Bintang muda negara iaitu Fergus Tierney secara rasminya menjadi pemain baharu terpilih untuk menyertai kem latihan Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi persahabatan tidak lama sahaja lagi.
Perkara itu diumumkan sendiri menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam dengan beliau menggantikan pemain naturalisasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales atas faktor kecederaan.
“Pemain Chonburi FC, Fergus Tierney yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.
“Fergus, 21, menggantikan Romel Morales dari Johor Darul Ta’zim yang tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Perak FC, malam tadi,” ulas laman tersebut.
Melihat kepada pemilihan Fergus buat Harimau Malaya kini, kami anggapa ia sebagai keputusan tepat buat Pau Marti untuk menyenaraikan beliau pada kem latihan kali ini.
Kekuatan dan saiz fizikal
Fergus merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal serta ketinggian cukup baik untuk menjadi salah seorang penyerang utama Harimau Malaya.
Pada ketinggian 1.84 meter, Fergus dilihat memiliki kelebihan daripada segi perebutan bola di udara serta aspek fizikal digunakan begitu baik untuk mengatasi pertahanan lawan.
Kelebihan fizikal dan ketinggian Fergus itu menjadikan mengapa Pau Marti memilih beliau untuk menyertai kem kebangsaan kini walaupun beliau baru berusia 21 tahun.
Pengalaman luas pada usia muda
Pada usia masih muda, Fergus telah meraih banyak pengalaman cukup berguna ketika berlatih di beberapa akademi serta mewakili skuad pembangunan Harimau Malaya.
Malah, Fergus juga kini menjadi pemain kedua Malaysia yang aktif beraksi di Thailand bersama Chonburi FC dalam saingan Thai League 2 selaku penyerang import.
Satu gol bersama satu bantuan jaringan telah dilakar Fergus kini bersama kelab berkenaan daripada 12 penampilan di saingan tersebut.
Penyerang tulen kedua Malaysia kini
Senarai menyaksikan kem kebangsaan kini hanya memiliki dua orang sahaja penyerang tulen iaitu Syafiq Ahmad dengan Darren Lok dan Romel Morales terpaksa diketepikan atas isu kecederaan.
Kehadiran Fergus memberi pilihan kepada Pau Marti untuk menilai kekuatan semasa Fergus pada dua aksi persahabatan antarabangsa akan datang.
Malah, pemilihan kali ini juga merupakan percaturan terbaik buat Pau Marti untuk mendapatkan pengganti seakan Romel daripada segi kekuatan fizikal serta klinikal di hadapan gol walaupun Fergus masih muda.