Kelibat dua calon pemain naturalisasi Harimau Malaya iaitu Bergson da Silva serta Manuel Hidalgo berjaya mempamerkan karakter penyerang berbisa kini bersama kelab masing-masing.
Terdahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025 setelah mereka menumbangkan cabaran Kuala Lumpur City (KL City) menerusi keputusan agregat 6-1.
A thunderbolt from Bergson! Pure power, an unstoppable goal. 💥⚽#WhatCanYouDo #TheTMJEffect#JDTforAll #LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/TbiyKyL6dA
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 22, 2024
Pada aksi suku akhir kedua itu, Bergson mempamerkan bisa beliau selaku penyerang utama kelab tersebut apabila beliau meledak dua jaringan peribadi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Sementara itu, Manuel Hidalgo pula buat pertama kali mencatat jaringan hatrik di saingan Piala Malaysia musim ini setelah pemain lincah itu turut berjaya membantu Sri Pahang mara ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kejayaan menewaskan Perak.
Beraksi di Temerloh, skuad Tok Gajah terpaksa berhempas pulas menerima tentangan sengit daripada lawan sebelum keputusan 4-3 secara agregat memisahkan kedua pasukan itu.
Tampil di kesebelasan utama selaku pemain sayap Sri Pahang, kelincahan Hidalgo jelas berjaya menghuru harakan pertahanan Perak terutama sekali pada babak separuh masa pertama.
Perjalanan positif dilakar kedua pemain tersebut bersama kelab masing-masing sudah tentu sedikit sebanyak menggembirakan hati peminat yang mahu prestasi mereka terus kekal sebelum menyarung jersi skuad kebangsaan.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail mengesahkan Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo dijangka bakal menjadi pemain naturalisasi Malaysia seterusnya untuk jangka masa pendek serta panjang.
Reputasi kedua pemain ini tidak boleh dipertikaikan lagi selepas impak positif telah diberikan mereka sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak beberapa musim lalu di posisi serangan.
Seperti kita lihat kini, posisi serangan negara antara masih menjadi isu utama dalam kalangan peminat atau pemerhati tempatan yang kurang berpuas hati daripada segi penyudah serta kreativiti walaupun sudah bertukar kejurulatihan serta pemain.
Konsistensi ditampilkan oleh siri serangan Harimau Malaya kini dianggap masih perlu diperbaiki secara keseluruhan jika mereka mahu melangkah lebih jauh pada masa hadapan terutama dalam saingan Piala Asia.
Melihat kepada pelan jangka masa pendek, proses menggunakan pemain naturalisasi dianggap cukup ideal kini dengan nama Bergson dan Hidalgo antara cadangan paling bersesuaian buat Malaysia.
Malah, posisi serangan Malaysia kini juga dianggap cukup menyedihkan selepas apa ditampilkan pasukan kebangsaan baru-baru ini sewaktu berdepan Singapura pada kejohanan Asean Championship 2024.
(Galeri) Mission accomplished 👏🏼
Aksi-aksi menarik dari suku akhir kedua Piala Malaysia antara Sri Pahang dan Perak.
Sri Pahang mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam 9 tahun dengan mengetepikan kebangkitan Perak di Temerloh. pic.twitter.com/AEw18NCCGE
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) December 22, 2024
Musim ini sahaja menyaksikan Bergson dan Hidalgo tampil cukup konsisten selaku tunjang utama serangan kelab masing-masing bersama sejumlah gol serta bantuan jaringan.
Semoga, perjalanan kedua pemain ini terus positif dan mampu memberi impak besar kepada bola sepak Malaysia jika mereka diberi peluang suatu hari nanti menyarung jersi skuad kebangsaan.