3 Pilihan Yang Ada Buat Kedah Untuk Gantikan Ariff Farhan

Ariff Farhan Kedah 2021

Satu-satunya bek kiri ‘natural’ Kedah, Ariff Farhan Md Isa akhirnya seperti dijangkakan, sudah mula menggusarkan barisan kejurulatihan dengan kecederaannya.

Ariff Farhan dilaporkan mengalami kecederaan kepala dalam aksi pemanas badan menentang Selangor 2 pada Rabu lalu. Dalam aksi tersebut, Kedah merekodkan kemenangan 3-2 ke atas skuad yang dibarisi pemain berusia 23 tahun ke bawah.

Seperti Semuanya BOLA pernah ketengahkan, isu bek kiri Kedah sebenarnya agak kritikal. Selepas melepaskan tiga pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut – Aliff Yusof, Norfiqrie Talib dan Shakir Hamzah, hanya Ariff Farhan berjaya dibawa masuk. Jadi, apakah perancangan Kedah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT)?

1. Tukar kepada formasi taktikal bek bertiga

Kedah bakal berdepan JDT dalam aksi Piala Sumbangsih pada 5 Mac depan dan kini nampaknya perkara yang paling dirisaukan telah berlaku. Dengan kemungkinan bakal berdepan cabaran Safawi Rasid atau Mohamadou Sumareh, posisi itu sangat penting.

Pilihan pertama yang boleh dipertimbangkan adalah dengan menggunakan bek bertiga untuk mengukuhkan benteng. Pengendali, Aidil Sharin boleh meletakkan Renan Alves, Rodney Calvin dan Zulkhairi Zulkeply sebagai bek bertiga dengan Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali bermain di bek sayap untuk tugasan bertahan dan menyerang.

Formasi taktikal 3-5-2 boleh digunakan sementara menanti Ariff Farhan kembali pulih. Perubahan perlu dilakukan dengan mengharapkan pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Anumanthan Mohan dan Rabih Ataya diletakkan di jentera tengah, sementara Kipre Tchetche dan Kpah Sherman membentuk gandingan di posisi serangan.

Berbaki seminggu sebelum turun ke Stadium Sultan Ibrahim, tugas berat menanti Aidil Sharin bagi mengubah perancangan taktikal dan formasinya di saat akhir.

2. Zulkhairi Zulkeply atau Syazwan Zainon?

Jika tidak mahu terlalu mengambil risiko merubah formasi kegemarannya daripada 4-3-3 kepada 3-5-2, pilihan kedua yang ada buat skuad Hijau Kuning adalah memberikan tugasan di posisi tersebut kepada Zulkhairi Zulkeply atau Syazwan Zainon.

Syazwan Zainon ada menyuarakan minatnya untuk bermain di posisi bek kiri sebelum ini dan mungkin itu adalah ‘hint’ yang beliau bakal menjadi pemain ‘backup’ untuk posisi itu. Jika persediaan awal sudah dilakukan, ia bukan masalah besar.

Kedah juga memiliki pemain utiliti, Zulkhairi Zulkeply yang boleh bermain di posisi tersebut, jika diperlukan. Posisi asalnya adalah bek tengah dan dengan kehadiran Syazwan Tajudin, beliau boleh menjadi pemain gantian buat sementara waktu.

Begitupun, berdepan dengan juara tujuh kali Liga Super, adakah Kedah sedia ambil risiko mengulangi keputusan kekalahan 0-3 di pentas akhir Piala Malaysia 2019? Kedah kehilangan tonggak utama bek kiri, Azmeer Yusof seawal babak pertama.

Kedah terus tampil longlai berdepan jentera serangan efisyen JDT dari segenap sudut. Jika Harimau Selatan tidak longgarkan asakan, Kedah mungkin ‘lunyai’.

3. Cuba dapatkan pemain baharu

Menariknya dalam jawapan kepada Harian Metro, Aidil Sharin seakan-akan memberi bayangan yang mereka mahu cuba membawa masuk pemain baharu.

Beliau berkata menjawab kepada kehilangan Ariff Farhan, “Saya serahkan kepada pertimbangan pihak pengurusan untuk membuat keputusan dan menentukan sama ada mahu mendapatkan pemain gantian baharu di posisi berkenaan.”

Siapa lagi pemain bek kiri yang masih ‘free agent’ pada ketika ini yang mungkin sedang menjadi sasaran Aidil Sharin? Atau mungkinkah kita melihat kembalinya Norfiqrie Talib bersama skuad Hijau Kuning selepas dilepaskan tempohari? Untuk rekod, beliau dilaporkan menjalani pemilihan bersama MNY FC di Ipoh, baru-baru ini.

Sememangnya posisi itu menjadi kebimbangan Kedah saat ini apabila kecederaan kepala yang dialami Ariff Farhan memerlukan rawatan susulan dan mengambil tempoh pemulihan tertentu yang akan memberi kesan untuknya kembali.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, pihaknya turut terkesan dengan insiden yang terjadi dan berharap semua pihak segera mendoakan kesihatan Ariff Farhan agar dia segera sembuh daripada kecederaan tersebut.

“Kita agak terkejut dan bersimpati dengan insiden yang berlaku itu, namun saya berharap Ariff [Farhan] akan segera sembuh selepas dia kini sedang menjalani rawatan yang diberikan,” jelasnya lanjut kepada Harian Metro.

Berdasarkan tiga pilihan yang diberikan, apakah pilihan yang terbaik buat Aidil Sharin dan Kedah, menjelang aksi berdepan JDT pada Jumaat depan?

KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC

Baca lagi artikel lain mengenai Ariff Farhan dan Kedah:

Ariff Farhan Mahu Kembali Pamer Aksi Terbaik, Intai Peluang Skuad Kebangsaan

Pengganti Khairul Helmi Dikenal Pasti, Tapi Benteng Kedah Tetap ‘Bergelora’

Anumanthan Mohan, Rabih Ataya Bakal ‘Suntik’ Perubahan Di Kedah

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN