Akhirnya senarai penuh pemain Harimau Malaya telah pun dikeluarkan dan dianggap sebagai suatu kejutan jika melihat kepada nama-nama yang terpilih untuk mengharungi saingan AFF 2024.
Untuk saingan kali ini, Pau Marti Vicente tampil dengan sisi kelainan apabila beliau menggabungkan beberapa pemain senior dan muka baharu untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.
Ini kerana Malaysia tidak diwajibkan menyenaraikan pemain-pemain utama kerana saingan tersebut berada di luar kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta memberi ruang untuk Pau Marti menilai muka-muka baharu.
Malah, negara seperti Indonesia serta Thailand juga dilihat tidak menyenaraikan ramai pemain utama mereka pada kejohanan tersebut apabila banyak muka-muka baharu diperkenalkan untuk kejohanan itu.
Untuk saingan kali ini, Pau Marti juga turut menyenaraikan tiga pemain bintang Malaysia yang beraksi di luar negara untuk membantu skuad kebangsaan kali ini menghadapi kejohanan Asia Tenggara tersebut.
Tiga nama pemain dipanggil iaitu Fergus Tierney, Endrick dos Santos, serta Muhammad bin Abu Khalil untuk menyertai kem latihan kebangsaan tidak lama lagi.
Fergus Tierney
Pemain muda tersebut ketika ini aktif beraksi di saingan Thai League 2 bersama Chonburi FC dengan status penyerang import serta membawa reputasi cukup menyakinkan.
Menjadi antara pemain muda dipanggil menyertai kem kebangsaan, Fergus ketika ini telah pun mencipta dua penampilan terdahulu ketika Malaysia menghadapi Laos serta India bagi aksi persahabatan.
Sepanjang dua kali dibawa turun, Fergus tampil dengan aksi cukup menyakinkan untuk diletakkan selaku penyerang gantian menerusi kualiti fizikal serta mencipta persefahaman terbaik bersama rakan senior lain.
Endrick dos Santos
Bintang naturalisasi milik Johor Darul Ta’zim yang kini dipinjamkan bersama Ho Chi Minh City di saingan utama Vietnam dan beraksi selaku pemain tengah menyerang.
Sepanjang beraksi di Vietnam, Endrick telah pun merekodkan satu gol bersama satu bantuan jaringan daripada sembilan penampilan bersama aksi cukup menyakinkan.
Dijangka, Endrick bakal memainkan peranan penting selaku salah seorang perancang utama skuad kebangsaan di kejohanan AFF 2024 akan datang bersama Sergio Aguero serta Stuart Wilkin.
Muhammad bin Abu Khalil
Buat julung kalinya pemain muda Selangor yang dipinjamkan bersama Osaka FC ini dipanggil menyertai skuad senior Harimau Malaya selepas cemerlang bersama pasukan pembangunan negara.
Beraksi di posisi tengah bertahan, kualiti pemain ini sememangnya berada pada tahap menyakinkan sehingga menarik minat kelab divisyen tiga di Jepun.
Menerusi pengalaman serta corak latihan telah dihadapi Muhammad, sudah tentu segalanya ditagih kini untuk membantu skuad senior Malaysia menghadapi kejohanan AFF.