Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menghadapi satu lagi cabaran besar pada hari ini di Korea Selatan, dengan kali ini mereka bakal menghadapi Gwangju FC dalam misi untuk cuba melayakkan diri lebih jauh dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE).
Reputasi semasa JDT dianggap cukup menyakinkan selepas mereka meraih satu keputusan seri serta satu kemenangan selepas mengharungi dua perlawanan awal selain menampilkan aksi cukup menyakinkan.
Watak utama Harimau Selatan kini sudah tentu terarah kepada bintang muda mereka iaitu Arif Aiman Hanapi yang sudah pun meledak tiga gol sepanjang mengharungi dua perlawanan kejohanan berprestij itu.
Kedudukan semasa selaku penjaring terbanyak menyaksikan bintang Harimau Malaya itu berada di tangga keempat dan hanya dibezakan satu gol berbanding Jasir Asani di tempat pertama.
Lebih menarik, kedua pemain tersebut bakal membuat perhitungan pada hari ini untuk masing-masing bertembung di atas padang serta Arif memiliki peluang untuk mengatasi beliau daripada rekod semasa jaringan.
Melihat kepada aksi hari ini, Semuanya BOLA telah menyenaraikan tiga pemain handalan Gwangju FC yang dianggap mampu memberikan ancaman besar kepada JDT.
Jasir Asani
Pemain kebangsaan Albania ini tampil mencuri perhatian ramai peminat bola sepak di Asia selepas ketajaman beliau sudah pun dibuktikan dalam saingan ACLE musim 2024/2025 bersama Gwangju FC.
Dua penampilan semasa beliau kini dalam kejohanan tersebut menyaksikan Jasir sudah pun meledak empat gol bersama satu bantuan jaringan untuk meletakkan dirinya selaku penjaring semasa terbanyak kejohanan itu.
Selain tajam di hadapan gol, Jasir memiliki kelincahan yang cukup baik selaku pemain sayap kiri serta bijak melepasi pertahanan lawan untuk mencipta sesuatu berbahaya di hadapan gawang gol.
Gabriel Tigrao
Penjaring terbanyak Gwangju dari Brazil ini memiliki reputasi cukup tinggi di Korea Selatan selepas beliau tampil meledak lapan gol bersama lima bantuan jaringan dalam saingan K-League 1.
Di saingan ACLE, Gabriel sudah pun membuka satu akaun jaringan ketika mereka menewaskan Yokohama F. Marinos dari Jepun serta turut mencipta satu bantuan gol.
Selain memiliki keupayaan selaku penyerang utama, Tigrao juga mampu bertindak dengan cukup baik selaku pemain sayap kiri dan ia sudah pun dibuktikan pada aksi mereka menentang Kawasaki Frontale.
Gun-hee Lee
Pemain serangan Gwangju FC ini juga antara perlu dirantai JDT kerana kemampuan beliau sudah pun terbukti sebelum ini dalam saingan utama K-League bersama kelab tersebut.
Walaupun ketika ini beliau belum mencipta sebarang gol dalam kejohanan tersebut, impak diberikannya untuk menggerakan serangan Gwangju cukup besar.
Keupayaan beliau terarah kepada kreativiti, ketajaman, serta kualiti teknikal yang cukup baik untuk mengatasi pertahanan lawan selain mampu mencipta gol dari pelbagai sudut sukar.