3 Impak Bakal Dihadapi Kedah Tanpa Syafiq Ahmad

Syafiq Ahmad sah bakal kembali menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah beraksi beberapa bulan sebelum itu bersama Kedah Darul Aman (KDA) secara pinjaman apabila sekembalinya beliau daripada kem kebangsaan nanti.

Walaupun pada asalnya Syafiq akan beraksi bersama KDA selama satu musim, namun kelab asalnya tetap berhak memanggil beliau pada bila-bila masa diperlukan.

Untuk kem KDA, kini mereka pastinya bermasalah untuk menemui pengganti Syafiq setelah beliau pergi selepas ini.

Harus diakui, penyerang negara tersebut telah memberi impak yang besar musim ini buat kelab tersebut dengan hampir setiap perlawanan membabitkan beliau beraksi untuk membantu posisi serangan.

Ini ada tiga impak yang bakal dihadapi KDA setelah ketiadaan Syafiq bersama kelab tersebut.

Hub kreativiti serangan terjejas

Tampil sebagai pemain tonggak utama bawah kendalian Aidil Sharin musim ini, Syafiq berjaya menjalankan tugas beliau selaku pemain serangan dengan baik.

Beliau sentiasa menjadi titik utama serangan KDA berdasarkan mobiliti, kreativiti, dan ketajaman beliau selain membantu penyerang import Ronald Ngah Wanja dalam membuka ruang serangan buat pemain tersebut.

Dua gol dan tiga assist berjaya diraih pemain tersebut sepanjang aksi beliau bersama KDA musim ini walaupun gandingan beliau bersama pemain lain masih baharu.

Pengalaman Syafiq di pentas antarabangsa

Syafiq antara pemain yang mempunyai banyak pengalaman luas termasuk di pentas antarabangsa selaku pemain skuad kebangsaan serta di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) ketika bersama JDT.

Tampilnya beliau di KDA menjadi aset untuk Syafiq mencurahkan pengalaman beliau terutama sekali kepada penyerang-penyerang muda seperti Afeeq Ikmal dan Fikhri Zulkiflee sebagai masa hadapan baru kelab.

Khidmat beliau pastinya amat dirasai apabila KDA bakal mengharungi saingan Piala AFC tidak lama sahaja lagi untuk membantu jentera serangan berdasarkan pengalaman lalu Syafiq.

Rombakan formasi dan taktikal

Setelah ketiadaan Syafiq dalam kem KDA, Aidil pastinya bakal merombak kembali formasi pasukan terutama sekali sudut taktikal.

Ini kerana, Syafiq merupakan pemain penting dalam sistem yang diterapkan Aidil hampir dalam setiap perlawanan di bahagian serangan pasukan.

Ditambah import mereka iaitu Dennis Buschening pula dilanda kecederaan jangka masa panjang, pastinya ini memberi kerja tambahan buat pengendali dari Singapura itu untuk merangkai kembali taktikal beliau menjelang saingan Piala AFC tersebut.

Pengganti berkaliber diperlukan segera

KDA perlu bangkit dengan pantas untuk mencari pengganti Syafiq agar keseimbangan pasukan di bahagian serangan kembali stabil pada perlawanan akan datang.

Untuk ketika ini pemain yang sesuai beraksi di posisi Syafiq mungkin terarah kepada Fayadh Zulkifli setelah pemain lincah itu juga mempamerkan aksi positif musim ini.

Apa yang membezakan Syafiq dan Fayadh adalah pengalaman. KDA pastinya memerlukan seorang pemain import untuk bergandingan bersama Ngah Wanja dan kemungkinan mengorbankan mana-mana posisi lain.

Dalam masa sama, KDA juga perlu giat untuk memantapkan kualiti permainan buat bintang muda mereka supaya pemain seperti Syafiq bakal dilahirkan dengan baik oleh kelab tersebut pada masa akan datang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN