3 Calon Ketua Jurulatih Skuad B-23 Negara, Apa Komen Ong Kim Swee?

Pau Marti Elavarasan Kim Hak-bum

Susulan penyingkiran Brad Maloney sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara baru-baru ini, beberapa nama telah mula dikaitkan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Antaranya nama yang mencuri tumpuan adalah dua orang penolong jurulatih skuad Harimau, Pau Marti Vicente dan E. Elavarasan.

Amalan melantik penolong jurulatih skuad kebangsaan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 bukanlah sesuatu yang asing.

Pada Januari 2020, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah melantik S. Balachandran yang ketika itu merupakan penolong jurulatih skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe untuk jawatan tersebut.

Ia dipercayai sebagai langkah untuk memastikan skuad B-23 dan skuad senior mempunyai kesinambungan dan persamaan dari sudut taktikal dan gaya permainan di atas padang.

Oleh sebab itu, dengan prestasi cemerlang skuad Harimau Malaya sejak kebelakangan ini, tidak hairan mengapa dua nama daripada barisan kejurulatihan di bawah pimpinan Kim Pan-gon dikaitkan untuk mengisi jawatan kosong tersebut.

Bagaimanapun spekulasi itu mendapat reaksi daripada bekas Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee yang menyarankan agar badan induk bola sepak negara itu tidak mengganggu fokus barisan kejurulatihan skuad utama negara.

Bercakap kepada Sinar Harian, Kim Swee yang juga pernah menjawat posisi Ketua Jurulatih skuad B-23 itu menyifatkan langkah berkenaan akan merencatkan persiapan pasukan negara menjelang pusingan akhir kejohanan Piala Asia yang bakal berlangsung pada tahun depan.

“Sekiranya individu dilantik itu mempunyai dua jawatan, saya berasakan ia akan merencatkan persiapan Malaysia menjelang Piala Asia nanti,” ujar jurulatih berusia 51 tahun itu.

“Malah bukan itu sahaja, skuad B-23 negara juga mempunyai tugas besar pada tahun depan iaitu Sukan Asia dan kelayakan Sukan Olimpik 2024.

“Jadi saya rasa lebih elok kita lantik seorang jurulatih baharu yang tidak terlibat dalam mana-mana pasukan kebangsaan ketika ini, supaya mereka akan lebih fokus dalam melakukan kerja mereka.”

Pengendali pasukan Sabah itu bagaimanapun mengakui individu yang dilantik seharusnya mempunyai falsafah bola sepak yang sama dengan Kim Pan-gon bagi memudahkan kesinambungan antara skuad muda dan senior.

“Justeru saya berpendapat, eloklah sekiranya FAM melibatkan ketua jurulatih baharu skuad B-23. Ini kerana segala pendapat dan pandangan yang diberikan perlu diambil kira,” tambahnya lagi.

Satu lagi nama yang turut dikaitkan adalah bekas jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak-bum yang mempunyai rekod cemerlang membantu pasukan bimbingannya memenangi pingat emas Sukan Asia dan muncul juara Kejuaraan AFF B-23 2020.

Jurulatih berusia 62 tahun itu sebelum ini merupakan calon utama yang dikaitikan dengan skuad utama Malaysia sebelum FAM memuktamadkan pelantikan Kim Pan-gon.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN