Kuching City bakal melayan kunjungan Penang sebentar lagi bagi aksi timbal balik pusingan ke-16 saingan Piala Malaysia 2024/2025 dalam misi masing-masing untuk mendapatkan salah satu slot ke pentas seterusnya.
Menerusi keputusan terdahulu, Penang telah pun merekodkan kekalahan tipis 0-1 walaupun mereka tampil dengan aksi lebih baik bawah kendalian Wan Rohaimi bin Wan Ismail di segenap penjuru.
Namun, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak lebih bersedia untuk menghadapi cabaran tuan rumah ketika itu sehingga berjaya mendapatkan satu gol melalui ledakan Ramadhan Saifullah.
Untuk aksi hari ini, sudah tentu perlawanan lebih sengit bakal disajikan kedua pasukan kerana masing-masing ingin melayakkan ke pusingan seterusnya.
Malah, Penang sendiri dijangka bakal tampil dengan aksi lebih baik kerana mereka bakal menghadapi Kuching City di gelanggang pasukan lawan.
Berikut merupakan tiga pemain tumpuan untuk aksi membabitkan kedua pasukan itu yang dijangka bakal memberikan impak besar dalam permainan.
Ramadhan Saifullah
Pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) ini tampil dengan aksi cukup menyakinkan sejak penyertaan beliau bersama Kuching City pada pertengahan musim.
Tidak hanya lincah dan memiliki kepantasan, Ramadhan juga mempunyai aspek kerajinan cukup tinggi untuk membantu pertahanan serta memastikan penguasaan permainan menjadi milik pasukan diwakilinya itu.
Tampil membuka akaun jaringan sulung pada aksi lalu, sudah tentu beliau berada dalam motivasi cukup tinggi untuk meneruskan momentum tersebut di halaman sendiri.
Petrus Shitembi
Nadi utama serangan Kuching City ini menampilkan aksi cukup menyakinkan pada perlawanan lalu untuk membuka ruang serta mencipta peluang kepada rakan sepasukan meledak gol.
Aksi Shitembi pada perlawanan lalu boleh dianggap berjaya menyukarkan pertahanan lawan menerusi kelincahan beliau mengawal bola serta kualiti hantarannya tidak dapat dijangka.
Gandingannya bersama Danial Amier di posisi tengah jelas memberi kesukaran buat Penang pada aksi lalu untuk menguasai permainan di bahagian tersebut dengan lebih lama.
Dylan Wenzer-Halls
Satu-satunya pemain Penang yang dianggap berjaya memberikan impak cukup besar dalam permainan menerusi kualiti dimiliki beliau sepanjang tempoh aksi lalu berlangsung.
Ketenangan beliau serta kerajinannya untuk memastikan posisi serangan Penang terus hidup wajar dipuji selain kualitinya untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Dijangka, Dylan sekali lagi bakal diberi peranan utama untuk menggerakan serangan Penang pada hari ini untuk menghasilkan sesuatu positif di gelanggang pasukan lawan.