Cristiano Ronaldo sekali lagi telah membuktikan yang beliau adalah pemain yang cukup berbahaya di hadapan pintu gol.
Dalam aksi pembukaan Serie A, pasukan Juventus diwakili beliau berjaya mencatatkan 14 percubaan ke arah pintu gol – empat daripadanya adalah percubaan tepat.
Apa yang menariknya, separuh daripada 14 percubaan tersebut adalah dari Ronaldo sendiri!
Walaupun begitu, beliau gagal mendapatkan gol sebaliknya gol dari Giorgio Chiellini menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Minggu pertama Serie A turut menjadi detik yang baik buat pemain Napoli – Lorezon Insigne.
Dalam kemenangan dramatik Napoli ke atas Fiorentina di Florence, Insgine yang menjaringkan dua gol turut terlibat dalam semua jaringan dihasilkan oleh Napoli.
Mereka menyumbat empat gol ke gawang Fiorentina dengan Insigne menjaringkan dua gol serta menghasilkan bantuan gol dengan jumlah yang sama.
Ini adalah kali pertama beliau terlibat dalam penghasilan empat gol beliau bersama-sama Napoli.
Kegembiraan sudah pasti bersama Juventus dan Napoli di minggu pertama, tetapi tidak buat AC Milan yang tewas di tangan Udinese.
Lebih memilukan, pasukan yang pernah merangkul 7 kali kejuaraan Eropah itu gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Udinese dalam kekalahan 1-0 mereka.
Situasi ini adalah kali pertama berlaku buat AC Milan selepas kali terakhir berlaku pada 2017. Nampaknya, latihan penyudah perlu dilakukan dengan lebih kerap lagi oleh mereka.
Dalam masa yang sama, Edin Dzeko terus membuktikan yang beliau adalah pemain yang cukup ampuh ketika melakukan serangan.
Sebagai penggempur utama AS Roma, beliau kini telah menjaringkan sebanyak tiga daripada lima kali penampilan beliau bersama kelab itu ketika aksi pembukaan Serie A.
Beliau menjaringkan gol kedua AS Roma pada minit ke-30 dalam perlawanan yang menyaksikan mereka terikat 3-3 dengan Genoa.
Terakhir, Romelu Lukaku sudah kembali menemui sentuhan jaringannya!
Memulakan hidup baharu bersama Internazionale, Lukaku cemerlang dalam penampilan pertama bersama pasukan itu apabila menyumbang gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Lecce.
Apa yang menariknya, gol itu hadir menerusi percubaan pertama beliau dalam perlawanan tersebut!