Penang terus dirundung dengan episod malang, selepas mereka masih gagal untuk menemui kemenangan pertama selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super 2023.
Terbaharu, pasukan yang dikendalikan oleh Chong Yee Fatt ini mencatat kekalahan pertama mereka musim ini di tangan tuan rumah, Kelantan menerusi keputusan penuh 0-2.
Tampil dengan rombakan besar dalam barisan pemain musim ini jelas belum cukup buat Penang, selepas tampil dengan aksi yang cukup longlai sejak awal permainan bermula.
Kelantan yang merekodkan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini di tangan Kuching City dan Sri Pahang mencipta kebangkitan di hadapan penyokong mereka sendiri menerusi kemenangan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Dua gol tersebut tampil menerusi import serangan terbaharu mereka iaitu Ismaheel Akinade serta bintang tempatan, Fazrul Amir untuk menewaskan Shafiq Afifi.
Untuk Penang, terlalu banyak kelemahan dikesan pasukan tersebut sepanjang perlawanan berlangsung dan pastinya perubahan segera dapat diatasi untuk aksi akan datang.
Jika tidak, pastinya sejarah musim lalu berkemungkinan akan berulang dengan Penang menjadi skuad belasahan di Liga Super sehingga menduduki carta terakhir dengan meraih dua kemenangan sahaja.
Pertahanan terlalu longlai
Barisan pertahanan pelawat jelas tidak konsisten sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, dengan membenarkan ruang buat Kelantan untuk mencipta begitu banyak peluang berbahaya.
Gandingan pemain seperti Zaw Min Tun, Rafael Vitor, dan Faris Shah gagal untuk membentuk persefahaman yang lebih baik dengan kesilapan-kesilapan kecil membenarkan lawan untuk mencuri peluang.
Lebih mengecewakan, ada beberapa kali situasi berbahaya menyaksikan pertahanan Penang gagal untuk mengeluarkan bola dengan lebih baik dan mencetuskan keadaan kelam kabut dalam petak penalti.
Pemain import kurang membantu
Pada perlawanan tersebut, Penang telah menurunkan lima pemain import mereka dengan masing-masing merupakan gandingan baharu musim ini kecuali Rafael Vitor sahaja bersama kelab itu sejak beberaoa musim.
Malangnya, impak yang diberikan oleh pemain import seperti An Sae-hee dan Giovane Gomes gagal untuk memberi kesan lebih baik, selain kadangkala menjadi beban buat pasukan.
Hanya Adriano sahaja dilihat bekerja dengan sangag keras dalam usaha untuk menguasai bahagian tengah serta cuba memberi bantuan di posisi serangan menerusi kreativiti dimiliki pemain tersebut.
Tumpul di posisi serangan
Penang gagal untuk meraih sebarang gol sejak dua perlawanan dihadapi mereka musim ini dalam aksi Liga Super selepas bertemu Negeri Sembilan dan Kelantan.
Isu ini pastinya menjadi kebimbangan buat para penyokong walaupun pasukan tersebut dibarisi import penyerang berkualiti seperti Soony Saad, Adriano, dan Giovane Gomes.
📸 Aksi Liga Super 2023 – LS3
Kelantan FC 2-0 Penang FC#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/jZPnYdhGHq
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 5, 2023
Pada aksi semalam, Penang berdepan isu tersebut dengan sangat ketara, selepas segala gerakan cuba dicipta begitu mudah diatasi pasukan lawan, selain tidak banyak percubaan berbahaya dilepaskan.