3 Pemain Warisan ‘Mungkin’ Bakal Dinilai Oleh Kim Pan-gon Selepas Ini

Pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 ini, kita dapat lihat hampir semua pemain menyerlahkan kualiti permainan mereka dengan baik dalam setiap perlawanan peringkat Kumpulan E ketika berdepan Turkmenistan, Bahrain, dan Bangladesh.

Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), nyata barisan akhir yang dipilih Kim Pan-gon datang dengan kepelbagaian latar belakang pemain.

Antara mencuri tumpuan pastinya pada pemain-pemain warisan yang mempamerkan semangat dan mutu permainan tinggi untuk bersama-sama membantu Malaysia mencapai keputusan positif.

Dion Cools, Corbin Ong, Matthew Davies, Darren Lok, dan Junior Eldstal telah membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri selaku pemain warisan bola sepak negara.

Sehingga kini masih ada beberapa lagi pemain warisan yang masih aktif bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang mungkin boleh dinilai oleh Pan-gon untuk aksi antarabangsa seterusnya.

David Rowley

Pada awal kemunculan pemain ini dalam saingan Liga Malaysia ketika mewakili kelab dari Liga Premier iaitu PDRM pada tahun 2018.

Selepas itu beliau berhijrah Negeri Sembilan dan Kelantan di liga tersebut sebelum mula menyinar ketika mewakili Kedah Darul Aman (KDA) pada tahun 2019.

Pemain berketinggian 1.85 meter ini beraksi selaku pemain tengah bertahan dan bersama Kedah, beliau berjaya melonjakkan nama dengan baik sebelum berhijrah ke Penang pada tahun lalu dan kini menjadi antara tonggak bersama Sri Pahang.

Kelebihan Rowley terletak pada fizikalnya yang tinggi untuk perebutan bola di udara, serta sering mencatat gol menerusi sepakan percuma atau situasi sepakan sudut dengan tandukan kencang.

Nick Swirad

Pemain ini pernah dipanggil mewakili skuad kebangsaan pada 2019 namun terpaksa mengetepikan seketika peluang tersebut apabila Nick mengalami kecederaan agak serius ketika itu.

Pada awal karier di Malaysia, pemain kelahiran Manchester ini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bawah kendalian Benjamin Mora pada tahun 2016.

Kemuncak karier beliau ketika itu pada tahun 2019 sewaktu mewakili PKNS apabila beliau berjaya meledak 4 gol daripada 23 perlawanan dihadapi untuk mencuri perhatian kem kebangsaan.

Pemain ini mempunyai kualiti permainan agak menyakinkan apabila mampu untuk beraksi selaku pertahanan tengah, serta pemain tengah bertahan dengan cukup baik.

Aksinya kini bersama Sri Pahang juga tidak begitu menghampakan apabila beliau menjadi pemain penting dalam sistem yang diterapkan oleh Christophe Gamel.

Ryan Lambert

Pemain tengah Kuala Lumpur City (KL City) ini sedang berada dalam prestasi terbaik beliau bersama pasukan menerusi aksinya yang sangat bagus.

Pemain kacukan ini antara tonggak utama KL City sejak musim lalu dan antara pemain menjuarai Piala Malaysia 2021 bersama kelab tersebut untuk mengatasi JDT di SNBJ.

Kualiti pemain ini terletak pada ketenangan dalam mengawal bola, skil individu yang bagus, serta mempunyai kelebihan membuat sepakan kencang dari jarak jauh.

Ryan juga mempunyai pasangan kembar yang turut beraksi bersama beliau dalam KL City iaitu Declan Lambert selaku pemain pertahanan kiri.

Kesimpulan

Selain nama-nama tersebut, ada beberapa lagi pemain yang boleh dianggap bagus tetapi sukar untuk mendapat panggilan bersama kem kebangsaan ketika ini.

Antaranya Brendan Gan yang sedang menjalani latihan ringan dan belum pulih sepenuhnya setelah menjalani pembedahan kanser.

Selain itu, antara pemain bernilai musim lalu iaitu Daniel Ting juga antara pemain yang bagus tetapi mungkin sukar dipanggil setelah tidak beraksi pada musim ini secara kompetitif serta enggan mengambil vaksin bagi menjalani latihan dalam negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN