3 Faktor Yang Menyebabkan Kualiti Pengadil Malaysia Kerap Menjadi Isu

Liga bola sepak Malaysia pada musim ini yang melibatkan Liga Super, 100Plus Liga Premier, Piala FA dan TM Piala Malaysia telah menyaksikan sebanyak 365 perlawanan diadakan.

Seperti musim-musim liga Malaysia yang lepas, isu yang melibatkan pengadil tetap menjadi salah satu isu yang kerap tertera di pelbagai platform media. Pada musim 2017 sahaja, terdapat banyak isu yang melibatkan pengadil. Antaranya ialah:

  • Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh dihukum denda RM30,000 dan penggantungan selama 18 bulan kerana membuat spekulasi adanya pengaturan perlawanan di peringkat FAM.
  • Ketua jurulatih FELDA United, B. Sathianthan yang mahu membelikan jam CASIO kepada pengadil kerana memberikan hanya 1 minit masa tambahan semasa aksi Liga Super menentang Perak.
  • T-Team membuat bantahan rasmi terhadap mutu pengadilan semasa T-Team seri 2-2 dalam perlawanan Liga Super 2017 dengan Perak.
  • Penyokong Kedah mendakwa pengadil ‘membunuh’ semangat pemain ketika memberi kad merah kepada Rizal Ghazali yang memberi reaksi kepada terjahan pemain T-Team, Fakrurazi Musa.
  • Bekas ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menyalahkan pengadil kerana gagal memberi 2 penalti jelas ketika pertemuan menentang Pahang dalam Piala FA 2017.
  • Terengganu mengadu ‘teraniaya’ selepas pengadil gagal memberikan penalti berikutan insiden Azrif Nasrulhaq yang menolak bola dengan tangan dalam kotak penalti ketika aksi kumpulan D Piala Malaysia 2017
  • Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic ‘terkedu’ selepas pengadil membenarkan gol Mohamed Ghaddar yang bermula dari kedudukan ofsaid semasa JDT menewaskan Perak 2-1 dalam aksi Liga Super 2017.

Isu-isu ini membuatkan FAM mula mencadangkan langkah-langkah berikut untuk menambah baik mutu kepengadilan dalam liga Malaysia:

  • FAM akan menguji sistem VAR bermula musim 2018 (ditangguhkan ke musim 2019)
  • FAM akan menaik taraf 15-20 pengadil ke taraf profesional bermula musim 2018
  • FAM akan bekerjasama dengan Japan FA untuk mendapatkan pengadil mereka dalam sesetengah perlawanan besar

Situasi semasa kepengadilan di Malaysia

1. Pentadbiran

Dari segi pentadbiran kepengadilan di Malaysia, tahun 2017 menyaksikan berlakunya perubahan apabila Subkhiddin Haji Salleh dipilih menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Pengalaman luasnya sebagai bekas pengadil FIFA, bekas pengadil ke-4 Piala Dunia 2010 dan kini sebagai tenaga pengajar kejurulatihan FIFA di peringkat Asia dan antarabangsa merupakan satu aset buat FAM.

Selain Subkhiddin, Malaysia juga mempunyai beberapa pegawai FIFA seperti Mohd Rodzali Yacob (FIFA Instructor/RDO), C. Ravichandran (FIFA Fitness Instructor), Ahmad Khalidi Supian (FIFA Fitness Instructor), Azimi Abdullah (FIFA Referees Assessor) dan Kassim Kadir Bacha (FIFA Technical Instructor).

Mereka mempunyai akses kepada maklumat terkini daripada FIFA, memiliki pengalaman, pengetahuan dan latihan daripada kursus-kursus yang mereka telah hadiri.

“Jabatan Pengadil FAM perlu memanfaatkan kepakaran mereka kerana banyak negara-negara luar menggunakan kepakaran mereka untuk membangunkan pengadil-pengadil mereka. Sayang kalau bakat mereka tidak digunakan oleh kita,” menurut pendapat Amir Sharifuddin Wong, bekas pengadil FIFA ketika ditemu ramah kami.

Ketika ini, Jabatan Pengadil FAM diketuai oleh Kassim Kadir Bacha; bekas pengadil FIFA dari Melaka.

Tugas beliau cukup berat. Selain memantau perlawanan di bawah kelolaan FMLLP dan FAM, beliau turut bertanggungjawab membuat analisis perlawanan, menjadi tenaga pengajar dalam kursus kepengadilan di Malaysia dan menilai persembahan pengadil-pengadil tempatan.

“Beliau hanya dibantu oleh 2 staf yang membantu dalam hal-ehwal pentadbiran dan logistik. Tiada staf yang membantu beliau dalam hal-ehwal pembangunan pengadil,” tambah Amir yang mesra dipanggil Cikgu Amir oleh kami.

2. Pengadil kita

Menurut laporan Berita Harian, terdapat kira-kira 2,000 pengadil telah berdaftar dengan FAM. Tetapi hanya 203 orang sahaja yang layak mengadili perlawanan-perlawanan kelolaan FMLLP dan FAM.

Daripada 203 orang tersebut, 6 daripadanya adalah pengadil lelaki FIFA, 8 pembantu pengadil, seorang pengadil wanita FIFA, seorang pembantu pengadil wanita, 3 pengadil lelaki futsal FIFA dan 2 pengadil lelaki bola sepak pantai FIFA.

Pengadil-pengadil di Malaysia dibahagikan mengikut empat kategori iaitu A, A1, B dan C.

A – Pengadil untuk semua perlawanan (Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia, Piala FAM)
A1 – Pembantu pengadil di semua perlawanan (Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia, Piala FAM)
B – Pengadil dalam perlawanan terpilih (Liga Premier, Piala FA, Piala FAM, Bawah-22, Bawah-19 dan Bawah-17 dan kejohanan Kementerian Pelajaran Malaysia)
C – Pengadil/Pembantu pengadil dalam perlawanan terpilih (Bawah-22, Bawah-19, Bawah-17 dan kejohanan Kementerian Pelajaran Malaysia)

Bagaianapun daripada kelompok 203 pengadil ini, KURANG daripada 30 pengadil digunakan secara kerap untuk perlawanan elit seperti Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.

3. Proses perekrutan pengadil

Pengadil kelas ketiga (pengadil peringkat negeri)

Semua proses merekrut pengadil baru dilakukan secara berpusat melalui Peperiksaan Pengadil Kelas Ketiga Kebangsaan yang diadakan SEKALI pada setiap bulan April. Keputusan peperiksaan diumumkan pada bulan Jun.

Semua calon-calon pengadil yang mahu mengambil peperiksaan ini perlu mendaftarkan diri di Persatuan Bola Sepak Negeri masing-masing dan akan diberi kursus teori selama 2 hari. Tiada pengalaman praktikal diberikan.

Kelemahan:

• Hanya satu peperiksaan setiap tahun dengan alasan mahu menyeragamkan soalan peperiksaan. Tetapi soalan sama telah digunakan sejak 2008.

• Jadual peperiksaan dibuat ketika cuti semester. Oleh itu, tidak banyak calon-calon dari sekolah/kolej/universiti yang dapat menghadiri peperiksaan.

• Memandangkan kursus persediaan peperiksaan hanya dalam teori, calon yang berjaya mungkin TIDAK MEMPUNYAI PENGALAMAN PRAKTIKAL mengadili perlawanan (dengan wisel atau bendera pengadil).

• Calon yang berjaya mungkin tidak berdaftar sebagai pengadil di Persatuan Bola Sepak Daerah atau Negeri. Oleh itu, mereka mungkin KEKURANGAN/TIADA pengalaman praktikal.

• Calon yang berjaya hanya mendapat pengalaman praktikal sebagai pembantu pengadil di peringkat sekolah atau amatur kerana status mereka sebagai pengadil baru.

• Selepas 3 tahun, calon yang berjaya ini LAYAK mengambil Peperiksaan Pengadil Kelas Pertama Kebangsaan TANPA pengalaman praktikal mengadili perlawanan berkualiti di peringkat negeri atau daerah.

Peperiksaan Pengadil Kelas Pertama Kebangsaan

• Selepas 3 tahun, semua calon yang lulus Peperiksaan Pengadil Kelas Ketiga Kebangsaan boleh mengambil Peperiksaan Pengadil Kelas Pertama Kebangsaan yang diadakan setiap Oktober. Keputusan peperiksaan diumumkan pada Disember.

• Calon yang lulus peperiksaan ini akan diuji tahap kecergasannya dan perlu lulus 3 ujian perlawanan praktikal sebelum didaftarkan sebagai Pengadil Kategori C.

• Pengadil kategori C akan dilantik sebagai pengadil dan pembantu pengadil dalam perlawanan-perlawanan bawah-14, bawah-17, bawah-19 (Piala Belia) dan bawah-22 (Piala Presiden).

• Pengadil kategori C layak untuk dinaik pangkat menjadi pengadil kategori B.

Kelemahan:

• Calon yang berjaya kekurangan pengalaman praktikal (kurang 4 tahun) mengadili perlawanan-perlawanan berkualiti di peringkat daerah/negeri.

• Calon menghadiri seminar sama yang diadakan setiap tahun tanpa latihan spesifik untuk peringkat pengalaman yang berbeza.

Program Pembangunan Pengadil

Kelemahan:

• FAM TIDAK mempunyai pengadil. Semua pengadil datang dari Persatuan Bola Sepak Negeri.

• Sejak 2008, tiada bajet diperuntukkan kepada Pegawai Pembangunan Pengadil (PPP) di Persatuan Bola Sepak Negeri untuk menjalankan program pembangunan pengadil mereka sendiri.

• Oleh kerana tiada bajet, program pembangunan pengadil hanya wujud jika ada inisiatif daripada PPP sendiri.

• Aktiviti yang wujud pun hanyalah ujian kecergasan dan ujian kecergasan YoYo yang tidak berkala.

• Tiada bajet diperuntukkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri untuk program pembangunan pengadil. Sesetengah PPP terpaksa mengutip bayaran daripada peserta untuk menjalankan aktiviti. Hanya JDT yang memperuntukkan bajet untuk tujuan ini sejak 2015.

• Sebelum ini, PPP diberi elaun bulanan RM500 dan bajet RM50,000 untuk menjalankan program pembangunan pengadil (meliputi seminar tahunan, ujian kecergasan, kursus pengadil dsb). Amalan ini bagaimanapun dihentikan sejak 2009.

• Sesetengah Persatuan Bola Sepak Negeri LANGSUNG TIDAK MELAHIRKAN pengadil untuk liga peringkat kebangsaan.

• Dalam erti kata lain, negara kita tiada PROGRAM PEMBANGUNAN PENGADIL YANG SISTEMATIK sejak 9 tahun lepas.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN