Pertikaian kecil ketika ini timbul dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, apabila nama Nur Shamie Iszuan secara tiba-tiba dipanggil untuk menyertai kem kebangsaan bagi menggantikan khidmat Darren Lok yang mengalami kecederaan.
Umum mengetahui nama Shamie sebelum itu sudah pun disenaraikan dalam barisan pemain bersedia untuk menggantikan khidmat tonggak utama jika mereka tidak dapat menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.
Namun, ramai menganggap keputusan Kim Pan-gon untuk menyenaraikan nama Shamie sebagai sesuatu cukup aneh kerana prestasi beliau pada musim lalu serta pengalamannya sebelum ini bersama skuad kebangsaan jelas tidak memberansangkan.
Musim lalu menyaksikan pemain sayap tersebut langsung tidak menjaringkan sebarang gol atau mencipta bantuan jaringan daripada 13 perlawanan dilalui bersama Sri Pahang.
Walaupun begitu, awal musim ini mungkin ia sedikit positif buat Shamie apabila dirinya mencipta satu bantuan jaringan ketika bersama Kuching City.
Namun, ianya tetap dianggap tidak memberansangkan kerana corak permainan beliau kini dianggap kurang memberi impak sepatutnya selaku pemain senior.
Menerusi pandangan kami di Semuanya BOLA, tiga pemain tempatan lain sepatutnya perlu diperhatikan dengan lebih baik oleh Kim serta kejurulatihan lain untuk diberi peluang bersama pasukan kebangsaan jika dibandingkan oleh Shamie terutama di posisi sayap kanan.
Nabil Latpi
Musim lalu menjadi detik terbaik buat Nabil untuk bersinar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menerusi impak positif ditinggalkan beliau bersama PDRM.
Catatan musim lalu menyaksikan Nabil meledak lima gol serta satu bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 21 penampilan bersama PDRM selain sering menjadi pencetus utama buat siri serangan The Cops.
Selain tenang di hadapan gol, anak jati Kedah ini juga memiliki kualiti kawalan bola cukup baik untuk mengatasi pertahanan lawan dan sudah pun dibuktikannya.
Wan Zack Haikal
Selepas agak lama menyepi, nama Wan Zack kini kembali menjadi sebutan ramai para peminat bola sepak kebangsaan selepas impak besar diberikannya musim lalu bersama skuad Perak.
Bawah kendalian Yusri Che Lah, nama Wan Zack boleh dianggap kembali bersinar selepas dirinya kerap diberi peranan penting untuk bersama barisan pemain muda lain di hadapan gawang gol.
Musim lalu menyaksikan pemain tersebut sudah pun meledak dua gol bersama tiga bantuan jaringan daripada 21 penampilan bersama Perak.
Malah, Wan Zack juga sudah membuka akaun jaringan sulung musim ini ketika Perak mencipta kekalahan 2-3 kepada PDRM dalam saingan Liga Super 2024/2025.
Jaffri Chew
Nama Jaffri bukan lagi suatu yang asing dalam arena bola sepak tanah air, selepas beliau pernah menyerlah suatu ketika bersama skuad pembangunan Harimau Malaya selaku penyerang.
Menjadi antara pemain paling kerap menerima kritikan, Jaffri kembali bangkit pada musim lalu bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bersama Sabah sehingga dirinya kembali meraih pujian ramai.
Statistik musim lalu menyaksikan Jaffri telah meledak tiga gol daripada 20 penampilan di pentas domestik bersama Sabah.
Selain itu, Jaffri juga turut membuka satu akaun jaringan di pentas AFC ketika The Rhinos berdepan cabaran Hai Phong FC bagi aksi peringkat Kumpulan H.
Musim ini, pemain berusia 26 tahun itu sudah pun meledak satu gol ketika Sabah mencatat kemenangan 2-1 mengatasi Kuching City di Likas.