3 Sebab Mengapa Futsal Iran Mampu Jadi Kuasa Besar Dunia

Futsal Iran

Bagi yang meminati sukan futsal, antara detik yang amat mencuri tumpuan adalah ketika Iran berjaya mengejutkan juara dunia lima kali, Brazil pada aksi suku akhir Piala Dunia Futsal 2016 yang berlangsung di Colombia.

Lebih perit untuk ditelan oleh Brazil adalah mereka tunduk pada aksi terakhir legenda, Falcao beraksi di pentas futsal antarabangsa.

Disamping kisah kemenangan mengejut itu, masih terdapat banyak cerita menarik dapat dikongsikan tentang negara yang merupakan kuasa besar futsal Asia dan semakin gah di pentas dunia pada ketika ini.

Mengikut data terkini, Iran berada di tangga keenam dalam senarai ranking futsal dunia. Satu kedudukan yang sangat luar biasa buat sebuah pasukan dari benua Asia. Iran juga telah mendominasi Kejuaraan Futsal AFC sebanyak 12 daripada 15 edisi saingan tersebut.

Manakala keupayaan memperoleh tempat ke-4 dan ke-3 di kejohanan Piala Dunia FIFA 1992 dan 2016 terus menjadikan mereka (Iran) sebagai pasukan yang seharusnya turut disegani di peringkat antarabangsa.

Melihatkan kepada kehebatan negara tersebut dalam sukan lima sebelah ini, Semuanya BOLA kongsikan kepada anda beberapa aspek yang menjadikan Iran sebagai salah satu kuasa besar futsal dunia:

Embed from Getty Images

1) Liga domestik yang kompetitif dan kuat

Saingan liga domestik di Iran mempunyai tiga liga utama yang kuat dimana ia disertai sebanyak 45 pasukan. Liga Super Futsal Iran menjadi liga paling berprestij dan menyaksikan 14 pasukan bersaing dalam saingan tersebut.

Mes Sungun Varzaghan adalah juara bertahan bagi liga tersebut dan juga muncul juara Kejuaraan Futsal Kelab AFC 2019 serta turut beraksi pada Kejohanan Futsal Antara Benua FIFA di Bangkok.

Sementara itu, bagi saingan Liga Divisyen 1 Iran pula disertai 18 buah pasukan yang bersaing untuk merebut dua tempat ke Liga Super Futsal Iran. Liga Divisyen 2 Iran pula disertai 32 pasukan yang menyaksikan pasukan-pasukan tersebut akan dipecahkan kepada 4 kumpulan.

Ternyata jumlah pasukan yang bertanding juga sudah cukup untuk melihatkan betapa serius dan kompetitif saingan yang dihadapi pemain-pemain yang terlibat. Liga ini turut dijalankan sama seperti liga bola sepak di mana satu liga yang panjang telah diadakan.

Penganjuran liga seperti ini secara langsung dapat terus meningkatkan kualiti yang dimiliki dan memberikan banyak pilihan pemain berkualiti untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Embed from Getty Images

2) Pembangunan akar umbi yang sangat baik

Futsal telah dimainkan di Iran sejak tahun 1960-an lagi. Kanak-kanak di Iran mendapat pendedahan yang cukup baik dalam sukan futsal.

Anak-anak kecil sudah diperkenalkan dengan sukan futsal ketika di bangku persekolahan dan boleh dikatakan hampir setiap sekolah dapat dilihat murid-murid bermain futsal.

Suasana yang jauh bezanya di Malaysia kerana futsal masih belum dapat diterima di sekolah dan terdapat juga sesetengah jurulatih menganggap futsal ini ‘membunuh’ bola sepak.

Keadaan ini mengakibatkan pada usia yang masih kecil, kanak-kanak di Iran sudah dapat menguasai teknik asas dalam futsal.

Perkara ini memudahkan tugas jurulatih untuk membentuk satu pasukan yang baik apabila hanya perlu menerapkan taktikal permainan apabila pemain itu sudah menguasai teknik dengan baik.

Di sekolah dan universiti juga diwajibkan supaya gelanggang futsal diwujudkan.

3) Pendidikan yang meluas tentang futsal

Jurulatih futsal di sekolah dan juga universiti di Iran merupakan jurulatih yang bertauliah yang mempunyai lesen kejurulatihan yang diiktiraf. Mereka bukan hanya sekadar seorang guru yang diminta bertanggungjawab melatih pasukan.

Bilangan instruktor kejurulatihan di Iran juga begitu banyak dan dapat melahirkan begitu ramai jurulatih berkualiti yang mempunyai lesen kejurulatihan. Jurulatih yang berkualiti sangat diperlukan bagi melahirkan pemain yang baik buat pasukan.

Embed from Getty Images

Rumusan

Perkongsian ini memberikan gambaran jelas bahawa ia mampu untuk menjadi pengajaran berguna yang dapat diambil berat oleh pihak berwajib di Malaysia jika mahu melihat futsal negara seiring dengan kehebatan pasukan lain.

Apa yang telah dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mewujudkan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan mengadakan kursus kejurulatihan futsal mampu merintis kearah itu.

Namun, pendekatan lebih menyeluruh hasil kerjasama erat pihak-pihak tertentu amat diperlukan dalam meningkatkan lagi mutu futsal di tanah air.

Kredit foto: Power Sport Images/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN