Malaysia secara rasminya telah pun mencatat kekalahan besar 0-4 di tangan New Zealand semalam untuk menutup aksi di pentas antarabangsa pada bulan ini tanpa sebarang kemenangan.
Kekalahan di gelanggang lawan itu menyaksikan segelintir peminat bola sepak kebangsaan tampil tidak begitu berpuas hati akan persembahan diberikan oleh skuad kendalian Pau Marti Vicente.
Empat gol New Zealand semalam terhasil menerusi Elijah Just, Matthew Garbett, Chris Wood, dan Logan Rogerson, sementara Malaysia pula kemarau tanpa sebarang gol.
Aksi itu juga memberi gambaran betapa berbezanya jurang antara pemain New Zealand jika dibandingkan oleh skuad kebangsaan seperti dikatakan oleh Pau Marti sebelum perlawanan berlangsung.
Walaupun mencatat kekalahan, sebenarnya masih ada beberapa pemain Harimau Malaya yang menampilkan aksi mencuri tumpuan dan sangat positif terutama di separuh masa kedua perlawanan.
Sudah tentu ini sedikit sebanyak memberi gambaran positif buat Pau Marti untuk menilai dengan lebih mendalam mengenai skuadnya sebelum mengharungi aksi hadapan.
Akhyar Rashid
Dibawa masuk pada pertengahan separuh masa pertama untuk menggantikan Darren Lok yang mengalami kecederaan di posisi serangan Harimau Malaya.
Kemasukan beliau sedikit sebanyak ketika itu menghidupkan siri serangan negara menerusi kelincahan serta kepantasan dimilikinya untuk cuba mengatasi pertahanan lawan.
Malah, Akhyar juga sangat rajin bergerak ke serata arah kawasan di atas demi memastikan penguasaan bola kekal menjadi milik Malaysia.
Syamer Kutty
Walaupun gandingan beliau bersama Nooa Laine tampil kurang menyakinkan sepanjang aksi berlangsung sehingga membenarkan lawan menguasai posisi tengah, secara individu Syamer wajar dipuji.
Kerajinan beliau untuk bergerak serata arah padang demi memberi bantuan kepada rakan sepasukan lain menjadikan bintang Penang ini begitu mencuri tumpuan.
Sudah tentu Pau Marti perlu memikirkan gandingan paling bersesuaian untuk memenuhi kehendak corak permainan beliau pada perlawanan akan datang.
Haqimi Azim
Lincah, cepat membuat keputusan, serta rajin menghidupkan serangan menjadikan bintang muda ini antara pemain yang perlu dikekalkan Pau Marti selepas ini untuk aksi antarabangsa.
Bertindak selaku ‘supersub’, Haqimi sudah pun membuktikannya sebanyak beberapa kali pada aksi lalu untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Selebihnya, beliau kekal berdisiplin di posisi sera membentuk gandingan lebih unggul bersama Zikri Khalili untuk menyeimbangkan sisi serangan Harimau Malaya.