2 Anggota Skuad Perintis ‘Double Treble’ Kedah Bakal Bergabung?

Perintis 'Double Treble' Kedah Nafuzi Victor Andrag

Nama Nafuzi Zain mungkin kurang dikenang antara lagenda di Kedah sebagai sebahagian skuad ‘Double Treble’ yang dicipta pada 2007/08.

Jika tiada yang memulakannya, maka tidak akan terlakarlah rekod yang dicipta Sang Kenari pada tahun berikutnya. Siapa sangka, Nafuzi berada dalam skuad yang menjulang kejuaraan Liga Super 2006/07, Piala FA 2007 dan Piala Malaysia 2007. Beliau antara perintis sejarah baharu Kedah.

Tahun berikutnya, tanpa Nafuzi yang berhijrah ke Sabah (kini Sabah FC), Kedah mengulangi pencapaian itu dan melakar sejarah baharu Liga M.

Jadi, persekitaran dan suasana di negeri Kedah tidaklah terlalu asing bagi pengendali yang bakal menginjak ke usia 44 tahun itu pada Oktober depan.

Telah lama berkicau khabar angin tentang pengendali baharu Kedah untuk musim hadapan yang mengaitkan nama Nafuzi Zain sebagai calon hangat.

Dalam satu perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom sebelum ini, dapat dilihat seperti beliau memberi petanda Nafuzi bakal ke Kedah.

Sudah tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas memilih untuk tidak bersama Terengganu, beliau semakin hampir pasti akan ke Kedah.

Sang Kenari juga tampaknya belum mengumumkan identiti pengendali baharu dan dijangka ia akan didedahkan kepada umum pada esok.

Desas-desus perpindahan pengendali yang sinonim dengan ‘Nafuziball’ itu hangat diperkatakan sehingga mengundang komentar bekas pengendali skuad ‘Double Treble’ sendiri, Azraai Khor Abdullah kepada portal Majoriti.

Ia berikutan terdapat sebilangan penyokong yang dilihat tidak menyambut baik tentang kemungkinan pengendali Terengganu FC itu ke Kedah.

Azraai tiada masalah jika Kedah melantik Nafuzi kerana beliau sangat mengenali pengendali muda yang semakin meningkat naik namanya itu.

“Antara Cheng Hoe atau Nafuzi, saya tak boleh cakap. Bagi saya keputusan di tangan pengurusan. Dua-dua bekas pemain saya dan kedua-duanya pun memang layak untuk kendalikan Kedah.”

“Berdasarkan pencapaian dia [Nafuzi] di TFC, tiada masalah jika dia ke Kedah. Itu atas KDA sendiri nak lantik dia atau tidak. Kalau kelayakan tak payah buktikan apa-apa pun. Dah nampak keputusan dia. Kedah jumpa dia pun kalah.”

“Kalau Nafuzi masuk, pengurusan kena boleh penuhi permintaan dia. Kalau tak boleh, sama saja. Jangan salahkan Aidil apa yang berlaku, pengurusan perlu bertanggungjawab. Aidil tak dapat apa dia nak [iaitu] pemain-pemain yang dia idamkan.”

Walaupun beliau ‘memetik’ nama Cheng Hoe, seminggu selepas kenyataan itu dibuat, bekas pengendali Kedah itu disahkan menyertai Selangor FC.

Ini menjadikan hanya nama Nafuzi yang tinggal untuk diumum pengurusan Kedah sebagai pengendali baharu bagi mengharungi musim 2023.

Pada musim 2007, Azraai yang memasuki musim ke-4 bersama Kedah telah membawa masuk Nafuzi Zain dari Johor dan beliau antara 29 pemain yang melakar sejarah meraih tiga kejuaraan Liga Malaysia musim tersebut. Kapten pasukan, ketika itu. penolong jurulatih Kedah kini, Victor Andrag.

Berikut adalah senarai 29 pemain skuad Kedah musim 2006/07 (The Star):

Al-Hafiz Hamzah, Helmi Eliza Elias, Jamsari Sabian, Abd Hadi Hamid (Penjaga gol), Victor Andrag, Shafizan Hashim, Fazliata Taib, Sany Md Isa, Rafiz Abu Bakar, V. Thiru Murugan, L. Rajesh, Zulkifli Sulaiman, Sabree Abu, Bunyamin Omar, Bernard Huggins (pertahanan), Khyril Muhymeen, Mohd Redwan Nawi, Zamzuri Md Isa, Imbran Mohamad, Nafuzi Zain, Rosaidi Wahab, Baddrol Bakhtiar, Martin Sam Nelson (tengah), Samransak Kram, K. Soley, Hasmawi Hassan, Irme Mat, Mohd Shafik Jamal, Marlon Alex James (penyerang).

Jadi, Nafuzi dan Victor tidaklah asing antara satu sama lain kerana pernah bersama menyarung jersi Kedah waima hanya semusim buat Nafuzi.

Jika benar desas-desus yang berlegar ketika ini, ia mungkin gabungan menarik antara kedua-duanya yang kini membina kerjaya sebagai jurulatih.

Pengurusan Kedah akan membuat pengumuman tersebut pada jam 11.00 pagi esok di House of Sang Kenari, Alor Setar dan akan dihadiri oleh pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Selain Victor, salah seorang lagi bekas rakan sepasukannya yang kini berada di barisan kejurulatihan pasukan adalah Abdul Hadi Abdul Hamid.

Leave a Reply