT 2021 Penang FC

Penang FC bakal melayan kunjungan Perak FC untuk aksi ke-6 Liga Super 2021 dan kita akan melihat mengapa mereka perlu berhati-hati dengan Guilherme de Paula.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya pada Sabtu itu bakal menjadi tumpuan dek kerana kebangkitan menarik yang dipamerkan Harimau Kumbang sejak saingan liga musim ini dibuka tirainya pada 5 Mac lalu.

Penang ketika ini berada di kedudukan ke-4 liga dengan mengumpul lapan mata daripada lima perlawanan. Mereka hanya tewas sekali iaitu dalam aksi kedua ketika berdepan juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Lebih menarik, ini adalah musim pertama mereka kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia selepas kali terakhir beraksi pada musim 2017 – tiga tahun yang lalu. Mereka juga merekodkan bolos paling kurang bersama JDT dengan dibolosi tiga gol.

Namun, adakah Penang mampu menahan asakan Perak yang sedang dalam ‘mood’ terbaik? Berdepan JDT sebelum liga berehat dua minggu, Perak hampir mengejutkan lawannya itu apabila telah mendahului aksi dengan dua gol dalam masa sejam.

Mereka akhirnya terpaksa akur apabila Harimau Selatan bangkit mengikat kedudukan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan membawa pulang hanya satu mata.

Penang harus berhati-hati dengan penyerang naturalisasi terbaharu skuad negara, Guilherme de Paula dalam pertembungan pada Sabtu ini. Mengapa?

1. De Paula sudah mula dapat rentak

Musim lalu merupakan musim pertamanya bersama Perak selepas meninggalkan Kuala Lumpur yang kini dikenali sebagai KL City. Tidak mudah buatnya untuk menyesuaikan diri apabila hanya berjaya meledak tiga gol sahaja.

Bersama mereka selama tiga musim, de Paula telah menghasilkan 66 gol dalam 76 penampilannya. Ia satu rekod yang sangat menakjubkan sehingga beliau dicanang untuk dinaturalisasikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika itu.

Namun, beliau gagal memberikan impak bersama Perak musim lalu. Mungkin potensi beliau gagal dicungkil oleh pengendali ketika itu, Mehmed Durakovic dan penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri yang lebih menonjol dengan 10 gol.

Dua gol menarik berdepan JDT tempohari membuka akaunnya dalam saingan musim 2021 selepas bermula malap. Ia berlaku selepas beliau menerima panggilan pertama untuk menyertai kem skuad kebangsaan yang bermula selepas aksi itu.

2. ‘Mood’ terbaik panggilan skuad kebangsaan

Adakah panggilan pertama oleh Tan Cheng Hoe itu meransang semula nafsunya? Ada kemungkinannya. Beliau menerima kritikan atas persembahan buruknya dalam empat aksi sebelum itu yang menyaksikan Perak hanya meraih satu kemenangan.

Panggilannya untuk bersama Harimau Malaya juga menghadirkan kritikan daripada pelbagai sudut. Semuanya BOLA juga tidak ketinggalan berbincang mengenai isu tersebut dalam sesi FB Live di laman Facebook Semuanya BOLA pada 19 Mac lalu.

Tidak dapat dinafikan beliau sedang dalam ‘mood’ terbaiknya kini. Adakah selepas jaringannya ketika berdepan JDT, semua penyokong Malaysia sudah memaafkannya?

Jadi, Penang perlulah berhati-hati berdepan nafsu de Paula yang sudah membuak. Adakah benteng kukuh Penang akan dimusnahkan oleh kerakusan de Paula nanti?

3. Serasi dengan taktikal Chong Yee Fatt

Di bawah sistem Mehmed Durakovic musim lalu, Perak bermain dengan kombinasi dua penyerang, de Paula dan Shahrel Fikri. Namun, dalam sistem itu, mungkin beliau kurang efektif. Ini kerana, di Kuala Lumpur, beliau adalah penyerang tunggal.

Chong Yee Fatt pernah bersama de Paula ketika berada dalam barisan kejurulatihan Kuala Lumpur pada musim 2019, musim terakhir penyerang berusia 34 tahun itu bersama mereka dan beliau mencetak 11 gol dalam 21 penampilan terakhirnya.

Mungkinkah gandingan Chong Yee Fatt dan de Paula akan menghidupkan semula ‘sentuhan’ jaringannya. Ia sudah dibuktikan dalam aksi berdepan JDT dengan dua gol.

Selepas dua kekalahan berturut-turut tanpa sebarang jaringan, adakah pengendali baharu Perak itu akhirnya berjaya menemui cara untuk kembalikan de Paula?

Oleh itu, barisan benteng Penang perlu tampil sebagaimana aksi mereka sebelum ini dalam mengekang asakan lawan agar de Paula akan berjaya dirantai pergerakannya.

Jika tidak, Harimau Kumbang akan dibolosi sebagaimana JDT yang ketinggalan terlebih dahulu dengan dua ledakan berbisanya sebelum berjaya bangkit.

KREDIT FEATURED IMAGE: PERAK FC

Baca lagi artikel lain mengenai Guilherme de Paula dan Perak FC:

Guilherme De Paula Jaring Hatrik Lagi! Bantu Kuala Lumpur Menang 6-3

Meski Kecewa, Yee Fatt Tetap Lega Dengan Aksi Positif Perak Berdepan JDT

De Paula Ada Rekod Impresif Berdepan Terengganu, Perak ‘Tambah’ Yakin

Leave a Reply