Setelah mempamerkan aksi positif dalam perlawanan pertama skuad kebangsaan menewaskan Turkmenistan dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), kini mereka bakal berdepan cabaran lebih getir untuk menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023.
Jelas skuad kebangsaan kali ini dilihat lebih bersedia untuk menghadapi aksi kelayakan tersebut setelah mereka membuat persiapan sebelum itu dengan dua siri perlawanan persahabatan Tier 1 berdepan Brunei Darussalam dan Hong Kong.
Perlawanan Seterusnya!
🗓 Sabtu, 11 Jun 2022
⚽ BANGLADESH 🇧🇩 🆚️ 🇹🇲 TURKMENISTAN
⚽️ MALAYSIA 🇲🇾 🆚️ 🇧🇭 BAHRAIN▶️ Dapatkan tiket RM40 (Terbuka), RM60 (Grandstand) dan RM7 (Kanak-kanak 6-12 tahun) di https://t.co/yPVcBB3eyw sekarang!#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/1mKzjDpaXd
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 9, 2022
Dalam perlawanan terbaharu ketika menewaskan Turkmenistan ada beberapa pemain dilihat berjaya menonjolkan diri sepanjang diberi peluang beraksi.
Ini ada tiga nama pemain kami senaraikan mampu untuk memberikan sesuatu positif dalam aksi seterusnya menentang Bahrain
Arif Aiman Hanapi
Pemain muda ini nyata menjadi duri dalam daging buat barisan pertahanan lawan apabila tampil dengan aksinya cukup lincah untuk menyusup masuk dari bahagian sisi.
Kecekapan Arif juga membuatkan beberapa pemain Turkmenistan terganggu dari segi mentaliti mereka apabila ada situasi pergaduhan kecil tercetus daripada lawan untuk mengganggu psikologi anak muda tersebut.
Hasil gerakan Arif juga menyebabkan gol kedua terhasil menerusi gandingannya bersama Faisal Halim pada minit ke-16 perlawanan.
Arif dijangka bakal terus menjadi senjata utama Kim Pan-gon untuk aksi seterusnya menentang Bahrain berdasarkan aset berkualiti tinggi yang ada pada pemain tersebut.
Faisal Halim
Pemain terbaik pada perlawanan menentang Turkmenistan ini sedang menikmati musim terbaiknya di peringkat antarabangsa apabila Faisal sebelum itu sudah mempamerkan konsistensi dalam aksi persahabatan.
Kelibat beliau dalam perlawanan baru-baru ini juga nyata menyukarkan pertahanan untuk mengepung Faisal selain tampil tajam di hadapan gol.
Mobiliti dan kreativiti Faisal mungkin bakal diperlukan lagi dalam aksi seterusnya untuk memberi sengat lebih berbisa buat serangan Harimau Malaya.
Corbin Ong
Pertahanan versatil ini juga antara yang dijangka menonjol dalam aksi menentang Bahrain pada hari Sabtu ini setelah kekuatan fizikal dan kepantasannya berjaya dipamerkan dengan baik ketika perlawanan menentang Turkmenistan.
Corbin juga menjadi pemain tambahan untuk membantu serangan Malaysia kerana beliau antara yang amat rajin dalam perlawanan selain kekuatan fizikalnya mudah untuk menangani lawan bertubuh besar.
Beraksi selaku pertahanan kiri, nyata konsistensi Corbin tidak perlu dipertikaikan lagi dan bakal memberi aksi positif untuk perlawanan menentang Bahrain.
Kesimpulan
Tidak kira siapa diturunkan pada perlawanan malam esok, setiap pemain tersebut membawa tanggungjawab besar dalam mengharumkan nama negara.
Hanya dengan kemenangan, peluang untuk ke Piala Asia bakal terbuka luas buat pasukan kebangsaan setelah sekian lama.
Kredit foto: FAM