Seperti sudah dijangka, skuad ‘eksperimentasi’ Harimau Malaya dengan mudah dijinakkan oleh Jordan, apabila tewas 4-0 dalam perlawanan pesahabatan antarabangsa pada malam tadi.
Ia mungkin hanya satu perlawanan eksperimen dalam usaha Tan Cheng Hoe membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk saingan Piala AFF Suzuki pada Disember hadapan. Namun kekalahan tersebut tetap masih tetap pahit ditelan oleh kebanyakkan peminat dan penyokong bola sepak pasukan negara.
Bukannya penyokong tidak boleh menerima kekalahan. Semua sedia maklum, keputusan atau skor akhir dalam perlawanan sebegini adalah perkara kedua.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | 6 Oktober 2021
JORDAN 🇯🇴 4-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Ali Olwan 34' 47' 49' Odai Al-Saify 42'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/q2qQghepf6
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 6, 2021
Tetapi apa yang ramai harapkan sebenarnya ialah hala tuju yang lebih jelas perlawanan tersebut diadakan. Jika ia bersifat eksperimen, apakah perkara yang kita mahu uji? Jika ada ralat, apakah perkara yang boleh kita elakkan supaya ia tidak berlaku – atau sekurang-kurangnya kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Berikut adalah tiga perkara pada pendapat kami harus diberikan penekanan oleh Tan Cheng Hoe dalam perlawanan persahabatan sebegini.
1. Turunkan muka baharu lebih kerap
Antara tujuan pemilihan pemain untuk menyertai kem latihan pasukan negara kali ini ialah untuk memberikan pendedahan kepada seramai mungkin muka baharu di pentas antarabangsa.
Antara pemain yang kali pertama mendapat panggilan adalah seperti penyerang sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah; Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC); Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun (Penang FC); Ariff Farhan (Kedah Darul Aman FC); dan pemain dari Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi.
Pemain yang pernah menyertai skuad Harimau Malaya tetapi jarang mendapat minit perlawanan ialah seperti Luqman Hakim dan Faisal Halim.
Oleh itu, peluang sebegini dilihat penting untuk pemain-pemain ini meraih pengalaman sebanyak mungkin aksi di pentas antarabangsa.
The bright spark in a mundane first half. If the referee wasn't there and 🇯🇴 players weren't physical, Faisal Halim will be flying past everyone just like this celebration. He is brave and willing to take on players. League form has given him lots of confidence. #HarimauMalaya pic.twitter.com/K6c8YW3RNA
— T. Avineshwaran (@avineshW90) October 6, 2021
Pendekatan ini penting dalam usaha memastikan skuad Harimau Malaya tidak terlalu bergantung kepada pemain tertentu sekiranya ada yang mengalami kecederaan.
Kemunculan Hakimi Abdullah, Luqman, dan Mukhairi terutamanya pada babak kedua perlawanan misalnya sedikit sebanyak mampu memberikan perkara positif kepada rentak permainan pasukan.
Ini bermakna tumpuan untuk ‘call up’ untuk perlawanan eksperimental selepas ini harus terarah kepada muka-muka baharu yang mampu menyumbang kepada pasukan negara untuk beberapa tahun mendatang. Jika tidak, maka ianya hanya seperti satu pembaziran.
2. Guilherme de Paula simbol kegagalan program naturalisasi
Buat masa ini kita semua harus menerima hakikat program naturalisasi untuk Harimau Malaya telah menemui kegagalan.
Selepas gagal menyerlah dalam pusingan kedua kelayakan Piala Asia/Piala Dunia yang lalu, perlawanan menentang Jordan dilihat sebagai medan untuk De Paula mendiamkan pengkritiknya. Namun sebaliknya yang berlaku.
Kami tidak pasti mengapa Tan Cheng Hoe masih menamakan De Paula di dalam ‘call up’ kali ini, namun satu perkara yang pasti sehingga kini pemain kelahiran Brazil itu gagal memberikan impak yang diharapkan.
Pasukan negara mungkin tidak mempunyai ‘pool pemain’ yang banyak untuk posisi penyerang, tetapi itu tidak bermakna kita tidak mempunyai calon langsung untuk diketengahkan.
Antara penyerang lain yang boleh dipertimbangkan untuk mendapat panggilan berbanding De Paula ialah seperti penyerang PJ City FC, Darren Lok; Danial Asri (Selangor FC) dan S. Kumaahran (Melaka United).
Paling tidak, berikan lebih banyak peluang kepada Luqman Hakim membuktikan kemampuan dan apa yang beliau pelajari setelah berkelana di Eropah.
Menuding jari kepada De Paula sahaja mungkin tidak adil. Malang sekali beberapa pemain berpengalaman yang turut diharapkan mampu menyeimbangi pasukan, turut gagal menampilkan prestasi sepatutnya.
Apa-apa pun sudah-sudahlah berharap kepada De Paula. Berikan lebih banyak peluang kepada pemain tempatan muda yang berpotensi menyumbang untuk tahun-tahun mendatang lebih banyak peluang.
3. Kenapa tidak eksperimen formasi baru?
Kami percaya perkara ini juga menjadi antara perkara yang ramai peminat bola sepak tanah air mahu lihat – iaitu untuk Tan Cheng Hoe melakukan eksperimen dengan formasi dan taktikal baharu.
Seperti kita semua tahu, pasukan negara biasa tampil dengan formasi 4-2-3-1/4-3-3. Tidak dinafikan ia adalah sistem permainan yang sudah sinonim dengan corak permainan pasukan negara.
Sebelum ini ia juga telah terbukti mampu membuahkan hasil terutamanya di peringkat awal pusingan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia yang lalu.
Namun ini tidak bermakna Tan Cheng Hoe harus terikat dengan satu sistem permainan semata-mata. Apa salahnya peluang bereksperimen di dalam perlawanan persahabatan turut menjadi peluang untuk mencari sistem baharu.
Sebagai contoh, ketika berhadapan pasukan yang lebih superior, sistem bek bertiga yang boleh membentuk rangkaian lima pemain pertahanan ketika bertahan turut boleh diuji. Logiknya, ia memberi peluang yang lebih baik untuk pasukan negara mengelak diri dibelasah.
Jika pasukan negara fleksibel di dalam sistem permainan dan taktikal yang diguna pakai, maka perkara ini hanya akan memberikan keuntungan kepada pasukan negara kerana lawan juga sukar untuk mengagak corak permainan yang bakal kita tampilkan.
Rumusan
Selain dari menentukan matlamat dan objektif perlawanan sebegini, apa yang peminat harapkan ialah pasukan negara mendapat input yang boleh memberi manfaat.
Penyokong sebenarnya bukan tidak dapat menerima kekalahan, tetapi biarlah kekalahan itu bermaruah dan tidak sia-sia.
Bukanlah niat untuk mengkritik atau mempersoalkan sesiapa, tetapi mungkin kini tiba masanya buat Tan Cheng Hoe memiliki sistem yang lebih bersistematik untuk memperkasakan pasukan negara.