Bola sepak Malaysia dijangka akan mengalami perubahan lebih ketara pada masa hadapan, dengan kini fokus mula diberikan kepada pemain-pemain luar yang memiliki pertalian darah untuk didaftarkan.
Sejak awal tahun lagi, para peminat sudah pun didedahkan dengan pelbagai nama pemain luar negara menerusi perkongsian laman FR Future Talents yang menyatakan mereka mempunyai pertalian darah bersama Malaysia.
Tidak hanya sekadar nama-nama biasa, laman tersebut turut memperkenalkan pemain yang dianggap berstatus bintang serta mempunyai reputasi cukup tinggi dari Eropah untuk didaftarkan.
Sebelum ini, nama pemain seperti Mats Deijl serta Wan Kuzain antara dijangka bakal menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat selepas ada laporan mendedahkan mereka sudah pun mempersiapkan segala dokumentasi diperlukan.
Kini, dua lagi nama pemain Eropah yang kini sedang beraksi di saingan England bersama Burnley iaitu Josh Brownhill bersama Zian Flemming juga dikatakan sedang menyiapkan proses dokumentasi untuk mewakili skuad kebangsaan.
“Kejutan yang bakal berlaku. Menerusi sumber terbaharu diterima, Josh Brownhill bersama Zian Flemming kini sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi dan dijangka mencipta penampilan sulung pada November ini.
“Sesuatu yang tidak dijangka kini bakal berlaku! Sementara itu, Josh Brownhill bersama Zian Flemming juga telah memberi ‘bayangan’ kepada kita sebelum ini,” ulas laman tersebut.
Jika kedua pemain tersebut sah menyertai Harimau Malaya pada November ini, maka ia bakal memberi tenaga tambahan cukup baik buat Pau Marti Vicente untuk menguruskan barisan pemain lebih berkualiti.
Kedua pemain ini mempunyai pengalaman serta prestasi cukup baik di Eropah serta memberi impak besar bersama Burnley di atas padang menerusi kualiti dimiliki mereka.
Malah, Brownhill juga sebelum ini berpengalaman beraksi di saingan tertinggi England iaitu English Premier League (EPL) serta menjadi tonggak utama buat pasukan tersebut menerusi gelaran kapten.
Sementara Zian Flemming pula dianggap mampu menjadi aset besar buat Malaysia kerana kemampuan beliau untuk bertindak selaku pemain tengah menyerang serta perancang berkualiti di atas padang.
Selain dua pemain tersebut, Malaysia juga memiliki beberapa lagi nama pemain berkualiti tinggi berpeluang untuk didaftarkan selaku pemain kebangsaan pada masa hadapan.
Ferdy Druijf (SK Rapid Wien), Morgan Rogers (Aston Villa), Marcus Tavernier (Bournemouth), Sem Schepperman (Heracles Almelo), dan beberapa nama lagi memiliki potensi untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa hadapan.