Malam ini saingan Liga Super bakal terus berlangsung dengan membabitkan perlawanan tertunda yang mempertemukan antara Sri Pahang menentang Terengganu.
Beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Darul Makmur, pastinya ini memberi sedikit kelebihan buat Sri Pahang yang pastinya akan mendapat sorakkan padu daripada para penyokong.
🏴🏳 HARI PERLAWANAN LIGA SUPER MALAYSIA 2022 : SRI PAHANG FC VS TERENGGANU FC 🏴🏳
SRI PAHANG FC vs TERENGGANU FC
📆 21 Ogos 2022
⏰ 8.15 pm
🏟 Stadium Darul Makmur#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/Z1c3kLIAz0— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 21, 2022
Ditambah sehingga kini, Sri Pahang mengekalkan momentum cemerlang mereka menerusi lima perlawanan berturut-turut tanpa mencatat sebarang kekalahan dalam aksi Liga Super.
Manakala Terengganu pula, mereka pastinya ingin mendapatkan momentum terbaik menerusi kemenangan setelah berjaya mencatat dua keputusan positif sebelum itu, dengan menjadikan Sarawak United dan Selangor sebagai mangsa.
Pertemuan kedua pasukan ini pastinya akan menjadi tumpuan kerana kedudukan mata membabitkan dua kelab tersebut sangat rapat bagi menduduki tangga keempat Liga Super.
Berikut ada tiga pemain yang dijangka bakal memberi impak penting dalam perlawanan malam esok.
Steven Rodriguez (Sri Pahang)
Penyerang utama Sri Pahang ini tidak mengambil masa yang lama untuk meninggalkan impak besar buat pasukan menerusi ketajamannya.
Rodriguez ketika ini sudah pun meledak tujuh gol secara keseluruhan buat Sri Pahang daripada sembilan penampilan beliau dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
Pemain yang berasal dari Colombia ini memiliki kekuatan fizikal yang sangat baik selain bijak menyudahkan segala peluang terhidang di hadapan gol.
Faisal Halim (Terengganu)
Pemain lincah Terengganu ini boleh dikatakan kunci utama dalam setiap serangan yang tercetus oleh pasukan sepanjang musim ini.
Faisal bukan sahaja seorang yang sangat lincah mengawal bola, malah pemain ini juga memiliki teknik yang sangat baik ketika melepaskan rembatan ke arah gol.
Lebih menarik, Faisal juga memiliki daya kreativiti yang sangat baik dalam mencipta hantaran dalam petak penalti, selain kelicikan beliau memperdayakan pertahanan lawan.
Kpah Sherman (Terengganu)
Pemain ini dijangka akan terus membarisi kesebelasan utama Terengganu malam esok selaku penyerang utama pasukan.
Walaupun musim ini Kpah dilihat tidak begitu menyerlah dalam penghasilan gol, pemain ini menjadi titik penting buat Terengganu ketika memulakan serangan.
Kpah pada musim ini sudah pun meledak empat gol buat Terengganu dan pemain kebangsaan Liberia ini pastinya akan menjadi sandaran utama malam esok untuk menggempur kubu pertahanan Sri Pahang.