18 Hari Selepas Malaysia Diaibkan Di Piala AFF 2020, Presiden FAM Tidak Seharusnya ‘Menghilangkan Diri’

Hamidin Mohd Amin FAM Piala Dunia

Sejak kecil lagi, kita telah diajar oleh ibu bapa atau orang tua kita tentang adab dan ‘common sense’. Antaranya adalah memohon maaf apabila melakukan kesalahan atau berdepan dengan kegagalan atas kesilapan sendiri.

Ia merupakan perkara asas yang seharusnya menjadi pegangan kita dalam menjalani kehidupan. Dalam sesetengah keadaan perkataan ‘maaf’ itu mungkin sukar untuk diungkap, tetapi ia ternyata memberikan kesan yang cukup besar kepada emosi pelbagai pihak.

Malangnya budaya ini tidak berlaku dalam sebuah organasasi penting seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tanggal 19 Disember 2021 menjadi salah satu ‘detik hitam’ dalam sejarah bola sepak negara apabila skuad Harimau Malaya diaibkan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

Selepas bermula baik dengan menewaskan Laos dan Kemboja, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akhirnya terpaksa menelan hakikat pahit tentang betapa rapuh dan tempangnya barisan skuad negara yang dibawa ke Singapura selepas ditundukkan VIetnam 3-0 sebelum ‘diganyang’ 4-1 oleh Indonesia.

Lantas ia melahirkan kekecewaan besar buat penyokong setia skuad kebangsaan untuk melihat pasukan mereka ‘bungkus awal’ meskipun hadir ke negara seberang tambak itu dengan reputasi selaku naib juara untuk edisi sebelumnya.

Tetapi ada satu persoalan besar. Selepas 18 hari sejak berlaku peristiwa memalukan buat Malaysia di pentas antarabangsa, ke mana hilangnya kelibat Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden FAM?

Persoalan ini turut berlegar dalam kalangan pengamal media.

Sebelum dan semasa kejohanan, wajahnya kerap kali muncul di akaun media sosial rasmi FAM. Namun setelah diteliti satu demi satu hantaran sejak 18 hari yang lalu, tiada lagi kelibatnya termasuklah ketika sesi pengenalan Pengarah Teknikal FAM yang baharu pada Rabu.

Lebih memalukan lagi, dalam sesi yang berlangsung di Wisma FAM tersebut, wartawan yang hadir dilaporkan telah diberi ‘amaran’ supaya tidak bertanya soalan yang tidak berkaitan dengan Pengarah Teknikal seolah-olah mahu menyekat kebebasan pihak media.

Ini adalah topik mengenai kepimpinan. Sebagai ‘orang nombor satu’ dalam sebuah badan induk bola sepak negara, beliau seharusnya menampilkan ciri-ciri atau watak sebagai seorang pemimpin sejati.

Adakah begitu sukar untuk Hamidin membuat satu coretan ringkas bagi menyatakan permohonan maaf di atas kegagalan skuad kebangsaan di bawah pengurusannya?

Sebaliknya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sehari selepas kegagalan skuad negara di Singapura, beliau sekadar mengarahkan pengurusan untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan analisis lengkap mengenai prestasi skuad Harimau Malaya.

Adakah Hamidin mahu menunggu laporan bedah siasat itu selesai terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk memohon maaf apabila ia terbukti berlaku disebabkan kelemahan pihaknya?

Tidak cukupkah segala carca marba yang berlaku membuktikan kegagalan pengurusan tertinggi FAM dalam menguruskan skuad negara dengan sebaiknya?

Ia telah pun bermula seawal pemilihan serta jumlah slot 30 pemain yang tidak dimanfaatkan sehingga memberikan masalah besar kepada skuad negara apabila terdapat pemain yang dikuarantin dan mengalami kecederaan.

Sebagai seorang pemimpin buktikanlah kredibiliti anda dalam mendepani kegagalan besar seperti ini. Bukan ‘menghilangkan diri’.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN