Dua tonggak utama Terengganu musim ini iaitu Manuel Ott serta Akhyar Rashid tampaknya unggul di saingan ACC Shopee Cup 2024/2025, apabila mereka berada dalam senarai penjaring terbanyak kejohanan.
Tatkala prestasi kurang menentu dipamerkan pasukan itu di kejohanan tersebut pada awalnya, Sang Penyu kini perlahan-lahan cuba mencongak peluang untuk ke pusingan seterusnya.
Malah, dua daripada pemain Sang Penyu musim ini turut tersenarai selaku antara peledak berbisa kejohanan itu selepas mengharungi empat perlawanan.
Di posisi utama, Ott sudah berkongsi jumlah jaringan bersama peledak berbisa Buriram United iaitu Lucas Crispim apabila masing-masing sudah meledak empat gol secara keseluruhan.
Musim ini menyaksikan Ott diletakkan selaku pemain tengah serangan utama Sang Penyu dan beliau tampil cukup efektif daripada segi kreativiti mencipta peluang serta ketajaman di hadapan pintu gol.
𝐀𝐂𝐂 𝐒𝐇𝐎𝐏𝐄𝐄 𝐂𝐔𝐏 𝐓𝐎𝐏 𝐒𝐂𝐎𝐑𝐄𝐑𝐒 🚀
Manuel Ott : 4 Goals✅
Akhyar Rashid : 3 Goals✅#ACCShopeeCup#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/bPiUXdCCCV— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) February 3, 2025
Pemain kebangsaan Filipina itu meledak gol ketika Sang Penyu berhadapan Svay Rieng, Thanh Hoa FC, serta Shan United untuk mengumpul empat jaringan.
Bersama Terengganu, Ott secara keseluruhan sudah merekodkan enam gol bersama tiga bantuan jaringan daripada 29 penampilan musim ini.
Terarah kepada Akhyar Rashid pula, tonggak utama Harimau Malaya ini sudah pun mengumpul tiga gol dan berkongsi kedudukan bersama dua lagi pemain iaitu Leo Artur dan Van Do Le (Cong Ahn Hanoi FC) untuk berada di tempat kelima penjaring semasa terbanyak.
Menyertai Terengganu secara pinjaman awalnya daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar memberikan impak cukup besar di posisi serangan serta diikat terus oleh pasukan tersebut.
Sepanjang bersama Terengganu musim ini, pemain kelahiran Kedah itu sudah merekodkan lapan gol serta empat bantuan jaringan daripada 28 penampilan secara keseluruhan.
Malah Akhyar turut meledak tiga gol di saingan ACC Shopee Cup ketika Sang Penyu menghadapi cabaran Thanh Hoa FC serta Shan United selain satu bantuan jaringan turut direkodkan.
Berbaki beberapa lagi perlawanan, kedua pemain tersebut berupaya untuk menambah koleksi gol mereka serta terus mengukuhkan kedudukan di antara lima penjaring terbanyak.
Apapun, halangan paling getir wajib dihadapi dua pemain tersebut pada aksi esok untuk menentang wakil dari Thailand iaitu BG Pathum di gelanggang lawan.