3 Faktor Menjurus Kepada Aksi ‘Cacamarba’ Penang FC Di Permulaan Piala Malaysia

Penang FC Piala Malaysia 2021 KL City

Selepas menamatkan musim pertama mereka kembali ke Liga Super 2021 di kedudukan ketiga, langkah awal Penang FC di kejohanan tertua di Asia Tenggara, Piala Malaysia, nampak sedikit merunsingkan penyokong.

Satu kekalahan dan satu keputusan seri menyaksikan Penang FC berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan satu mata, lima mata di belakang pendahulu, Sarawak United dan tiga mata di belakang KL City FC.

Masih terlalu awal untuk mengatakan yang mereka sudah terkeluar daripada persaingan untuk slot ke suku akhir, namun yang menggusarkan mamu-mamu di Pulau Mutiara ketika ini adalah corak permainan mereka.

Jelas dalam dua aksi berdepan Sarawak United dan kemudian KL City, skuad Harimau Kumbang seakan-akan hilang punca. Mereka dilihat mudah memberikan lawan penguasaan perlawanan dan mudah juga dibocori.

Apa yang sudah jadi kepada skuad kendalian Tomas Trucha yang dilambung-lambung tinggi sebelum ini?

Ini adalah antara kemungkinan faktor yang menjadi punca kepada penurunan prestasi juara Liga Premier 2020 itu dalam saingan Piala Malaysia kali ini. Ini mungkin tidaklah tepat tetapi sebagai gambaran buat kita.

Sam Somerville sudah ‘penat’ mental?

Seharusnya untuk aksi berdepan KL City, penjaga gol utama Penang FC itu sudah direhatkan. Ini kerana, dapat lihat penurunan prestasinya sejak kebelakangan ini. Kali terakhir penjaga gol kedua, Bryan See bermain adalah sebelum liga berehat pada Mei untuk memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia.

Sam Somerville terlibat dengan panggilan skuad kebangsaan walaupun tidak diturunkan bermain dalam keempat-empat aksi di UAE tempohari. Pulang dari kem skuad kebangsaan, Sam Somerville beraksi semua perlawanan untuk Penang FC. Termasuk dua aksi Piala Malaysia, beliau diturunkan dalam 11 perlawanan.

Dalam 11 penampilannya itu, beliau merekodkan dua cleansheet dan dibolosi sebanyak 20 gol – satu angka yang agak tinggi. Dua perlawanan menyaksikan beliau bolos sebanyak empat gol iaitu berdepan Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC. Begitupun, beliau masih disandarkan harapan oleh barisan kejurulatihan.

Musim lalu, dalam saingan Liga Super, Bryan See merupakan penjaga gol ke-4 terbaik bersama PDRM FC di belakang Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC), Khairul Fahmi (Melaka United) dan Khairulazhan Khalid (Selangor).

Tiada Khairu Azrin Khazali dan Rafael Vitor

Dua pemain ini tonggak utama Penang FC dan merupakan kunci penting prestasi baik mereka musim ini.

Untuk Khairu Azrin, daripada 16 penampilan dalam skuad utama, Penang FC telah menang 10 daripada 12 kemenangan yang diraih dalam 22 perlawanan sepanjang musim. Mereka hanya kalah sekali apabila Khairu Azrin berada dalam kesebelasan utama – tewas 0-2 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

Dan, tanpa Khairu Azrin untuk enam aksi – satu sebagai pemain gantian, mereka tewas lima daripadanya.

Sebagai antara pemain yang telah meraih penampilan terbanyak bersama pasukan, Rafael Vitor terlibat dalam 21 perlawanan bersama skuad utama. Beliau hanya tidak diturunkan hanya dalam satu perlawanan iaitu ketika tewas besar 1-4 kepada Kedah. Dua aksi pertama Piala Malaysia, kelibatnya langsung tiada,

Tanpa dua pemain ini, kelihatan Penang FC bergelut kerana tiada perlindungan khusus untuk benteng.

Terlalu bergantung dengan Casagrande?

Ini sentiasa menjadi persoalan media sehingga Tomas Trucha naik rimas dibuatnya pada awal musim lalu. Persoalan hadir selepas mereka terikat 1-1 menentang PJ City dan apabila Casagrande melepaskan deretan peluang buatnya. Soal Tomas Trucha dalam sidang media, “Apa jawapan yang anda mahu dengar?”

“Saya tidak faham kenapa soalan ini perlu ditanya. Dia [Casagrande] menjaringkan gol,” tegasnya lagi.

Benar, penyerang tinggi lampai itu sentiasa menjaringkan gol – 12 gol dalam 19 penampilannya. Selainnya, Sheriddin Boboev juga sudah mencipta enam jaringan diikuti kapten, Endrick dos Santos dan Danial Ashraf dengan empat gol. Daripada senarai penjaring itu, Sheriddin Boboev merupakan seorang penyerang.

Mungkinkah Penang FC perlu mencuba sesuatu yang baharu di jentera serangan? Berbanding meletakkan Sheriddin Boboev selaku pemain sayap menyerang, mungkin Tomas Trucha boleh meletakkannya di posisi sebenarnya semula iaitu seorang penyerang – seperti ketika menyarung jersi Istiklol FC dan Tajikistan.

Penutup

Benarkah Harimau Kumbang memiliki skuad yang seimbang seperti yang dilaungkan pengendalinya sebelum ini? Tetapi nampak seperti, jika tiada Rafael Vitor dan Khairu Azrin, pasukan mereka sangat bergelut.

Apa pun perbahasan, pengendali pasukan lebih mengenali pemainnya dan mengapa keputusan itu berlaku. Rehat yang panjang ini memberi ruang untuk Penang FC merawat luka di awal saingan Piala Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN