Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya telah pun memperkenalkan penyerang import baharu mereka pada saingan musim ini iaitu Jese Rodriguez semalam menerusi perkongsian dibuat media rasmi kelab tersebut.
Umum mengetahui Rodriguez bukan calang-calang pemain ditandatangani JDT kali ini, kerana beliau memiliki reputasi cukup tinggi terdahulu di pentas Eropah bersama kelab-kelab berpengaruh.
Paling diingati pastinya ketika Rodriguez bersinar untuk Real Madrid di Pentas La Liga bersama rakan-rakan pemain hebat seperti Cristiano Ronaldo bersama aksi cukup menggagumkan.
Berita perpindahan Rodriguez bersama JDT bukan sahaja mendapat liputan meluas dalam kalangan media tempatan, malah ia turut menarik perhatian Fabrizio Romano untuk turut berkongsikan oerkara tersebut.
Walaupun bukan lagi berada pada tahap terbaik, secara keseluruhannya Rodriguez dilihat masih mampu untuk memberikan impak besar kepada pasukan.
Berikut merupakan tiga fakta menarik mengenai perpindahan bekas penyerang Paris Saint Germain (PSG) ini bersama JDT yang mungkin anda semua tidak tahu.
JDT jadi kelab Ke-10 diwakili Rodriguez
Ya, pada usia 31 tahun Rodriguez telah pun beraksi bersama sembilan kelab dan JDT menjadi pasukan ke-10 diwakili beliau dalam karier profesional.
Sepanjang karier, Rodriguez pernah mewakili Real Madrid, PSG, Las Palmas (dua kali), Stoke City, Real Betis, Sporting CP, Ankaragucu, Sampdoria, serta kelab dari Brazil, Coritiba.
JDT menjadi destinasi terbaharu buat Rodriguez untuk kembali beraksi secara kompetitif selepas beliau tidak beraksi buat mana-mana kelab sejak Januari lalu.
Pertama kali di Asia
Ini menjadi detik pertama kali buat Rodriguez beraksi di saingan Asia selepas beliau menghabiskan lebih banyak masa di Eropah serta Amerika Selatan dalam karier bola sepak profesional.
Lebih menarik, JDT menjadi destinasi pertama buat pemain ini beraksi di Asia berbanding kelab-kelab ternama lain yang disertai pemain seangkatannya di sini untuk menjadi salah satu kebanggaan Harimau Selatan mendapatkan khidmatnya.
Sudah tentu penampilan sulung beliau bersama JDT akan menjadi tumpuan ramai yang mempunyai keinginan untuk melihat kemampuan beliau dalam saingan bola sepak di Asia.
Pemain kelima Sepanyol bersama JDT
Untuk saingan musim ini sahaja, JDT telah pun memiliki empat bintang kelahiran Sepanyol termasuk tonggak Harimau Malaya iaitu Natxo Insa (pemain warisan).
Juan Muniz Gallego, Jordi Amat, serta Oscar Arribas juga merupakan pemain kelahiran Sepanyol yang menjadi nadi kekuatan utama buat Harimau Selatan di atas padang.
Kehadiran Rodriguez menjadikan JDT kini memiliki lima pemain kelahiran Sepanyol dan sudah tentu kombinasi permainan antara mereka bakal menjadi pertaruhan Hector Bidoglio.