3 Sebab Mengapa Sadio Mane Memilih Untuk Meninggalkan Liverpool

Trevor Sinclair telah mendedahkan tiga sebab yang beliau rasakan menjadi punca mengapa Sadio Mane memilih untuk meninggalkan Liverpool, dan menyertai Bayern Munich pada musim panas ini.

Tidak sampai sebulan selepas namanya dikaitkan dengan bakal meninggalkan Anfield, Sadio Mane secara rasminya telah ditandatangani oleh Bayern Munich.

Bintang Senegal itu dibeli oleh Bayern Munich dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta.

Baki kontrak Mane bersama Liverpool sebelum melengkapkan perpindahan ke Jerman sebenarnya hanya setahun dan The Reds sangat beruntung masih mampu mendapatkan £35 juta dari pemain penyerang mereka itu.

Terdapat pelbagai spekulasi berkait perpindahan Mane menyertai Bayern Munich, antaranya adalah kerana masalah melibatkan gaji.

Mane dilaporkan tidak gembira dengan gaji yang beliau terima dan mahu menyertai gergasi Bundesliga itu kerana beliau akan menerima gaji yang lebih tinggi.

Bintang Senegal itu turut mendedahkan yang beliau sebenarnya sekadar mahu mencari pengalaman baru beraksi di luar England.

Walau bagaimanapun, Sinclair tampil menyatakan sudut pandangan beliau, tentang mengapa sebenarnya Sadio Mane memilih untuk meninggalkan Anfield.

Beliau memberikan tiga sebab yang dirasakan menjadi faktor utama mengapa pemain penyerang terbaik Afrika itu tekad mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Bekas bintang Manchester City itu mendedahkan kepada talkSPORT Breakfast bahawa:

“Perpindahan Sadio Mane ini jelas sekali diterima secara universal dengan dia sekarang sudah meninggalkan kelab bola sepak Liverpool sebagai seorang legenda.”

“Tapi saya tetap ada mendengar yang segelintir peminat dan bekas pemain yang kata meraka pelik kenapa Mane pergi meninggalkan kelab. Mari saya beritahu kamu kenapa dia pergi.”

“Pertama, saya tak rasa dia pernah disanjungi atau dihargai di kelab seperti mana yang diterima oleh Virgil van Dijk atau Mo Salah.”

“Kedua, fakta bahawa Liverpool biarkan kontrak dia terabai pada tahun lalu dan menyebabkan dia rasa diri dia sudah tidak diperlukan.”

“Ketiga, saya rasa sebab utama mengapa Jurgen Klopp kehilangan dia adalah kerana komen dia memandang rendah pada pertandingan AFCON.”

“Pengurus dia (Senegal) Aliou Cisse terpaksa tampil dan mempertahankan AFCON dan turut mengingatkan Klopp yang dia mula berjaya hanya kerana memiliki dua pemain dari Afrika (Salah dan Mane).”

Jelas Sinclair kepada talkSPORT.

Trevor Sinclair kemudiannya turut menjelaskan tentang bagaimana Mane sentiasa mementingkan rakyat Afrika dan atas alasan samalah beliau merasakan bintang Senegal itu sebenarnya terasa hati.

“Mane merupakan seorang yang bertanggungjawab, kamu boleh nampak dia buatkan hospital, buat sekolah dan bagi kemudahan macam-macam untuk masyarakat Senegal.”

“Sebab dia memang sayangkan negara dia, maka Mane mungkin fikir dia tak boleh terima komen Klopp dan memilih untuk tinggalkan kelab.”

“Dia melalui masa yang hebat, dia dianggap legenda kelab, tapi saya tak fikir dia boleh bermain lagi selepas lalui semua itu.”

Jurgen Klopp dikatakan menghina Piala Benua Afrika

Jurgen Klopp telah diminta untuk meminta maaf atas komen yang beliau keluarkan berkait Piala Benua Afrika oleh seorang wartawan yang terkesan dengan komen tersebut.

Dalam keadaan terasa hati, wartawan tersebut mendesak Klopp untuk meminta maaf atas komen beliau yang menganggap Piala Benua Afrika sebagai kejohanan kecil.

Jika ditanya tentang AFCON, individu yang paling tahu dan terkesan dengan pertandingan itu tentunya Jurgen Klopp yang telah kehilangan ramai pemain utamanya yang menyertai pertandingan tersebut.

Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita antara yang menyertai pertandingan tersebut pada awal tahun lalu, dan kesemua mereka merupakan nadi utama dalam sistem kendalian Jurgen Klopp.

Sebelum ini, pengurus Liverpool itu tampil bercakap tentang tiadanya rehat antarabangsa lagi sehingga Mac tahun lalu.

Beliau kemudian teringat tentang pertandingan Piala Benua Afrika yang ketika itu bakal dilangsungkan di Cameroon pada awal tahun ini.

Secara sinis, pengurus Liverpool itu menggambarkan pertandingan tersebut sebagai pertandingan kecil, namun ungkapan yang beliau gunakan tidak disenangi oleh salah seorang wartawan dari Afrika.

Wartawan yang terkesan dan beremosi itu tampil dalam sidang media selepas aksi bertemu Porto dalam saingan Champions League musim lalu, untuk mendesak Jurgen Klopp supaya meminta maaf atas komen yang beliau lakukan.

Walau bagaimanapun, pengurus berusia 54 tahun itu telah menjelaskan situasi sebenar dengan menyatakan yang wartawan tersebut salah faham dengan maksud beliau.

Jurgen Klopp menegaskan yang beliau tiada maksud untuk menghina, menyakiti atau melukai hati mana-mana pihak dari benua Afrika berkait komen beliau sebelum itu.

“Hi Jurgen, ketika sidang media selepas tamat perlawanan sebelum ini, kamu dengan sengaja menyebut yang Piala Benua Afrika merupakan pertandingan kecil.”

Jelas salah seorang wartawan dari Paris, Ojora Babatunde ketika mempersoalkan tentang hal tersebut kepada Klopp.

“Saya rasa ia satu hinaan untuk pemain, hinaan untuk penyokong, hinaan untuk masyarakat di benua itu dan saya rasa kamu berhutang permohonan maaf.”

Selepas Jurgen Klopp menegaskan yang beliau tidak bermaksud seperti itu, Babatunde sekali lagi mengungkit yang komen pengurus Liverpool itu berunsur hinaan.

“Itulah apa yang kamu katakan, saya dengar sidang media itu dan kamu kata pertandingan benua Afrika pertandingan kecil, itulah apa yang kamu katakan.”

Soal babatunde lagi.

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu akhirnya diberi kesempatan untuk membela diri dan menjelaskan situasi sebenar dengan menyatakan:

“Saya tidak bermaksud begitu, come on.”

“Jadi saya langsung tidak bermaksud ke situ, apa yang ada dalam fikiran saya adalah saya bukan mahu bercakap tentang Piala Benua Afrika sebagai pertandingan kecil atau Afrika benua yang kecil, bukan sama sekali.”

“Apa yang saya maksudkan adalah, jika kamu lihat temu bual itu secara keseluruhannya mungkin kamu akan faham dengan cara yang betul jika kamu mahu, kerana saya kata di sana tidak ada rehat antarabangsa sehingga Mac.”

“Kemudian saya kata, ‘oh ada satu pertandingan pada Januari’ dan saya tak maksudkan pertandingan itu kecil, saya mahu katakan yang itu tetap satu pertandingan, ia ironik. Ia masih tetap pertandingan, pertandingan besar. Kami hilang pemain terbaik kami untuk pertandingan itu.”

Penjelasan Klopp pada ketika itu diterima oleh para penyokong dan rata-rata penyokong sepakat yang pengurus Liverpool itu sememangnya tiada maksud untuk menghina Afrika.

Hal itu kemudiannya dianggap selesai dan agak aneh juga untuk melihat Trevor Sinclair mengungkit semula hal itu dan menganggap ia punca Mane mahu meninggalkan Liverpool.

Adakah komen logik dakwaan dari Trevor Sinclair itu? Bincangkan diruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN