3 Cara FAM Boleh Perbaiki Projek Naturalisasi Untuk Perkasakan Harimau Malaya

Malaysia Harimau Malaya Harimau Muda Misi Bersama 2021-2022

Sejauh manakah projek pemain naturalisasi telah memberikan manfaat kepada skuad Harimau Malaya? Setakat ini kita hanya mempunyai satu kesimpulan. Projek pemain naturalisasi yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuahkan hasil positif seperti yang ramai harapkan.

Mungkin tidak adil untuk menilai perjalanan projek ini berdasarkan satu kempen atau pertandingan antarabangsa sahaja. Kita semua juga yakin projek ini mempunyai ruang untuk ditambah baik agar boleh memberikan manfaat yang lebih baik kepada pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

Berikut adalah antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kepada FAM untuk dilaksanakan dalam usaha memburu pemain naturalisasi berkualiti untuk skuad Harimau Malaya.

Wujudkan kuota import B-23

Pemberian taraf naturalisasi kepada pemain import harus tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan pemberian taraf kewarnageraan kepada orang luar.  Oleh kerana itu, gelaran pemain naturalisasi kepada pemain import harus diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan mampu menyumbang jika mereka mampu memenuhi kriteria tertentu.

Antara kriteria yang harus diberikan perhatian ialah seperti faktor usia. Pengambilan pemain yang sudah berada di pertengahan umur 35 tahun misalnya bermakna pemain itu hanya mampu menyumbang untuk masa yang singkat. Logiknya berapa ramai pemain yang mampu bersaing di peringkat tertinggi pada usia tersebut?

Milos Raikovic, bekas pemain tengah Sarawak yang pernah beraksi bersama skuad B-17. B-19, B-21 Montenegro

Untuk memastikan pemain import yang dinaturalisasikan mampu menyumbang sekurang-kurangnya 5-10 tahun, FAM dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) boleh memperkenalkan kuota pemain import di bawah usia 23 tahun di Liga Malaysia. Syarat ketat juga harus dikenakan untuk pengambilan pemain import khusus untuk kuota ini. Misalnya pemain import itu harus pernah mewakili negaranya di peringkat usia Bawah-19 atau Bawah-20 di mana-mana kejohanan antarabangsa. Selepas lima tahun, mereka mungkin berusia sekitar 25-28 tahun.

Liridon Krasniqi Malaysia Bahrain 2021
Liridon Krasniqi pernah bersama Albania B-21.

Kedengaran seperti mustahil dan tidak mudah untuk memujuk pemain sebegini untuk memilih menyarung jersi pasukan negara. Tetapi kita perlukan piawai yang tinggi untuk melayakkan mereka menyarung jersi pasukan negara.

Sudah tentu mereka akan memilih untuk beraksi bersama Malaysia jika mereka mempunyai jiwa untuk berbuat demikian. Itulah yang diperlukan atau whats it takes untuk mendapatkan pemain naturalisasi yang layak diberikan kewarganegaraan dan menyarung jersi pasukan negara. Kita perlukan pemain yang mempunyai jiwa.

Buka AMD untuk warga asing

Formula ini pernah dicadangkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Y.B Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Beliau pada ketika itu melihat formula yang digunakan Qatar mewujudkan Akademi Aspire sebagai jawapan terbaik kepada bola sepak negara yang tidak pernah memenangi apa-apa kejohanan utama di peringkat Asia.

Untuk bola sepak, Akademi Aspire memiliki satu program khas yang mencari bakat bola sepak dari seluruh dunia untuk diserap dan dibangunkan. Pemain-pemain yang dibawa masuk ke akademi ini adalah terdiri daripada bakat berusia 6-11 tahun. Dalam erti kata lain, Malaysia boleh menggunakan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk konsep yang sama.

Untuk tujuan ini, tidak semestinya FAM meniru program di Akademi Aspire 100%. Harus diingat kos untuk mencari pemain naturaliasi menggunakan kaedah ini amat mahal. Di Akademi Aspire misalnya, ahli keluarga pelatih akan dibayar US5,000 atau bersamaan dengan RM21,000 sebagai saguhati. Kita boleh memilh untuk mengecilkan skop pengambilan, misalnya pemain muda berbakat yang terdiri daripada pelarian perang dari Palestin dan Syria.

Satu laporan pada 2015 mendedahkan lebih 4,000 warga Palestin berada di Malaysia, termasuk 2,000 pelajarnya yang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta. Daripada jumlah itu, lebih 1,000 orang daripada 150 keluarga pelarian Palestin dari Syria yang mula memasuki negara ini sejak penghujung 2011 selepas negara itu dilanda konflik peperangan saudara.

Untuk itu, FAM boleh mewujudkan program pembangunan yang mensasarkan warga Palestin dan Syria menggunakan kepakaran yang sudah ada di AMD. Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran, pernah berkata rakyat Palestin sebenarnya amat terhutang budi kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang menerima mereka. Bukanlah maksudnya kita mahu mengambil kesempatan, tetapi dengan menyerap bakat muda bola sepak dari dua negara tersebut, ia juga bermakna kita memberi peluang juga kepada mereka menyumbang kembali kepada negara.

Dengan adanya pemain-pemain dari Palestin atau Syria, sedikit sebanyak isu fizikal pemain tidak akan menjadi masalah lagi selepas ini. Ia sekaligus mewujudkan persaingan sihat kepada bakat tempatan kita. Langkah ini bagaimanapun sudah tentu harus mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu.

Buru lebih ramai pemain warisan

Kita sudah pun memiliki beberapa pemain warisan yang sudah membuktikan diri mampu menyumbang kepada pasukan negara. Antaranya ialah seperti Corbin Ong, Matthew Davies, Brendan Gan, dan terbaru ialah Dion Cools. Tetapi berapa ramaikah pemain berdarah Malaysia yang kini sedang beraksi luar negara? Ramai sebenarnya. Di sebalik itu ada juga cerita-cerita yang tidak sedap didengar.

Jaami Muhammad Qureshi, pemain bola sepak kacukan Iraq-Malaysia misalnya kini telah dilamar oleh Iraq. Previz Qureshi, ayah kepada pemain yang berpengkalan di Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris bawah 18 tahun ini mendedahkan tiada siapa daripada FAM yang menghubungi mereka melainkan Iraq yang sering berbuat demikian dengan kerap. Di mana Jawatankuasa Naturalisasi FAM di dalam hal ini?

Jaami Qureshi bukan satu-satunya pemain kacukan Malaysia yang sedang beraksi di luar negara. Beberapa nama lain seperti Richard Chin (Charlton Athletic, England) dan Nooa Laine (SJK, Finland), selain Jordan Yong (Nelson Suburbs), Ernest Wong (Manukau United), Sahadev Pokhrel (West Coast Rangers), dan Logan Kinajil-Moran (Western Suburbs) yang semuanya beraksi di New Zealand.

Sejauh mana FAM mengikuti perkembagan pemain-pemain ini di luar negara? Adakah kita akan terus hilang peluang untuk mendapatkan bakat tempatan seperti Isaac Angking yang telah memilih untuk menyertai Puerto Rico dan terkini Jaami Qureshi kerana kurangnya follow-up daripada FAM?

FAM memerlukan satu unit khusus yang terdiri daripada pakar untuk memantau secara dekat bakat-bakat pemain ini di luar negara. Ini termasuklah kebolehan pakar tersebut untuk mengumpul data dan statistik dan melakukan analisis terhadap bakat yang ada. Bukan sahaja nama-nama di atas, kita juga mempunyai ramai pemain berdarah Malaysia sepenuhnya mulai berpengkalan di luar negara seperti Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Omar Raiyan (Red Star Belgrade), Aqil Arazi Aziz (AS Cannes), Adam Hamid (NK Zvijezda Gradačac) dan ramai lagi yang perlu dipantau secara berterusan dan dipanggil menyertai pasukan negara apabila tiba masanya.

Pemain-pemain ini walaupun mempunyai pertalian langsung dengan Malaysia, masih perlu melalui proses naturalisasi di peringkat FIFA sebelum dibenarkan beraksi untuk Malaysia seperti mana termaktub di dalam Artikel 7 FIFA Statute yang sama: new nationality. Sejauh manakah FAM mampu meyakinkan mereka menyerahkan passport luar negara mereka untuk memberikan segala-galanya kepada pasukan negara?

Rumusan

Apa yag penting FAM kini memerlukan satu sistem yang telus dan boleh digunapakai secara sistematik jika mahu melihat projek naturalisasi di dalam pasukan negara mencapai kejayaan.

Apa-apa pun ini hanyalah cadangan semata-mata berdasarkan pemerhatian dari luaran, dan akhirnya terpulang kepada FAM bagaimana untuk melaksanakannya.

 

Baca artikel lain mengenai pemain naturalisasi:

Kelab Liga-M Pula Bakal Manfaatkan Program Naturalisasi Untuk Kukuhkan Pasukan

3 Sebab Mengapa Program Naturalisasi FAM Masih Dalam Landasan Tepat

Safee Sali: Kita Terpedaya Dengan Projek Naturalisasi

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN