Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan beberapa pemain baharu bakal menyertai pasukan tersebut untuk saingan pada musim hadapan.
Terdahulu, TMJ turut berkongsikan mengenai persiapan pasukan untuk musim hadapan ketika ini berjalan dengan lancar dan semuanya bakal selesai pada penghujung tahun 2023.
Seperti diketahui, baginda pernah menyatakan Harimau Selatan akan bertambah kuat pada tahun hadapan jika dibandingkan musim ini dengan beberapa persiapan sudah dibuat.
Menurut TMJ, dua pemain tempatan bersama tiga import baharu bakal menyertai Harimau Selatan untuk saingan musim hadapan bagi memperkukuhkan lagi pasukan tersebut.
“Setakat ini persiapan pasukan sudah pun memasuki hampir 90% hampir siap dan habis sahaja musim ini saya akan pastikan ianya sudah pun lengkap untuk tahun hadapan.
“Untuk slot pemain tempatan, kemungkinan akan ada 1 atau 2, dan tak silap saya kami ada 3 lagi pemain asing bakal menyertai pasukan ini,” ulas TMJ menerusi program Nindia
Walau bagaimanapun, pengendali kelab tersebut enggan berkongsikan tentang pemain-pemain tersebut sambil menyatakan mereka bukan sahaja bakal membantu kelab tetapi turut memperkuatkan skuad kebangsaan.
Setakat ini, JDT boleh dikatakan sudah pun sangat lengkap di segenap posisi menerusi kemasukan beberapa pemain baharu musim 2023 seperti Heberty Fernandes, Oscar Arribas, Juan Muniz Gallego, serta Takehiro Kunimoto.
Kemasukan pemain baharu dijangka bakal menyaksikan pasukan tersebut tampil dengan lebih baik lagi untuk dihadapi kelab lain pada musim hadapan, khususnya dalam persaingan Liga Malaysia (Liga M).
Pada masa sama, TMJ turut menyentuh soal konsistensi pasukan lain ketika ditanya oleh saudara Hafizal Hamad, dengan menyatakan Selangor sebagai salah satu kelab pilihan baginda.
“Daripada segi kestabilan, saya rasa Selangor bagus tahun ini, tetapi tidak untuk persembahan saya tak boleh cakap bagus kerana kami menewaskan mereka di laman sendiri dan tempat lawan 4-0, serta lepas tu 2-0, jadi 10-0 untuk tiga perlawanan.
“Cabaran? Kedah 5-0 di laman sendiri dan seri 3-3 di sana. Jadi saya rasa untuk pasukan konsisten ketika ini masih lagi belum ada.
“Terengganu sangat-sangat bagus. Sekarang mereka dah baik, cuma mereka sedikit bermasalah pada awal musim dan Terengganu sentiasa memberi kita tentangan yang hebat.
“Kuala Lumpur pun mungkin kurang baik dalam persaingan liga, tetapi setiap kali kami bertemu mereka kami akan menghadapi masalah,” ulas TMJ lagi.