Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya telah pun tersingkir daripada saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini, selepas mereka mencipta kekalahan tipis 0-1 secara agregat di tangan Buriram United.
Beraksi di halaman sendiri bagi pusingan kedua 16 terbaik, JDT sebenarnya tampil dengan lebih baik jika dibandingkan pada perlawanan lalu menerusi asakan serta tekanan tinggi diberikan mereka buat pelawat.
Malah, mereka juga memperoleh dua gol pada perlawanan itu sebelum keputusan kontroversi daripada pengadil perlawanan membatalkannya disebabkan oleh ‘offside’.
Hanya satu gol daripada bintang kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta memisahkan segalanya dengan pemain itu memastikan Buriram United terbang tinggi di pentas ACLE.
Maka, perjalanan panjang JDT pada saingan tertinggi Asia itu sudah berakhir dan pastinya pelbagai persiapan rapi bakal dibuat untuk persaingan musim akan datang pula.
Pada aksi semalam, beberapa pemain JDT sebenarnya boleh dianggap beraksi dengan cukup baik sepanjang tempoh 90 minit saingan berlangsung walaupun kelab berkenaan mencatat kekalahan.
Arif Aiman Hanapi
Seperti kebiasaan, Arif sentiasa menghadirkan rasa gerun buat pertahanan lawan menerusi gerakan lincahnya untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Serangan JDT boleh dianggap banyak berpaksikan kepada Arif untuk membuka peluang lebih baik dalam usaha wakil pasukan dari Malaysia itu untuk memperoleh peluang gol.
Setiap kali Arif mendapat bola, pastinya 3-4 pemain Buriram United diperlukan demi menyekat kemaraan bintang muda tersebut selain beliau turut bertukar-tukar posisi beberapa kali di bahagian kiri dan kanan.
Andonni Zubiaurre
Tanpa Andonni, berkemungkinan juga JDT bakal dibolosi dengan beberapa lagi jaringan pelawat yang tampil serba tajam pada perlawanan berkenaan di posisi serangan.
Ketangkasan Andonni antara menjadi penyelamat JDT selain sikap kepimpinan beliau yang tidak henti-henti memberi arahan buat rakan sepasukan lain menghentikan momentum lawan.
Malah, Andonni juga tampil tenang menyerap tekanan lawan serta menjadi antara pemain paling fokus di atas padang untuk menyelamatkan keadaan.
Natxo Insa
Mungkin ramai tidak bersetuju dengan pemilihan Insa kerana nama beliau cukup popular di media sosial menerusi kritikan keras diberikan oleh peminat menerusi media sosial.
Namun, sumbangan Natxo boleh dianggap cukup besar walaupun usia beliau sudah semakin lanjut untuk menjadi jeneral utama Harimau Selatan semalam.
Selain banyak merosakkan siri serangan lawan yang cuba dibina pada bahagian tengah, Natxo juga memainkan peranan penting untuk memastikan JDT tampil menguasai permainan menerusi kerajinan beliau bergerak ke serata arah.