3 Pemain Liverpool Berada Dalam Senarai Calon The Best FIFA Football Award

42 nama keseluruhan telah dicalonkan untuk anugerah berprestij The Best FIFA Award oleh badan bola sepak dunia semalam.

Empat anugerah dipertandingkan merangkumi kategori pemain dan jurulatih terbaik untuk kategori lelaki dan juga wanita.

10 pemain (lelaki) telah disenaraikan untuk merebut anugerah berprestij The Best FIFA Football Award.

The Best FIFA Award (Lelaki)

Cristiano Ronaldo
Berhijrah ke Turin, Cristiano Ronaldo membantu Juventus menjuarai Serie A pada musim lalu. Merupakan penjaring terbanyak untuk Juventus di semua pertandingan, beliau turut diumumkan sebagai pemain paling bernilai di Serie A.

Di pentas antarabangsa, Ronaldo turut menyinar apabila menjadi kapten Portugal yang menjuarai edisi sulung UEFA Nations League pada musim panas lalu.

Frenkie de Jong
Dianggap sebagai pemain tengah terbaik pada generasinya, Frenkie de Jong adalah antara tunjang kepada prestasi luar biasa Ajax pada musim lalu. Membantu Ajax muncul juara liga domestik di Belanda, pemain berusia 22 tahun ini juga melengkapkan koleksi trofi domestik apabila memenangi Piala Belanda.

Merupakan pemain terbaik tahunan di Eredivisie, De Jong juga membantu Ajax mara ke separuh akhir UEFA Champions League pada musim lalu. De Jong kemudiannya menyertai Barcelona selepas tamat musim bersama Ajax.

De Jong
(Photo by Eric Verhoeven/Soccrates/Getty Images)

Matthijs de Ligt
Seperti De Jong, Matthijs de Ligt adalah salah seorang pemain muda yang mendapat perhatian di Eropah. Membantu Ajax meraih kejuaraan berganda di peringkat domestik, keupayaan pemain berusia 19 tahun ini tampil sebagai kapten sehingga membawa Ajax ke separuh akhir UCL adalah sesuatu yang luar biasa.

Kematangan De Ligt di atas padang sentiasa menjadi perhatian. Beliau akhirnya menyertai Juventus pada musim panas lalu.

Harry Kane
Harry Kane adalah salah seorang penyerang paling konsisten. Musim lalu, beliau menjaringkan 17 gol dari 28 penampilan untuk Tottenham di Liga Perdana Inggeris.

Turut membantu kelab London tersebut mara ke perlawanan akhir UCL, Kane juga adalah sebahagian daripada skuad England yang mara ke separuh akhir UEFA Nations League.

Eden Hazard
Merupakan Pemain Terbaik PFA pilihan penyokong, Eden Hazard membantu Chelsea muncul juara UEFA Europa League pada musim lalu.

Juga adalah penjaring terbanyak Chelsea di semua pertandingan pada musim 2018/19, Hazard akhirnya berhijrah ke Real Madrid untuk cabaran baharu pada musim ini.

Hazard
(Photo by Alex Grimm/Getty Images)

Sadio Mane
Bintang Liverpool ini adalah salah seorang individu penting dalam rangkaian serangan Liverpool. Musim lalu adalah musim terbaik yang dilalui oleh Sadio Mane dalam karier profesional beliau.

Membantu Liverpool muncul juara Eropah, Mane juga adalah penjaring terbanyak bersama di EPL. Di pentas antarabangsa, Mane membantu negaranya muncul naib juara AFCON 2019.

Kylian Mbappe
Penyerang muda Perancis ini membantu Paris Saint-Germain (PSG) muncul juara Ligue 1 dan Trophee des Champions pada musim 2018/19.

Merupakan penjaring terbanyak untuk PSG di semua pertandingan, beliau juga adalah penjaring terbanyak di Ligue 1 pada musim lalu. Tidak hairanlah mengapa Mbappe turut dinobatkan sebagai pemain terbaik Ligue 1 untuk musim 2018/19.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Lionel Messi
Kapten Barcelona dan Argentina ini melalui musim yang bercampur baur sepanjang musim lalu. Bersama Barcelona, Messi membantu gergasi Catalan itu muncul juara La Liga, namun terkandas di separuh akhir UCL, sebelum dikejutkan di perlawanan akhir Copa del Rey oleh Valencia.

Namun di eropah, tidak ada pemain lain yang menjaringkan sebanyak gol seperti Messi – sekaligus menobatkan beliau sebagai pemenang Kasut Emas Eropah. Namun di pentas antarabangsa, Messi terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-3 di Copa America 2019.

MADRID, SPAIN – MARCH 22: Lionel Messi reacts during the International Friendly match between Argentina and Venezuela at Estadio Wanda Metropolitano on March 22, 2019 in Madrid, Spain. (Photo by Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images) (Photo by Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images)

Mohamed Salah
Bintang Liverpool dari Mesir ini adalah penjaring terbanyak untuk kelab di semua pertandingan pada musim lalu. Beliau juga adalah penjaring terbanyak di EPL bersama-sama rakan sepasukan Sadio Mane dan penyerang Arsenal, Piere-Emerick Aubameyang.

Selain daripada membantu Liverpool muncul naib juara EPL – terbaik dalam sejarah – Salah juga membantu kelab Merseyside itu muncul juara Eropah buat kali ke-6 dalam sejarah.

LIVERPOOL, ENGLAND – MAY 12: Mohamed Salah of Liverpool with the golden boot during the Premier League match between Liverpool FC and Wolverhampton Wanderers at Anfield on May 12, 2019 in Liverpool, United Kingdom. (Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Virgil van Dijk
Dianggap sebagai pemain pertahanan paling lengkap pada hari ini, Virgil van Dijk membuktikan pelaburan £75 juta rekod dunia sebagai sangat berbaloi.

Musim lalu, Van Dijk membantu Liverpool muncul juara UCL, dan turut membawa Belanda sebagai naib juara UEFA Nations League.

The Best FIFA Award (Wanita)

Bagi kategori wanita pula, menyaksikan 12 pemain telah disenaraikan sebagai calon. Mereka adalah:

  • Lucy Bronze (ENG) – Olympique Lyonnais
  • Julie Ertz (USA) – Chicago Red Stars
  • Caroline Graham Hansen (NOR) – Wolfsburg / FC Barcelona
  • Ada Hegerberg (NOR) – Olympique Lyonnais
  • Amandine Henry (FRA) – Olympique Lyonnais
  • Sam Kerr (AUS) – Chicago Red Stars / Perth Glory
  • Rose Lavelle (USA) – Washington Spirit
  • Vivianne Miedema (NED) – Arsenal
  • Alex Morgan (USA) – Orlando Pride
  • Megan Rapinoe (USA) – Reign FC
  • Wendie Renard (FRA) – Olympique Lyonnais
  • Ellen White (ENG) – Birmingham City / Manchester City

Siapakah yang layak?

FIFA akan mengambil kira setiap undian daripada empat pihak berkepentingan iaitu dari kalangan wartawan bola sepak, jurulatih pasukan kebangsaan ahli gabungan, dan juga undian oleh penyokong yang mengambil bahagian untuk melakukan undian melalui laman sesawang FIFA.com.

Kiraan 25% daripada markah dari setiap bahagian akan diambil untuk menentukan pemenang. Anda hanya perlu memilih tiga pemain terbaik untuk melakukan undian.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN