Antonio Conte melalui musim yang penuh gemilang di musim pertamanya mengendalikan Chelsea pada musim lalu.
Berkelebihan 15 mata berbanding pesaing terdekat Manchester City, Chelsea bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh gaya pada musim lalu.
Bagaimanapun musim 2017/18 tampak berbeza buat Conte dan Chelsea. Di sebalik kejayaan lalu, sukar untuk melihat mereka mengulangi pencapaian yang sama pada musim 2016/17.
Mengapakah perkara ini sedemikian? Artikel ini merungkai 3 perkara yang boleh mengagalkan Chelsea untuk bergelar juara buat kali kedua berturut-turut di bawah kendalian Antonio Conte.
1. ‘Musim Mourinho’ boleh jadi ‘Musim Conte’
Sejak Liga Perdana Inggeris (EPL) diperkenalkan 25 tahun yang lalu, hanya 2 pengurus yang pernah membawa pasukan masing-masing untuk menjuarai kejuaraan secara berturut-turut.
Jose Mourinho melakukannya bersama Chelsea pada musim 2004/05 dan 2005/06. Sir Alex Ferguson melakukannya sebanyak 4 kali, termasuk gelaran hatrik EPL pada musim 2006/07 sehingga 2008/09.
Penyokong Chelsea mungkin kekal optimis Conte mampu melakukan magisnya sekali lagi pada musim ini.
Namun 8 kelab yang cuba melakukannya sejak 8 musim yang lalu gagal dalam percubaan masing-masing untuk mengekalkan kejuaraan tersebut.
‘Musim Mourinho’ yang pernah digariskan oleh Antonio Conte kepada wartawan ketika jelajah pra musim di Singapura kemungkinan akan menjadi ‘Musim Conte’.
Untuk penilaian yang adil terhadap Mourinho, ‘Musim Mourinho’ yang dimaksudkan oleh Conte bukanlah kesilapan pengendali dari Poutugal itu 100%.
Bintang utama Chelsea pada ketika itu, Eden Hazard mengalami kemeruduman prestasi. Malah keinginan untuk mengulangi dan dahagakan kejayaan pemain antarabangsa Belgium itu turut dipersoalkan pada musim 2015/16 itu.
Selain Hazard, beberapa pemain utama di era ‘Musim Mourinho’ turut masih merupakan pemain utama sandaran Conte menuju sepak mula musim 2017/18.
Ketika pesaing Chelsea yang lain giat memperkuatkan skuad masing-masing, kini terpulang kepada Conte dan anak buahnya untuk mengulangi kejuaraan EPL pada musim lalu.
Sejarah telah membuktikan ia adalah sesuatu yang sukar untuk diulangi.
2. Kehilangan tongak utama
Satu pertanyaan yang merungsingkan penyokong The Blues adalah: Adakah skuad yang dimiliki oleh Antonio Conte untuk musim 2017/18 adalah lebih baik dari musim sebelumnya?
Kelibat Diego Costa, penjaring gol lebih dari 20 gol semusim ketika Chelsea menjuarai EPL pada musim 2014/15 dan musim lalu, tampak akan berakhir di Stamford Bridge.
Conte menggantikan Costa dengan penyerang dari Sepanyol, Alvaro Morata. Walaupun dibawa dengan harga yang tinggi, Morata tidak pernah menjaringkan lebih dari 15 gol semusim sebelum menyertai Chelsea.
Menjadi satu tanda tanya sama ada Morata mampu melakukannya di EPL.
Satu lagi perubahan yang perlu segera diadaptasi oleh Chelsea ialah kehilangan Nemanja Matic kepada pesaing utama mereka, Manchester United. Untuk menggantikan Matic, Conte membawa masuk Tiemoue Bakayoko dari AS Monaco.
2 pemain tengah, Ruben Loftus-Cheek dan Nathaniel Chalobah dibenarkan untuk berpindah dari Chelsea. Walaupun kedua-duanya bukan pemain utama pilihan Conte, bahagian tengah Chelsea tampak seperti kekurangan pemain.
Antonio Conte membelanjakan £29 juta untuk membawa Antonio Rudiger daripada AS Roma untuk menambah kekuatan di bahagian pertahanan selepas pemergian John Terry.
Namun jika dianalisis dari posisi ke posisi, skuad Chelsea musim ini tidak melalui penambahbaikan seperti yang ramai harapkan. Chelsea membawa masuk pemain baharu, untuk menggantikan tonggak utama yang meninggalkan pasukan.
Kemampuan Morata, Bakayoko dan juga Rudiger turut menjadi tanda tanya, sama ada mereka mampu menghadapi cabaran di EPL.
Prestasi sepanjang perlawanan ketika pra musim, pasti merungsingkan.
3. Saingan Eropah yang membebankan
Ketika Chelsea menjulang kejuaraan Liga Inggeris ke-6 dalam sejarah kelab London tersebut musim lalu, Conte sedar beliau perlu menambah kekuatan skuad sedia ada untuk menghadapi musim yang baharu.
Melayakkan diri ke saingan UEFA Champions League bermakna Chelsea punyai tambahan satu pertandingan yang panjang untuk musim 2017/18.
Musim lalu Chelsea hanya menumpukan saingan mereka kepada pertandingan domestik. Ini memberi kelebihan dari segi tempoh persiapan buat mereka apabila berjaya memenangi kejuaraan EPL dan juga layak ke perlawanan akhir Piala FA sebelum ditewaskan oleh Arsenal.
Kekecewaan Conte berkenaan aktiviti di jendela perpindahan musim panas ini oleh Chelsea sering mendapat liputan media dan ini tidak sukar untuk difahami.
Chelsea memerlukan skuad depth yang lebih baik untuk kekal bersaing di semua pertandingan pada musim 2017/18. Ini membenarkan Conte untuk melakukan rotasi pemain di dalam jadual musim yang padat.
Selepas perlawanan Community Shiled Ahad yang lalu, Conte berkata:
“Kini kami perlu menambahbaik skuad sedia ada. Kami memerlukan skuad yang lebih besar untuk menghadapi lebih banyak pertandingan pada musim ini.”
Sekilas pandang ke arah pemain di bangku simpanan Chelsea dalam perlawanan Community Shield di Wembley pada Ahad yang lalu, kita boleh melihat pemain-pemain seperti Kyle Scott, Jeremie Boga dan juga Charly Musonda.
Isu keletihan dalam kalangan pemain akan timbul pada musim akan datang dan jelas Conte belum melengkapkan skuad Chelsea seperti yang dihajatkannya.
Dua juara EPL pada dua musim sebelumnya tidak mempunyai pertandingan peringkat eropah untuk dirungsingkan.
Ini menunjukkan betapa kompetitif saingan yang bakal menanti Chelsea pada musim baharu ini.
Conte dan Chelsea mempunyai masa sehingga akhir bulan Ogos untuk memperkuatkan barisan Chelsea sedia ada.
Rumusan
Ketiga-tiga isu di atas banyak berkisar kepada aktiviti kelembapan Chelsea untuk mendapatkan pemain baharu di jendela perpindahan musim panas ini.
Pada ketika pesaing mereka yang lain telah memperkuatkan skuad masing-masing lebih awal, dan mengambil masa untuk mewujudkan keserasian, Chelsea seperti masih tercari-cari formula terbaik untuk kekal kompetitif.
Teori di atas mungkin salah, namun masa akan merungkaikan kepada kita sama ada Conte mampu melakukannya sekali lagi bersama Chelsea pada penghujung musim ini.
Mampukah Chelsea mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2017/18? Apa pandangan penyokong Chelsea?
Sumber:
1. Stuart Ballard, The Sub (2017): Chelsea have not done enough this summer to retain Premier League title – Alan Shearer; http://www.dailystar.co.uk/sport/football/635449/Chelsea-transfer-news-Premier-League-title-Alan-Shearer-Nemanja-Matic-football-gossip
2. Teddy Cuttler, Newsweek (2017): WHY CHELSEA WON’T TOP THE PREMIER LEAGUE TABLE AGAIN NEXT SEASON; http://www.newsweek.com/chelsea-premier-league-title-antonio-conte-diego-costa-eden-hazard-sport-613151