2024 mungkin menjadi tahun yang paling ngeri untuk dikenang Faisal Halim, selepas bintang bola sepak Malaysia itu ditimpa ujian berat akibat perbuatan jenayah dua individu tidak berhati perut.
Tiada siapa yang dapat melupakan detik 5 Mei 2024 lalu apabila Faisal telah disimbah asid oleh dua penjenayah tidak berhati perut dan masih lagi bebas sehingga kini.
Manakala Faisal ketika itu mengalami kecederaan cukup parah pada sebahagian besar tubuh badan sehingga menyaksikan beliau terpaksa melupakan seketika dunia bola sepak profesional.
Tatkala prestasi bintang Selangor itu sedang memuncak bersama kelab dan skuad Harimau Malaya, nama Faisal secara tiba-tiba terus terdiam dalam dunia bola sepak kerana pemain itu perlu berehat dan menjalani tempoh pemulihan.
Walaupun begitu, Faisal secara perlahan-lahan menjelang penghujung tahun lalu kembali mendapatkan rentak beliau di atas padang setelah diberi peluang oleh kejurulatihan.
Namun, kesan kecederaan dialami itu masih dirasai sehingga ia mengganggu rentak permainan Faisal dan beliau sendiri mengakui perlukan lebih masa untuk kembali bangkit.
The Man-Of-The-Match award goes to our skipper, Faisal Halim, who was at the heart of our attack today although he was unlucky not to get on the scoresheet himself. We keep pushing, Mickey! ❤️💛
Powered by Daikin Malaysia. #SFC #MKLK#MerahKuning #LambangKebanggaan… pic.twitter.com/VOaXuSVRKw
— Selangor FC (@selangorfc) January 12, 2025
Umpama keajaiban juga, apabila Faisal perlahan-lahan kembali bangkit sehingga beberapa permainan ditampilkan beliau semakin meningkat.
Malah, aksi awal tahun 2025 juga menyaksikan Faisal kembali memperagakan corak permainan cukup berkualiti ketika Selangor menewaskan cabaran Kuala Lumpur City (KL City).
Beraksi sehingga ke minit-75 ketika itu, Faisal turut dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan atas prestasi hebat ditampilkannya atas padang.
Rata-rata penyokong bersetuju akan penghargaan itu setelah melihat sendiri akan kualiti permainan yang telah ditampilkan oleh anak jati Pulau Pinang itu sepanjang menghadapi cabaran KL City.
Malah ramai berharap supaya Faisal dapat meledak gol sulung beliau pada saingan musim ini setelah pemain itu secara rasminya telah beraksi sebanyak 12 permainan secara keseluruhan bersama Selangor.
Kami di Semuanya BOLA juga sentiasa mendoakan supaya Faisal terus konsisten bersama pasukan serta diberi lebih banyak peluang untuk beraksi demi mendapatkan semula keyakinan.
Semoga kita semua sendiri juga selepas ini dapat melihat kembali Faisal menyarung jersi Harimau Malaya dan membanggakan negara di pentas antarabangsa.