Secara tiba-tiba nama Liridon Krasniqi kini kembali dikaitkan bakal menyarung jersi Kedah Darul Aman (Kedah) dan ia mula menjadi antara tajuk perbincangan popular dalam kalangan peminat Sang Kenari menerusi media sosial.
Nama Liridon seperti diketahui bukan lagi suatu yang asing buat Kedah, selepas penyertaan beliau bersama kelab tersebut buat pertama kali pada tahun 2015.
Bersama Kedah, pemain naturalisasi Harimau Malaya ini sudah pun mengecapi pelbagai kejayaan sebelum mereka berpisah pada tahun 2018 untuk membawa haluan tersendiri.
Menerusi komen diberikan oleh Liridon di Instagram kelab berkenaan, pemain tersebut memberi bayangan untuk kembali menabur bakti buat Kedah pada masa hadapan.
“Kedah, ini masa masanya untuk kembali bersinar. Telefon saya tidak berbunyi, saya mahu kembali pulang ke rumah. Saya ingin beraksi secara percuma. Cuma ingin membantu,” komen Liridon.
Persoalannya kini, apakah sumbangan yang mampu diberikan oleh Liridon jika beliau kembali bersama Kedah pada masa hadapan?
Pengalaman luas dimiliki
Liridon menjadi antara pemain naturalisasi Malaysia yang memiliki banyak pengalaman selepas beliau sah tidak lagi bersama Kedah sejak musim 2018.
Selain menyertai kelab lain di pentas domestik, pemain tersebut juga pernah menyarung jersi beberapa kelab di luar negara iaitu Newcastle Jets (Australia), Odisha (India), serta Khon Kaen United (Thailand).
Pengalaman luas dimiliki Liridon menjadikan beliau mampu membimbing pemain tempatan Kedah yang lain untuk meningkatkan kualiti mereka pada masa hadapan.
Tampung kelemahan semasa
Seperti diakui, Kedah memiliki masalah konsistensi di posisi tengah sejak awal saingan musim 2024/2025 berlangsung menerusi kualiti serta kuantiti pemain dimiliki.
Selepas ketiadaan Amirbek Juraboev serta Moses Atede yang menjadi tunjang kekuatan Sang Kenari musim lalu, pasukan ini tampak sedikit bergelut walau memiliki Habib Haroon.
Menerusi kualiti dimiliki Liridon, ianya sedikit sebanyak mampu menampung kelemahan pasukan tersebut untuk tampil lebih aktif daripada segi penguasaan bola serta kreativiti menjana serangan.
Liridon hadir dengan pakej percuma
Tatkala Sang Kenari dilaporkan memiliki isu kewangan, ianya suatu peluang yang cukup baik untuk kelab ini mendapatkan beliau dengan status percuma sahaja musim ini.
Ianya diakui sendiri oleh Liridon sebelum itu dengan beliau ingin kembali menyarung jersi Sang Kenari secara percuma sahaja untuk membantu tingkatkan kembali kualiti pasukan tersebut.
Pakej pemain ini yang memiliki pengalaman serta kualiti dan ingin beraksi secara percuma sudah tentu tidak boleh dilepaskan Sang Kenari sebenarnya untuk menandatanganu Liridon kembali.