Penyerang import baharu Kedah Darul Aman (Kedah), Ebenezer Assifuah secara rasminya telah pun diperkenalkan oleh Sang Kenari sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 ditutup.
Nama Assifuah bukan lagi suatu yang asing buat para peminat Kedah, kerana beliau telah pun ditandatangani pada tahun lalu oleh kelab tersebut untuk bersaing di saingan MFL.
Musim pertama Assifuah bersama Kedah, jelas bermula dengan langkah kanan pada tahun lalu menerusi rekod jaringannya yang cukup mengujakan para peminat setia pasukan tersebut.
Kehadiran Assifuah kini menjadikan skuad kendalian Nafuzi Zain kini sudah pun memiliki enam pemain import secara keseluruhan untuk dibawa bersaing di pentas domestik pada saingan musim ini.
Lima lagi pemain ialah Jose Cleylton (pertahanan), Habib Haroon (tengah), Sony Norde (serangan), Sukhroub Nurullaev (serangan), serta Milos Gordic (serangan).
Melihat kepada situasi mengapa Assifuah diikat Kedah kembali, jelas ada beberapa faktor mengapa pemain tersebut mungkin akan bersinar selaku salah seorang import berkualiti di Liga M
Rekod penyerang berbisa
Assifuah tampil selaku penyerang paling berbisa dalam saingan MFL pada tahun lalu ketika beliau bersama KDA B walaupun hadir dengan rekod kecederaan lampau.
Untuk saingan musim lalu sahaja, Assifuah telah pun meledak 16 gol secara keseluruhan bersama pasukan tersebut serta merangkul gelaran selaku penjaring terbanyak musim 2023.
Faktor ketajaman itu pastinya ditagih Kedah selepas mereka kehilangan khidmat bekas penyerang dari Nigeria iaitu Ifedayo Olusegun selain Milos Gordic dianggap masih belum menyesuaikan diri sepenuhnya.
Pengalaman cukup luas
Assifuah boleh dianggap sebagai salah seorang penyerang import yang memiliki pengalaman cukup luas di pentas antarabangsa termasuk dalam saingan teratas Eropah.
Pemain berusia 30 tahun ini memiliki pengalaman yang sangat luas di Eropah bersama beberapa siri kejayaan turut ditempa bersama Ghana.
Tahun 2013 menjadi sesuatu yang sangat istimewa buat Ebenezer, selepas kejayaan beliau membantu Ghana meraih gelaran ketiga terbaik untuk saingan Piala Dunia B-20 selain merekodkan selaku penjaring terbanyak kejohanan.
Untuk saingan African Youth Championship, Ebenezer menjadi antara tunjang utama kekuatan Ghana untuk membantu pasukan tersebut mara ke final.
Penyerang yang berasal dari Accra itu juga pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah seperti Sion, Le Havre, dan Pau FC di Perancis.
Nilai tambah buat skuad utama Sang Kenari
Kehadiran bekas penyerang kebangsaan Ghana itu dianggap sangat penting untuk terus memberi nilai tambah terbaik buat Kedah yang akan mengharungi musim sangat panjang.
Berdepan lawan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah, Selangor, dan Terengganu, yang memiliki rantaian pertahanan berkualiti tinggi, sudah tentu Kedah memerlukan sekurangnya seorang lagi penyerang berkualiti untuk mebghadapi lawan.
Ketika ini, Sang Kenari hanya memiliki Syafiq Ahmad dan Milos Gordic sahaja selaku peledak gol utama dengan rata-rata pemain lain kurang sesuai serta tidak memiliki banyak pengalaman sebaik Assifuah.
Malah, rombakan taktikal juga dapat dibentuk oleh Nafuzi untuk menggunakan dua penyerang sekali gus ataupun meletakkan salah seorang daripada bintang import tersebut di bangku simpanan sebagai persediaan.