Kedah Darul Aman (Kedah) bakal menghadapi aksi seterusnya dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 dengan pertemuan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Kuching City.
Menerusi rekod pertemuan musim lalu di pentas Liga Super, kedua aksi tersebut memihak kepada Kedah dan ini menjadikan Sang Kenari lebih dianggap sebagai kelab pilihan jika dibandingkan lawan.
Walaupun begitu, cabaran pada musim ini jelas berbeza kerana kedua pasukan tersebut masing-masing mencipta rombakan di beberapa posisi serta membabitkan import.
Daripada segi prestasi semasa, kedua pasukan ini tampil dengan momentum cukup baik dan dianggap berada pada keadaan positif untuk masing-masing mencipta keputusan positif.
Baik Kedah atau Kuching City, kedua pasukan ini memiliki barisan pemain terbaik mereka untuk dipertaruhkan dalam kesebelasan utama demi membantu kelab meraih kemenangan.
Berikut merupakan tiga pemain tumpuan utama untuk aksi membabitkan Sang Kenari menentang Kuching City di Stadium Darul Aman (SDA), Alor Setar, Kedah.
Ebenezer Assifuah (Kedah)
Penyerang handalan dari Ghana ini tidak mengambil masa yang lama untuk cepat meninggalkan impak positif buat pasukan di atas padang sejak awal musim.
Beraksi selaku penyerang utama, Assifuah kini sudah pun merekodkan empat gol daripada enam penampilan bersama Kedah di pentas domestik.
Kelincahan serta bisa Assifuah di hadapan gawang gol pastinya akan terus menjadi pertaruhan utama Sang Kenari untuk merobek gawang gol pasukan lawan.
Syafiq Ahmad (Kedah)
Penyerang Harimau Malaya ini tidak dapat beraksi pada perlawanan lalu ketika Kedah melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) disebabkan statusnya selaku pemain pinjaman pasukan tersebut.
Tampil dengan kecergasan terbaik, sudah tentu Syafiq ingin membuktikan sesuatu pada perlawanan ini dan dijangka Nafuzi akan terus meletakkan beliau dalam senarai kesebelasan utama.
Kemahiran beliau daripada segi kawalan bola, kreativiti menyusun serangan, serta tajam di hadapan gawang gol menjadikan Syafiq selaku salah seorang pemain andalan Kedah musim ini.
Danial Amier (Kuching City)
Pemain pinjaman JDT tersebut menjadi antara kunci utama kekuatan Kuching City ketika ini menerusi impak serta sumbangan diberikan beliau di atas padang.
Ketenangan dimiliki Danial untuk mengawal tempo permainan serta bijak mencipta lorongan-lorongan berbahaya menjadi sebab utama kenapa Aidil Sharin Sahak sering menjadikan beliau selaku pilihan utama.
Danial juga ketika ini sudah pun meledak satu gol pembukaan di pentas Liga Super sewaktu pasukan tersebut cemerlang mengatasi cabaran dibawa oleh PDRM.