2 Penyerang Utama Kedah Tak Tajam, Mungkin Kelibat Assifuah Pula Ditagih?

Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi antara pasukan tumpuan setakat ini menerusi ketajaman dua penyerang import mereka yang diragui selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super 2023.

Tampil dengan rombakan semula dalam barisan pemain, Kedah telah pun menandatangani dua penyerang import untuk skuad utama mereka iaitu Willian Lira serta Jonathan Balotelli musim ini.

Walaupun begitu, kedua pemain ini masih lagi tumpul di hadapan gawang dengan Lira hanya mampu menjaringkan dua gol, serta Balotelli meledak satu jaringan sahaja daripada lima perlawanan dihadapi.

Pemain paling dipersoalkan kini sudah tentu terarah kepada Lira, kerana beliau bermula dalam kesebelasan utama dan hanya menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti serta situasi bola mati.

Menerusi statistik dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Lira hanya mampu merekodkan tiga percubaan tepat sahaja daripada 414:36 minit aksinya di atas padang.

Secara keseluruhan, bekas penyerang Ventforet Kofu ini juga telah melepaskan 14 percubaan keseluruhan dengan kadar ketepatan 21.4 peratus.

Balotelli pula kali terakhir meledak gol ketika aksi pertama liga yang menyaksikan ketika itu Kedah menewaskan Perak dengan keputusan penuh 4-1 di gelanggang lawan, dan sehingga kini pemain kelahiran Brazil itu terus kemarau menghasilkan jaringan.

Untuk aksi seterusnya, mungkin Nafuzi Zain boleh merehatkan salah seorang penyerang utama Kedah untuk digantikan kepada seorang lagi pemain import mereka di skuad simpanan, Ebenezer Assifuah.

Assifuah setakat ini berjaya mempamerkan prestasi positif dalam saingan Piala MFL selepas merekodkan tiga jaringan daripada dua perlawanan dihadapi Kedah.

Jika dinilai daripada segi rekod, Assifuah sebenarnya mempunyai rekod lebih baik berbanding Lira dan Balotelli menerusi kelab lama diwakili, serta pengalaman di pentas antarabangsa.

Pemain berusia 29 tahun ini memiliki pengalaman yang sangat luas di Eropah bersama beberapa siri kejayaan turut ditempa bersama Ghana.

Tahun 2013 menjadi sesuatu yang sangat istimewa buat Assifuah, selepas kejayaan beliau membantu Ghana meraih gelaran ketiga terbaik untuk saingan Piala Dunia B-20 selain merekodkan selaku penjaring terbanyak kejohanan.

Untuk saingan African Youth Championship, Assifuah menjadi antara tunjang utama kekuatan Ghana untuk membantu pasukan tersebut mara ke final.

Penyerang yang berasal dari Accra itu juga pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah seperti Sion, Le Havre, dan Pau FC di Perancis.

Cuma, Assifuah mungkin tidak dipilih untuk skuad utama kerana memiliki rekod kecederaan pada musim lalu ketika dalam saingan Ligue 2 iaitu ACL sehingga pemain ini tidak beraksi untuk tempoh lama.

Walaupun tidak dikeliling pemain yang berkualiti tinggi untuk membuka ruang atau hantaran kearah gol, Assifuah tampil dengan sangat konsisten untuk meledak  jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut.

Apapun, keputusan terserah buat Nafuzi untuk memikirkan sendiri apa yang terbaik demi pasukan, dan tempoh cuti ini pastinya digunakan sebaik mungkin untuk beliau memperbaiki aspek penyudah Kedah.

Leave a Reply