Pada malam Selasa, 6 April 2003, Chelsea bertandang ke Highbury untuk bertemu Arsenal dalam perlawanan kedua suku akhir UEFA Champions League musim 2003/2004.
Arsenal adalah pasukan pilihan dalam pertemuan ini selepas berjaya seri 1-1 dalam perlawanan pertama suku akhir.
Dalam saingan liga pula, Arsenal selesa mendahului Chelsea di tangga kedua liga, dengan jarak 4 mata meskipun Arsenal kekurangan 1 perlawanan berbanding Chelsea.
Bagaimanapun Chelsea yang pada ketika itu diurus oleh Claudio Ranieri mencipta kejutan untuk menang 2-1 di Highbury. Gol jaringan Frank Lampard dan Wayne Bridge memadam gol awal Jose Antonio Reyes dan menghantar Chelsea ke peringkat separuh akhir.
Kini sudah 13 tahun perlawanan tersebut berlalu. Ada pemain yang masih bermain hingga hari ini. Ada yang sudah bersara. Di mana mereka sekarang?
Penjaga gol – Jens Lehmann (Arsenal), Marco Ambrosio (Chelsea)
Dibeli Arsenal dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan £2.45 juta, Jens Lehmann adalah pengganti terus David Seaman.
Walaupun baru menyertai Arsenal pada musim panas 2003, Lehmann pantas mencipta nama sebagai penjaga gol cekap. Bagaimanapun malam itu, Lehmann membuat satu kesilapan yang menghadiahkan gol kepada Frank Lampard.
Seperti Lehmann, Marco Ambrosio juga baru tiba di London sebagai penjaga gol ke-2 Chelsea, di belakang Carlo Cudicini, di hadapan Jurgen Macho.
Kecederaan Carlo Cudicini memberi Ambrosio peluang untuk bermain. Dalam perlawanan tersebut, Ambrosio beraksi cemerlang menafikan 2 percubaan Thierry Henry.
Lehmann bersara pada tahun 2011 dan kini bertugas sebagai pundit TV di Jerman. Ambrosio pula bersara pada 2009.
Bek kiri – Ashley Cole (Arsenal), Wayne Bridge (Chelsea)
Pada tahun 2003, Ashley Cole sudah pun bergelar bek kiri nombor satu Arsenal dan England.
Pada pertengahan tahun 2003, Wayne Bridge pula baru tiba di Chelsea dari Southampton, dan masih bergelar bek kiri pilhan kedua England selepas Ashley Cole.
Nama Bridge menjadi pujaan penyokong Chelsea selepas beliau menjaringkan gol kemenangan perlawanan tersebut.
Kemenangan itu bermakna Chelsea telah menamatkan badi 18 perlawanan tanpa kemenangan bertemu Arsenal.
Ashley Cole kini baru menamatkan kontraknya bersama AS Roma dan dijangka bakal bermain untuk LA Galaxy pula. Wayne Bridge pula sudah bersara sejak 2014.
Bek kanan – Lauren (Arsenal), Mario Melchiot (Chelsea)
Lauren pada asalnya dibawa oleh Arsene Wenger sebagai pemain back-up memandangkan kebolehannya bermain di beberapa posisi di tengah dan pertahanan.
Tetapi pada 2003, Lauren sudah pun bergelar bek kanan nombor 1 Arsenal, di depan Oleg Luzhny.
Mario Melchiot pula merupakan bek kanan kegemaran Ranieri di Chelsea.
Lauren bersara pada 2010 dan kini tinggal di Sepanyol. Melchiot pula kini bekerja di Fox Sport USA selepas bersara pada 2011.
Pertahanan tengah – Sol Campbell, Kolo Toure (Arsenal), John Terry, William Gallas (Chelsea)
Kecuali Sol Campbell dan William Gallas yang sudah bersara, Kolo Toure dan John Terry masih bermain sehingga kini.
Toure masih aktif mengemudi barisan pertahanan Liverpool sejak kecederaan Martin Skrtel. Manakala Terry masih bergelar kapten Chelsea.
Sol Campbell kini bertugas sebagai duta Arsenal dan aktif dalam arena politik Britain melalui penglibatannya dalam Parti Konservatif. Gallas pula telah bersara pada hujung 2014.
Pemain tengah – Edu, Patrick Vieira (Arsenal), Frank Lampard, Claude Makelele (Chelsea)
Keputusan Arsene Wenger memainkan Edu – bukannya Gilberto Silva – bersama Patrick Vieira membuktikan Wenger mahu Arsenal menyerang dalam perlawanan tersebut.
Claudio Ranieri pula memilih pasangan biasa, Frank Lampard dan Claude Makelele di tengah untuk memberi keseimbangan dalam formasi 4-4-2 diamond beliau.
Taktik tersebut berjaya kerana sejak dari awal perlawanan, Chelsea lebih menguasai perlawanan. Malah Lampard dan Makelele terlibat menghasilkan gol penyamaan Chelsea.
Daripada keempat-empat pemain ini, hanya Lampard masih akif bermain. Beliau kini bermain di New York City FC yang di bawah kendalian pengurus baru, Patrick Vieira.
Edu pula kini bekerja sebagai ahli lembaga pengarah Corinthians. Manakala Claude Makelele pula baru dilantik menjadi pengarah teknikal kelab Perancis, AS Monaco.
Pemain sayap – Fredrik Ljungberg, Robert Pires (Arsenal), Scott Parker, Damien Duff (Chelsea)
Claudio Ranieri tahu betapa bahaya ancaman sayap kiri Arsenal yang dibintangi gandingan Ashley Cole dan Robert Pires.
Jadi beliau mengarahkan Scott Parker untuk bermain di sayap kanan Chelsea untuk membantu Melchiot menangani bahaya Cole dan Pires.
Hanya selepas Arsenal mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, barulah Ranieri membawa masuk pemain sayap sebenar, Jesper Gronkjaer untuk bergandingan dengan Damien Duff dalam formasi 4-4-2 klasik.
Robert Pires kini bekerja sebagai duta Arsenal dan masih belum mengumumkan persaraan secara rasmi. Beliau masih kerap dilihat berlatih bersama pasukan senior Arsenal.
Fredrik Ljungberg juga turut kembali ke Arsenal sebagai jurulatih bawah-15 Arsenal.
Scott Parker pula masih bermain di Fulham dan pernah menyuarakan minatnya untuk menjadi pengurus pasukan. Damien Duff pula baru bersara pada hujung 2015 lepas.
Penyerang – Thierry Henry, Jose Antonio Reyes (Arsenal), Jimmy Floyd Hasselbaink, Eidur Gudjohnsen (Chelsea)
Dikenali sebagai mesin gol dan antara penyerang terbaik di dunia pada ketika itu, Thierry Henry jarang mensia-siakan peluang gol. Kecuali dalam perlawanan ini.
Henry bukan saja mensia-siakan 2 peluang keemasan, malah kelihatan sangat penat sehingga terpaksa digantikan oleh Dennis Bergkamp ketika Arsenal perlu mencari gol.
Jimmy Floyd Hasselbaink juga tenggelam, hasil persembahan cemerlang Sol Campbell. Beliau terpaksa digantikan oleh Hernan Crespo memandangkan Chelsea perlukan elemen bahaya di depan gol.
Sebaliknya bintang bahagian serangan kedua-dua pasukan jatuh kepada Jose Antonio Reyes dan Eidur Gudjohnsen – 2 penyerang yang masih bermain sehingga kini.
Reyes menjaringkan gol Arsenal. Manakala Gudjohnsen menghasilkan satu assist yang menyumbang gol Wayne Bridge.
Reyes kini masih bermain di Sevilla. Gudjohnsen pula aktif di liga China bersama pasukan Shijiazhuang Ever Bright.
Selepas bersara, Henry kini bekerja sebagai pundit Sky Sports sambil melatih skuad bawah-18 Arsenal. Hasselbaink pula bekerja sebagai pengurus QPR.
Baca juga: 1997 UEFA Champions League, Newcastle 3-2 Barcelona – Di Mana Mereka Sekarang?