Sabah nampaknya berjaya mengekalkan momentum mereka kini dalam persaingan Liga Super 2024/2025 menerusi siri kemenangan besar buat kali ketiga berturut-turut bersama aksi memberansangkan.
Terbaharu, Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi mangsa amukan The Rhinos menerusi siri kemenangan 5-2 di Likas sekali gus memastikan tiga mata berharga dimiliki skuad Datuk Ong Kim Swee.
Lima jaringan Sabah terhasil menerusi Saddil Ramdani, dua ledakan bintang import dari Brazil iaitu Joao Pedro, S. Kumahraan, serta Gary Steven Robbat untuk memadam sisa perjuangan Sang Kenari.
Sementara Kedah pula memperoleh dua jaringan menerusi pertahanan import mereka iaitu Cleylton Santos serta penyerang berbisa dari Serbia, Milos Gordic.
Kemenangan itu kini meletakkan Sabah di kedudukan ketiga terbaik Liga Super dan hanya dibezakan tiga mata sahaja oleh Selangor yang menghuni tangga kedua.
Menarik untuk diperkatakan mengenai tiga aksi dihadapi Sabah sebelum ini termasuk Kedah, apabila pasukan tersebut tampil berbisa menerusi 13 jaringan terhasil selain hanya dibolosi empat gol sahaja.
Lebih menarik, tiga pasukan yang menjadi mangsa amukan Sabah berasal dari utara semenanjung tanah air dengan dimulakan oleh Perak, Penang, serta terbaharu Kedah.
Ketika aksi bertemu Perak pada 19 Oktober lalu, pasukan ini meraih kemenangan 4-2 ketika perlawanan berlangsung di Stadium Mini Manjung.
Terarah kepada Penang pula pada 25 Oktober, pasukan itu terus mencipta sensasi menerusi siri kemenangan 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang serta memastikan kelab itu tidak dibolosi.
Terbaharu, pastinya pada aksi membabitkan Sabah menentang Kedah di Likas dengan lima gol berjaya dilakar pasukan tersebut untuk mengesahkan tiga mata berturut-turut.
Salah satu tumpuan pastinya terarah kepada penyerang import mereka iaitu Joao Pedro yang cemerlang meledak empat gol dalam empat perlawanan dihadapi.
Selain itu, pemain seperti Saddil Ramdani juga antara memainkan peranan besar untuk terus konsisten meledak gol dalam dua aksi dihadapi bersama kelab tersebut ketika menewaskan Penang serta Kedah.
Secara keseluruhan, Sabah tampil begitu baik kini bawah kendalian Kim Swee dan sudah tentu rekod tersebut ingin diteruskan pada aksi seterusnya pula.