3 Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Yang Menjadi Tumpuan Pada Hari Selasa Ini

Hanya tinggal 3 bulan sahaja menjelang kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung di Russia pada bulan Jun ini, perlawanan persahabatan antarabangsa minggu ini menjadi medan untuk beberapa negara menguji keserasian barisan pemain dan mencuba pelbagai taktikal baharu.

Penulis telah mengenalpasti 3 perlawanan persahabatan antarabangsa yang pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak di dunia. 3 perlawanan ini agak istimewa kerana ia ibarat perlawanan “raptai” piala dunia dan menjanjikan mutu perlawanan yang cukup berkualiti.

Sepanyol vs Argentina, (Estadio Wanda Metropolitano, Sepanyol)

Pemenang Piala Dunia 2010, Sepanyol kali ini membuat persiapan rapi untuk mengulangi kejayaan mara ke perlawanan akhir dalam kejohanan bola sepak yang berprestij dunia itu.

Sepanyol memasuki fasa terakhir persiapan ke Piala Dunia dengan pengendalinya, Julen Lopetegui terus melakukan eksperimen bagi mencari ramuan terbaik di jentera serangan.

Sejak membimbing La Roja dua tahun lalu, Lopetegui sudah memanggil lebih 10 penyerang dengan terbaru beliau bakal menguji Diego Costa, Iago Aspas, Rodrigo dan Lucas Vazquez untuk dua aksi persahabatan antarabangsa berprofil tinggi menentang Jerman dan Argentina, Selasa ini.

Keempat-empat pemain itu akan mengambil tempat Jose Callejon, Vitolo dan Alvaro Morata yang sering dipanggil sebelum ini tetapi disisihkan bagi aksi pemanas badan penting Piala Dunia.

Costa tidak pernah disenaraikan sejak sembilan bulan lalu kerana tidak boleh beraksi untuk Atletico Madrid yang dikenakan hukuman penggantungan perpindahan sehingga Januari lalu.

Sementara Vazquez pula tidak dilihat Lopetegui sejak tahun lalu selepas pernah sekali diberi peluang beraksi selama 15 minit dengan Aspas pula lebih kerap terpilih, namun bukannya dalam kesebelasan utama.

Namun, paling mengejutkan adalah keputusan pengendali berusia 51 tahun itu menggugurkan Morata kerana masalah fizikal, tetapi Lopetegui berkata penyerang Chelsea itu masih mempunyai peluang yang baik untuk beraksi di Russia.

Finalist Piala Dunia 2014, Argentina membuat kejutan apabila menggugurkan 2 nama besar untuk aksi perlawanan persahabatan kali ini. Mereka adalah Paulo Dybala dan Mauro Icardi.

Dybala dan Icardi digantikan dengan penyerang Boca Juniors, Cristian Pavon, serta penyerang Racing Club, Lautaro Martinez.

Sampaoli menafikan laporan media beliau sudah menutup pintu kepada beberapa pemain terutama sekali Mauro Icardi.

Beliau mengakui peluang juara dunia dua kali itu pada Piala Dunia di Russia lebih banyak bergantung kepada bintang Barcelona, Lionel Messi berbanding pengaruhnya sendiri.

Sampaoli mengendalikan empat perlawanan terakhir Argentina pada pusingan kelayakan namun kecemerlangan Messi dengan hatrik ketika menang 3-1 di Ecuador pada perlawanan terakhir mereka memastikan La Albiceleste tidak terlepas ke Piala Dunia.

Mereka baru sahaja menewaskan Italy, 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Etihad tanpa menggunakan khidmat Lionel Messi dan penyerang berbisa Manchester City, Sergio Aguero.

Menurut rekod 5 pertemuan terakhir di antara Sepanyol dan Argentina, Sepanyol telah memenangi 3 perlawanan itu.

Prestasi semasa pasukan: Sepanyol – MMMMMS, Argentina – SSMMKM

*M = Menang S = Seri K = Kalah

Pertemuan terakhir: Sepanyol 1-4 Argentina (8/9/2010)

England vs Italy, (Stadium Wembley, England)

England kali ini menyenaraikan empat muka baharu yang belum pernah menyarung jersi England di peringkat antarabangsa untuk menyertai senarai 27 pemain yang dipilih oleh oleh Gareth Southgate untuk perlawanan persahabatan antarabangsa.

Empat pemain tersebut ialah penjaga gol Nick Pope dan pemain pertahanan James Tarkowski daripada Burnley; pemain pertahanan Swansea, Alfiw Mawson; dan pemain tengah Bornemouth, Lewis Cook.

Turut mendapat tempat di dalam senarai Southgate ialah Jack Wilshere dan juga Danny Welbeck daripada Arsenal.

Manakala penyerang sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane dan juga bek tengah Chelsea, Gary Cahill digugurkan daripada senarai skuad yang akan ke Amsterdan sebelum skuad The Three Lions menunggu kunjungan Itali di Wembley empat hari kemudian.

Turut tidak berada di dalam senarai ialah bek tengah Manchester United, Chris Smalling dan Phil Jones; tatkala Asley Young turut tersenarai kembali di dalam pasukan.

Gareth Southgate menegaskan pasukannya perlu belajar untuk berjuang tanpa Harry Kane sekiranya penyerang berbisa itu terpaksa melupakan aksi di Piala Dunia.

Kane diketepikan bagi aksi persahabatan antarabangsa membabitkan England menentang Belanda dan Itali pada bulan ini selepas dipalit kecederaan ligamen buku lali.

Southgate begitupun yakin pemain Tottenham itu memiliki masa yang secukupnya sebelum kejohanan di Russia itu membuka tirainya dengan kelabnya berharap dia akan kembali beraksi pada bulan depan.

Tetapi bekas pemain England itu cukup sedar dan cuba untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pasukan itu sebelum ini dengan meletakkan harapan menggunung terhadap seorang saja pemain bintang.

Sementara itu, skuad Azzurri masih belum mempunyai pengendali tetap selepas Gian Piero Ventura dipecat susulan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia di Russia.

Legenda Itali, Gianluigi Buffon disenaraikan oleh pengendali sementara, Luigi Di Biagio untuk memperkuatkan skuad kebangsaan negara itu bagi menghadapi perlawanan persahabatan pada bulan ini.

Buffon sebelum ini mengumumkan persaraan daripada peringkat antarabangsa selepas Itali gagal layak ke Piala Dunia di Russia susulan tewas kepada Sweden pada aksi play off – buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

Mario Balotelli turut tidak disenaraikan meskipun pemain Nice yang kian menyerlah ini dikatakan bakal mendapat kap pertamanya sejak kali terakhir pada Piala Dunia 2014.

Sebaliknya, Di Baggio memanggil pemain AC Milan berusia 20 tahun, Patrick Crutone yang berjaya menyinar bersama kelabnya itu.

Prestasi semasa pasukan: England – MMMMSS, Itali – KMSMKS

*M = Menang S = Seri K = Kalah

Pertemuan terakhir: Itali 1-1 England (1/4/2015)

Jerman vs Brazil, (Olympiastadion, Jerman)

Masih ingatkah tragedi dimana pasukan Brazil dibelasah 1-7 oleh Jerman di hadapan penyokong mereka sendiri ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014.

Ia merupakan detik-detik yang menjadi bualan peminat bola sepak dari seluruh dunia yang agak terkejut dengan aksi longlai yang ditunjukkan oleh barisan bintang Brazil ketika itu.

Tetapi itu semua sudah berlalu dan pasukan Brazil pada hari ini merupakan pasukan yang berbeza di mana mereka mempunyai penyerang yang hebat seperti Neymar, Phillippe Coutinho dan Roberto Firmino.

Brazil kali ini mempertaruhkan gandingan pemain muda dan berpengalaman untuk membawa cabaran pasukan bagi menghadapi saingan Piala Dunia di Russia.

Pengendali Brazil, Tite akan memastikan barisan pemain bintangnya tidak mengulangi kesilapan ketika dibelasah 7-1 di apabila dijadualkan menentang lawan yang sama pada aksi persahabatan selasa ini.

Tanpa Neymar yang dilanda kecederaan, Tite kini mengharapkan pemain sayap kiri Juventus, Douglas Costa untuk mengisi kekosongan itu.

Sementara itu, penyerang Thomas Mueller serta pemain tengah Mesut Ozil dan Emre Can tidak akan bersama skuad Jerman pada aksi persahabatan bertemu Brazil di Berlin menurut Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Mueller dan perancang Arsenal, Ozil kedua-duanya diturunkan ketika Jerman seri 1-1 menentang Sepanyol kelmarin, dengan penyerang Bayern Munich itu menjaringkan gol penyamaan untuk memadamkan jaringan pembukaan Rodrigo Moreno.

Can tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Sepanyol kerana kecederaan belakang dan sudah kembali bersama kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool selepas disahkan tidak sempat pulih untuk pertemuan dengan Brazil.

Pemain tengah Bayern Munich Sebastian Rudy, yang terlepas aksi bertemu Sepanyol berikut kelahiran anaknya Khamis lalu, kembali bersama skuad.

Prestasi semasa pasukan: Jerman – MMMMSS, Brazil – MSSMMS

*M = Menang S = Seri K = Kalah

Pertemuan terakhir: Brazil 1-7 Jerman (9/7/2014)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN