Quantcast

KAJIAN & FAKTA

3 Siri Animasi Yang Bertemakan Bola Sepak

Kita semua sewaktu kanak-kanak dahulu selalu menonton kartun bukan? Ada juga antara kita yang terikut-ikut dengan pergerakan dan kata-kata kartun tersebut.

Contohnya kalau kita selalu menonton Avatar, kita akan berangan mampu melakukan gaya air bender.

Baiklah, penulisan ini bukan mahu cerita tentang animasi secara menyeluruh tetapi mahu berkongsi dengan pembaca mengenai siri siri animasi yang bertemakan bola sepak.

Animasi-animasi berikut mungkin pernah menghiasai zaman kanak-kanak anda. Ada yang sanggup ponteng mengaji, ada juga yang balik saja dari sekolah petang terus buka televisyen semata-mata nak tonton siri kartun ini.

Boleh dikatakan, hari serba tak lengkap kalau tak dapat hiasa mata kita dengan kartun-kartun ni.

Saya kumpulkan tiga siri animasi bola sepak terbaik yang pernah wujud dalam dunia hari ini.

Bola Kampung

Satu satunya animasi yang berasal dari Malaysia terbitan Animasia Studios. Siapa yang boleh lupa dengan Iwan, Azizul dan Sabok yang menjadi teraju utama siri ini?

Berlatarkan Kampung Gong Lechar di daerah Pohon Bambu, sekumpulan kanak-kanak ini bermain bola mewakili sekolah mereka menentang dengan pasukan-pasukan lain.

Skuad Bola Kampung diketuai oleh Iwan yang juga anak kepada seorang bekas pemain bola sepak negara. Pasukan mereka dibimbing oleh Abdul Rahman yang juga seorang bekas pemain.

Disney Channel pernah mengalih bahasa Bola Kampung dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris dan telah ditayangkan di hampir 17 buah negara dengan nama Football Kids.

Berapa ramai yang masih ingat dengan lagu tema cerita ini?

Supa Strikas

Percaya atau tidak, siri animasi ini adalah berasal dari Afrika Selatan dan hanya bermula sebagai sebuah komik pda 2000.

Siri ini hanya mula dipasarkan di Malaysia pada tahun 2008 menerusi sisipan dalam surat khabar Kosmo secara bulanan.

Supa Strikas mendapat tajaan besar antaranya dari gergasi petroleum iaitu Caltex.

Siri animasi ini menceritakan liku-liku mengenai setiap watak dalam setiap episod yang ditayangkan. Buat masa sekarang, saluran Disney XD (saluran Astro 617) menyiarkan siri ini.

Antara watak utama mereka ialah duo penyerang hebat mereka iaitu El Matador dan Shakes.

Mereka dipimpin oleh Dancing Rasta sambil dibantu bintang seperti North Shaw dan Cool Joe.

Antara musuh yang ditentang mereka ialah Invicibles United iaitu musuh tradisi mereka yang suka bermain kasar dan jahat serta satu lagi pasukan yang mengamalkan latihan ala tentera iaitu Iron Tank FC.

Captain Tsubasa

Dalam banyak-banyak animasi, siri ini merupakan siri paling hebat di negara kita dan mungkin juga seantero dunia.

Siri animasi ini berasal dari Jepun dan sudah wujud sejak 1980-an lagi.

Captain Tsubasa adalah satu siri komik mengisahkan Tsubasa Ozora yang berusia 11 tahun dan fanatik terhadap bola sepak.

Semasa kecil, ke mana mana sahaja Tsubasa pergi beliau pasti akan sentiasa dengan bola dan motto kehidupan beliau, “Bola adalah rakan saya.”

Kojiro Hyuga, Ken Wakashimazu dan Jun Misugi adalah antara watak watak dalam cerita ini dan pernah menjadi pesaing Tsubasa.

Dengan kepimpinan Tsubasa, Jepun telah menjulang Piala Dunia B-17 ketika itu.

Roberto Hongo adalah individu penting yang memajukan Tsubasa, beliau telah mengembangkan bakat Tsubasa sehingga bermain bersama Sao Paulo di Brazil.

Kemuncak karier beliau adalah bersama FC Catalunya (FC Barcelona) dengan beliau menjadi antara sandaran utama mereka.

Tsubasa juga berpeluang beraksi dalam El Clasico menentang Real Madrid.

Cerita Captain Tsubasa ini memberi impak yang sangat besar kepada pembangunan bola sepak Jepun.

Ada kanak-kanak di Jepun yang meniru teknik Tsubasa menjaringkan gol dan bukan di situ saja, ada juga pemain bola sepak dunia yang menjadikan beliau sebagai inspirasi dalam menceburi bidang bola sepak.

Rumusan

Banyak perkara yang kita boleh dapat dengan menayangkan siri animasi bertemakan bola sepak. Hal Ini mampu memberi kanak- kanak inspirasi untuk menjadi seorang pemain bolasepak handalan dunia.

Jika siri di Malaysia seperti Bola Kampung mampu diteruskan, tidak mustahil kanak-kanak hari ini akan terus jatuh cinta dengan bola sepak.

Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Azhan Mohi yang merupakan editor di 90minit.com . Jika anda mahu tulisan anda dibaca jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Baca juga: Adakah Melaka United Melancarkan Perang ‘Banter’ Terhadap JDT?

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!