Malaysia dilihat masih mempunyai pelbagai kelemahan perlu diperbaiki sebelum aksi persahabatan kedua beberapa hari sahaja lagi untuk berdepan cabaran India yang dianggap jauh lebih mencabar.
Sebelum itu, skuad kendalian Pau Marti Vicente berjaya mencipta kemenangan 3-1 mengatasi Laos ketika aksi berlangsung di Thailand bersama kualiti permainan kurang menyakinkan.
Walau sekadar bertemu Laos, Malaysia pada awalnya dilihat memiliki masalah untuk cepat menyesuaikan diri dalam permainan sehingga diikat lawan pada separuh masa pertama.
Siri konsistensi negara masih lagi sesuatu yang perlu dilihat oleh Pau Marti kerana jika tersilap langkah, keputusan perlawanan mendatang mungkin tidak menyebelahi Harimau Malaya.
Malah, inilah masa buat beliau untuk segera mengatasi segala bentuk kelemahan sebelum saingan AFF yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi.
Berdasarkan pemerhatian kami, ini kelemahan ketara Malaysia yang perlu diatasi segera pada aksi hadapan atau skuad kebangsaan mungkin sekadar menggigit jari ketika bertemu India.
Kualiti penyudah
Tiga gol telah pun terhasil pada perlawanan bertemu Laos buat Malaysia, namun ianya dianggap masih kurang menyakinkan apabila dua daripadanya menerusi sepakan penalti serta satu daripada situasi tendangan sudut.
Sepanjang aksi berlangsung, Malaysia sebenarnya memperoleh beberapa peluang terbuka untuk menjaringkan gol, namun ia disia-siakan begitu sahaja.
Malah, peluang gol buat Malaysia juga terhasil menerusi kesilapan mudah pertahanan lawan tetapi bukannya melalui kreativiti lebih baik daripada mereka.
Kepincangan pertahanan
Pertahanan pasukan negara secara ironinya tidak begitu baik, tetapi tidak begitu buruk ketika aksi berhadapan dengan Laos pada aksi lalu.
Namun menentang India yang memiliki rantaian pemain lebih berkualiti, sudah tentu pasukan kebangsaan perlu menampilkan aksi lebih berdisiplin terutama daripada segi persefahaman.
Gandingan antara Dion Cools dan Harith Haiqal juga perlu dikekalkan kerana kedua mereka dilihat saling memahami serta memiliki kekuatan terbaik untuk memenangi perebutan bola di udara.
Kualiti pemain
Pemain seperti Paulo Josue, Syafiq Ahmad, dan Safawi Rasid antara yang berada pada bawah prestasi sebenar ketika menentang Laos, terutama pada babak separuh masa pertama.
Pau Marti perlu menilai semula kualiti barisan pemain beliau yang bersesuaian untuk dipertaruhkan dalam kesebelasan utama demi mengelak kesilapan sama berulang pada perlawanan bertemu India.
Mungkin Stuart Wilkin atau Haqimi Azim boleh dibawa turun lebih awal selain mempertaruhkan Sergio Aguero untuk mengukuhkan jentera serangan Harimau Malaya pada aksi akan datang.