2 Penggempur Berpengalaman PDRM Jadi Pertaruhan Penting Buat P. Maniam

Kelibat dua penggempur berpengalaman PDRM, Bruno Suzuki dan Ifedayo Olusegun jelas bakal menjadi senjata utama buat pasukan tersebut pada saingan Liga Super musim 2024/2025.

Apa tidaknya, kedua mereka sudah pun membuktikan ketajaman masing-masing ketika aksi kedua Liga Super lalu dengan Ifedayo cemerlang menyumbang dua gol serta Bruno bersama satu jaringan untuk mengetepikan Perak.

Kedua pemain ini sebenarnya bukan lagi asing dalam dunia bola sepak tempatan, apabila masing-masing sudah pun mempunyai reputasi tersendiri selaku penggempur berbisa.

Bruno tampil dengan rekod 10 gol bersama dua bantuan jaringan untuk menjadikan bintang kacukan Jepun-Brazil itu sebagai salah satu tunjang utama buat The Cops pada musim lalu.

Sementara Ifedayo pula tidak perlu diperkenalkan lagi apabila dirinya pernah unggul selaku penjaring terbanyak Liga Super suatu ketika dan musim lalu pemain kelahiran Nigeria itu tampil meledak 12 gol bersama satu bantuan jaringan bersama Kedah Darul Aman (Kedah).

Reputasi pemain di barisan hadapan PDRM musim ini menyaksikan mereka untuk terus tampil dengan elemen kejutan berhadapan dengan pasukan-pasukan gergasi lain dalam negara.

Malah, pengendali PDRM iaitu P. Maniam sendiri menganggap gandingan kedua bintang serangan itu mampu memainkan peranan lebih penting pada persaingan musim ini.

Walaupun digandingkan buat pertama kali dalam satu pasukan, Maniam jelas berpuas hati apabila kedua pemain tersebut tidak memerlukan masa lebih lama untuk mencapai persefahaman di atas padang.

“Ifedayo dan Bruno sudah lama di pentas liga kita dan mereka tahu peranan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam sesuatu perlawanan.

“Kedua-duanya masih memiliki naluri yang tinggi di hadapan gawang gol dan jika mendapat bantuan yang baik daripada rakan lain, saya yakin mereka boleh menjaringkan gol lagi selepas ini.

“Namun begitu, PDRM bukan semata-mata mengharapkan mereka berdua tetapi juga pemain lain untuk memainkan peranan sama dan bertindak proaktif di hadapan gawang lawan,” katanya menerusi laporan daripada Berita Harian.

Untuk aksi seterusnya, PDRM bakal melayan kunjungan daripada Penang pada Sabtu ini dan pastinya kelibat dua pemain serangan tersebut akan terus menjadi pertaruhan Maniam untuk mendapatkan keputusan positif.

Selain Bruno dan Ifedayo, PDRM turut diperkuatkan oleh penyerang tempatan iaitu Shahrel Fikri yang juga mempunyai reputasi baik dalam mencipta nama selaku penjaring gol.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN