3 Aspek Ketelitian Kim Pan-gon Terhadap Perkara Kecil Yang Bawa Malaysia Ke Piala Asia

Kim Pan-gon Malaysia Harimau Malaya Bangladesh ketelitian

Sekalung penghargaan buat pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon atas ketelitian terhadap sekecil-kecil perkara yang akhirnya memberikan bibit-bibit indah buat bola sepak negara selepas lebih empat dekad.

Selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1980, Malaysia akhirnya sekali lagi merealisasikannya dengan mara ke pusingan akhir Piala Asia secara merit bukan seperti di edisi 2007 atas kapasiti sebagai tuan rumah.

Seperti yang diungkapnya saat tiba di bumi bertuah ini, Malaysia memiliki pemain-pemain yang berkualiti dan beliau hairan mengapa kita tidak pernah melangkah lebih jauh dari kepompong Asia Tenggara sehingga kini.

Terbukti dengan ketelitian dan perancangan rapi, Malaysia mampu mara ke pentas tertinggi bola sepak Asia.

Selepas kali terakhir mara pada edisi 1980, Malaysia bertukar-tukar jurulatih dan juga pendekatan tentunya. Lebih 20 pengendali telah dicuba Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh lebih empat dekad.

Kita pernah mengecap nikmat sementara yang dicipta Datuk K. Rajagobal dan Datuk Ong Kim Swee – bayangkan sehingga mereka diberikan gelaran Datuk! Apa yang dibawa mereka adalah sesuatu yang membanggakan negara saat itu. Tetapi, untuk mara ke pentas Asia, ia dilihat masih jauh untuk digapai.

Apa yang membezakan Kim dan lebih 20 pengendali sebelum ini? Adakah beliau hanya mendapat kredit atas sumbangan awal insan lain? Sebagaimana katanya di sidang media, beliau hanyalah insan biasa – ‘nobody’.

Hasil kerjasama semua pihak telah memberikan kejayaan yang akhirnya dikecapi Harimau Malaya malam tadi.

Tanpa kerjasama pasukan-pasukan Liga Super, tanpa sumbangan pengendali terdahulu, Tan Cheng Hoe, dan tanpa gandingan erat Kim serta barisan kejurulatihan bersama FAM, segalanya mungkin tidak berjaya digapai.

Kredit buat semua termasuklah penyokong yang sentiasa bersama pasukan – endahkan kritikan Pak Menteri!

Jadi, adakah kredit kepada Kim dan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang mencipta sejarah ini?

Sudah tentu kredit buat mereka dan barisan pemain yang menterjemahkan segalanya di atas padang bola.

Pendekatan taktikal yang menyentuh segenap aspek

Ini yang membezakan Kim dengan pengendali sebelum-sebelum ini. Formasi taktikal memang tidak jauh berbeza kerana ia hanyalah nombor dan susunan pemain di padang. Tetapi ketelitian beliau terhadap pendekatan berpasukan dan peranan pemain memberikan perbezaan ketara terhadap segenap aspek.

Misalnya, ‘pressing’ yang diterapkannya yang tidak pernah kita lihat dilakukan oleh skuad negara selama ini.

Malah, pengendali berpengalaman di Malaysia, Irfan Bakti Abu Salim juga terkesima dengan gaya permainan skuad kebangsaan saat ini. Sudah lama tidak lihat permainan sebegini dimainkan oleh Malaysia, ungkapnya.

‘Game Management’ Pan-gon Yang Genius Matikan Taktikal Fizikal Turkmenistan

Beliau juga dalam sesetengah perlawanan memiliki perancangan tertentu. Seperti ketika lawan Turkmenistan yang Malaysia meraih kemenangan pertama tempo hari, intensiti tinggi dan ‘high pressing’ selama 45 minit permainan membuahkan hasil buat skuad negara. Kita tidak beri langsung lawan sebarang ruang bernafas.

Malah, beliau beri Safawi Rasid peranan berbeza. Siapa kata kita tidak akan boleh ada Arif Aiman dan Safawi Rasid dalam skuad yang sama disebabkan mereka bermain di posisi yang sama – sayap menyerang kanan?

Ketelitian Kim Pan-gon terhadap kemampuan pemain memberi kekuatan tambahan kepada prestasi mereka.

Mainkan chant Ultras Malaya di bilik persalinan

Ini didedahkan oleh wartawan senior di Astro Arena, Hafizal Hamad ketika bersiaran langsung untuk aksi semalam. Menurutnya, ketika saingan Tri-Nations Series di Singapura di awal pelantikkan, Kim menyedari yang skuad negara ketiadaan sorakan penyokong disebabkan kawalan ketat di sana disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau mengambil inisiatif memainkan ‘chant’ Ultras Malaya ketika sesi di bilik persalinan. Ini sesuatu yang amat mengujakan untuk kita dengar. Patutlah beliau sentiasa memuja memuji penyokong terutamanya Ultras Malaya.

Beliau mahukan aura dan semangat daripada sorakan penyokong untuk berada bersama skuad kendaliannya.

Malah, beliau mengakui di sidang media malam tadi, sebelum FAM meminangnya, beliau sudah sedia maklum ‘kegilaan’ penyokong kita. Apa yang dipamerkan Ultras Malaya dan penyokong negara sudah dilihatnya sebelum melatih Malaysia lagi! Dan ini juga termasuk dalam pertimbangannya sebelum menerima pelawaan FAM.

Ini aspek kecil yang mungkin tiada pada jurulatih lain. Lebih mendekatkan hubungan pemain dan penyokong.

Malah, beliau dikhabarkan tidak membenarkan pemain memakai earphone atau headphone sendiri di kem skuad kebangsaan. Apa yang dibuat Kim adalah semua pemain harus mendengar lagu yang sama sahaja.

Jelas, beliau mahu pemain membentuk hubungan lebih erat sesama sendiri berbanding membuat hal sendiri.

Kim Pan-gon tampak teliti dalam menguruskan urusan pemainnya sehingga ke lagu yang didengar mereka!

Kim jurulatih yang ‘demanding’ dengan kehendaknya

Dalam sidang media sejurus perlawanan semalam, beliau ada mendedahkan yang tanpa kerjasama baik oleh FAM, segalanya adalah mustahil. Ini kerana beliau melabel dirinya sebagai seorang yang sangat ‘demanding’.

“Terima kasih juga buat FAM. Saya sangat ‘demanding’, sangat-sangat ‘demanding’. Saya rasa sangat sukar buat mereka [dengannya]. Kami sentiasa mendesak. Tetapi mereka cuba yang terbaik [memenuhinya] untuk mencapai kejayaan. Saya tidak berseorangan membuat segalanya. Semua pihak membantu.”

Kim Pan-gon, sidang media selepas perlawanan Malaysia-Bangladesh

Sebelum ini, seorang pengguna Twitter, Piang Shankly ada mendedahkan bahawa, Kim ada mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia untuk potong atau biarkan rumput kepada ketinggian tertentu dan juga keluasan tertentu.

Seperti yang kita tahu, beliau bersama barisan kejurulatihan telah melawat SNBJ pada awal Mac. Mungkin ketika ini, beliau ada mengarahkan sesuatu sebagaimana arahan FAM untuk ‘merosakkan’ keadaan padang sebelum aksi berdepan Bahrain. Perbadanan Stadium menafikan ‘tindakan’ itu adalah arahan mereka.

Tambahnya lagi, kedudukan ‘bench’ Malaysia juga berubah dari kedudukan asalnya di sebelah kiri ke sebelah kanan. Selain itu, dikatakan juga ‘ball picker’ atau kita kenali sebagai budak milo turut diarahkan untuk ‘delay’ sedikit masa sebelum memberi bola kepada pemain. Ini menunjukkan betapa teliti dan ‘demanding’ beliau.

Kecil tapi berkuasa

Oleh itu, boleh kita katakan yang Kim dan barisan kejurulatihannya menyumbang kepada kejayaan Harimau Malaya melangkah ke Piala Asia secara merit kali ini. Dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau mengubah wajah skuad kebangsaan kepada yang lebih menarik dan mengancam. Malah, segalanya tampak sempurna.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN