Setiap tahun pasti kita akan mendengar adanya rekod baharu yang berjaya dicipta, malah dipecahkan dalam sukan bola sepak baik dari pasukan mahupun secara individu.
Tahun 2017 baru sahaja meninggalkan kita. Tanpa disedari ada 12 rekod yang telah berjaya diperbaharui. Di sini, kami senaraikan kejayaan yang berjaya dikecapi dengan memecah rekod dunia sukan bolasepak sepanjang tahun 2017.
1 . Menamatkan Badi Kekalahan Di Anoeta
Barcelona merupakan gergasi bolasepak di pentas Eropah. Ini fakta yang tidak dapat diragukan lagi. Tetapi tahukah anda, Estadio Municipal de Anoeta, iaitu stadium rasmi Real Sociedad merupakan tempat paling sukar bagi Barcelona mencapai 3 mata berharga?
Jika tibanya giliran Barcelona berkunjung ke Anoeta, mimpi buruk hampir pasti menanti kelab yang berpangkalan di Catalan itu. Mana tidaknya. Sejak tahun 2007, Barcelona belum pernah mencapai sebarang kemenangan di Anoeta.
Sejak dari tahun itu, Real Sociedad amat kebal di laman sendiri ketika menentang Barcelona. Sehinggalah tibanya tahun 2017, pada permulaan Januari, Barcelona telah berjaya memecahkan rekod badi kekalahan mereka di Anoeta.
Barcelona berjaya menewaskan Real Sociedad dengan keputusan 0-1 hasil jaringan Neymar melalui sepakan penalti dalam saingan Copa del Rey. Kemenangan tersebut telah mengakhiri badi kekalahan mereka selama 10 tahun di Anoeta.
2. Gelaran ke-12 Real Madrid
Sejak meraih gelaran ke-10 kejuaraan trofi Liga Juara-Juara pada musim 2013/14 di Lisbon, Real Madrid seakan-akan tidak kehausan untuk mencapai lebih banyak kejayaan di pentas Eropah.
Meskipun tahun berikutnya mereka terlepas gelaran juara keatas Barcelona, Los Blancos kembali semula mengegar dunia bolasepak pada musim 2015/16 dengan berjaya merampas semula gelaran tertinggi di Eropah itu apabila berjaya menewaskan Atletico Madrid di pentas akhir pada penentuan sepakan penalti.
Musim 2016/17 terus menjadi tahun gemilang buat Real Madrid apabila mereka sekali lagi berjaya mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara yang dimenanginya tahun lepas. Sekaligus telah berjaya mencipta rekod baru dengan menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan gelaran itu sejak Liga Juara-Juara dimulakan pada 1992.
Selepas 18 tahun kejohanan itu ditubuhkan, Real Madrid telah menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak 12 kali.
3. Persembahan Cemerlang Harry Kane
Jika ada dikalangan peminat bola sepak yang masih mengelarkan Harry Kane sebagai pemain “One Season Wonder” ternyata tanggapan mereka itu silap.
Aksi pemain berusia 24 tahun itu kini lebih konsisten, walaupun ada kalanya kurang bekesan apabila bertemu dengan empat pasukan teratas EPL.
Prestasi Kane semakin cemerlang. Jaringan peribadinya juga turut bertambah. Saat ini, Kane sudah berjaya mencetak 56 gol dalam semua pertandingan termasuk ketika mewakili England di peringkat antarabangsa.
Lebih menarik, Kane menutup tirai 2017 dengan jumlah jaringan terbanyak EPL.
Penyerang England tersebut telah berjaya memecahkan rekod yang dipegang selama 22 tahun oleh Alan Shearer, apabila berjaya menjaringkan 37 gol secara peribadi bagi saingan liga dalam tempoh satu tahun.
Selain itu, Kane juga telah berjaya mencipta nama sebagai penjaring hatrik terbanyak dalam sejarah EPL, sekaligus meletakkan namanya setaraf dengan beberapa pemain terdahulu yang pernah mewarnai liga berprestij di England seperti Thierry Henry dan Michael Owen.
Lebih membanggakan peminat bolasepak di England apabila, Harry Kane telah berjaya mengetepikan Ronaldo dan Messi sebagai penjaring terbanyak di Eropah sejak 2009 pada tahun lalu.
4. Jaringan Lionel Messi
Setiap tahun, Lionel Messi tidak pernah berhenti memecahkan rekod. Pada tahun 2017, ketika usianya sudah mencapai 30 tahun, ianya tidak menjadi penghalang bagi Messi untuk kembali mencipta rekod peribadi.
Pada Disember 2017, Messi telah berjaya membantu pasukannya menjaringkan 1 gol dengan menewaskan Real Madrid 3-0 dalam pertembungan El Clasico.
Dengan jaringan gol tersebut, Messi menjadi pemain yang telah menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah bola sepak Eropah untuk satu kelab. Messi memecahkan rekod 525 jaringan gol melepasi rekod yang telah dicipta Gerd Muller ketika bersama Bayern Munich.
Tidak hanya itu, jaringan tersebut merupakan jaringan ke-15 nya di Santiago Bernabeu, yang juga merupakan kubu kuat Real Madrid. Buat masa ini, tidak ada lagi pemain lawan yang mampu melakukan jumlah jaringan sebanyak itu di Madrid.
Sepanjang tahun 2017, Messi telah mencetak 54 jumlah jaringan gol, mengatasi Ronaldo yang mencetak 53 jaringan gol sepanjang tahun 2017.
5. Rekod Gol Ronaldo Dalam Liga Juara-Juara Eropah
Disaat usianya sudah mencecah 32 tahun, Cristiano Ronaldo masih mampu membantu pasukannya dengan mencetak banyak jaringan gol. Dalam masa yang sama beliau turut berjaya mencipta rekod peribadi tersendiri.
Rekod baru yang berjaya diciptanya pada tahun 2017 adalah ketika beraksi dalam kejohanan Liga Juara-Juara, ketika Real Madrid menentnag APOEL pada November 2017.
Real Madrid berjaya menewaskan APOEL dengan keputusan 0-6. Dua daripada gol tersebut dihasilkan oleh Cristiano Ronaldo.
Dengan dua gol tersebut, Ronaldo telah berjaya menambah koleksinya jaringan peribadinya dalam Liga Juara-Juara bagi tempoh satu tahun.
Ronaldo telah berjaya menjaringkan 18 gol, sekaligus telah memecahkan rekod yang berjaya dilakukan sebelum ini dengan mengumpul 16 gol pada tahun 2015.
6. Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Manchester United
Ketika masih bersama Manchester United pada musim 2016/17, Wayne Rooney telah berjaya memecahkan rekod jumlah jaringan kelab tersebut pada awal Januari 2017 ketika menentang Stoke City di EPL.
Rooney berjaya menyelamatkan bekas pasukannya itu dari kekalahan ketika itu, dengan menjaringkan satu gol melalui tendangan bebas dari luar kotak penalti. Jaringan tersebut juga telah berjaya mencatatkan rekod baru bagi dirinya.
Jaringan tersebut telah mengangkat nama Rooney selaku penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Manchester United yang dipegang ketika itu oleh Sir Bobby Charlton.
Rooney telah berjaya menjaringkan 250 gol untuk The Red Devils sejak beliau menyarung jersi pasukan itu pada tahun 2004.
7. Penghijrahan Neymar Ke PSG
Pada dua musim yang lalu, Manchester United telah membawa masuk Paul Pogba dari Juventus dengan harga perpindahan hampir £89 juta. Perpindahan tersebut tercatat sebagai rekod perpindahan tertinggi dalam sejarah bolasepak ketika itu.
Namun setahun selepas itu, Paris Saint-Germain telah mengejutkan dunia bolasepak apabila membeli Neymar dari Barcelona dengan wang perpindahan bernilai €222 juta atau bersamaan dengan £197 juta.
Dengan pembelian Neymar, PSG telah memecahkan rekod pembelian paling tinggi dalam sejarah bola sepak dunia.
Harga setinggi itu amat sulit untuk diterima akal fikiran, meskipun dunia mengetahui Neymar mempunyai kualiti pemain yang hebat.
Dengan harga tersebut, diramalkan inflasi harga bagi pemain bolasepak bakal meningkat dari tahun ke tahun mendatang.
8. Rekod Tanpa Kalah Madrid
Sebelum pretasi Real Madrid merudum pada permulaan La Liga bagi musim 2017/18, mereka tampil gemilang sepanjang musim 2016/17. Rekod demi rekod berjaya dicipta oleh pasukan tersebut.
Mereka berjaya mencipta rekod baharu bola sepak Sepanyol apabila tidak tewas 40 perlawanan dalam semua kejohanan selepas bangkit daripada ketinggalan dengan mengikat Sevilla 3-3 dalam perlawanan kedua peringkat kalah mati Copa del Rey (Piala Raja Sepanyol).
Skuad kendalian Zidane telah berjaya memecah rekod seteru utama mereka Barcelona ketika pasukan itu sebelum ini mencatakan 39 kemenangan pada musim sebelumnya.
9. Rekod Gol Kylian Mbappe
Baru berusia 18 tahun, Mbappe sudah berjaya mencatatkan rekod sebagai menjaring gol termuda dalam kejohanan Liga Juara-Juara eropah.
Kylian Mbappe mencipta sejarah Liga Juara-Juara apabila menjaringkan gol dalam empat perlawanan di peringkat kalah mati menerusi kemunculan pertamanya, ketika membantu AS Monaco membenam Borussia Dortmund.
Mbappe telah merekodkan 12 gol dalam kancah Ligue 1 pada musim ini, turut muncul sebagai pemain termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara untuk menjaringkan lima gol dalam kejohanan itu untuk memperkenalkan dirinya di pentas yang lebih besar.
Pemenang Liga Juara-Juara dengan Real Madrid sebanyak tiga kali, Raul, berusia 41 hari lebih tua berbanding Mbappe ketika pemain Sepanyol itu menjaringkan lima gol dalam pertandingan itu.
Selain itu, Mbappe juga menjadi pemain keenam yang menjaringkan gol dalam empat kemunculan kesebelasan utama awalnya di pentas Eropah sejak Diego Costa melakukannya pada 2014.
10. Gol Sergio Aguero
Enam tahun bermain bersama Manchester City, penyerang Argentina ini sudah berjaya merangkul banyak trofi kejuaraan bersama skuad The Citizen.
Manchester City yang bermula cemerlang pada musim 2017-18 menyaksikan Sergio Aguero muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kelab Inggeris tersebut apabila meledak gol penting ketika menang 4-2 ke atas Napoli.
Kemenangan itu mengesahkan tempat buat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara, sebagai juara Kumpulan F.
Dalam aksi tersebut, Aguero itu meledak gol ke-178 dirinya untuk City dalam 263 penampilannya bersama pasukan, mengatasi rekod Eric Brook dan Tom Johnson.
Disamping itu juga, Aguero membantu City menjadi pasukan England pertama yang berjaya memenangi perlawanan Eropah di Stadium San Paolo iaitu gelanggang keramat Napoli.
11. The Citizen Cipta Rekod Baru Di EPL
Gagal meraih sebarang trofi ketika musim 2016/17, persembahan Manchester City kembali menggila pada musim baru ini.
Kelab kendalian Pep Guardiola telah mencatat rekod baru Premier League menerusi kemenangan ke-19 apabila menewaskan Newcastle United 1-0 sebelum mereka seri 0-0 bertemu Crystal Palace.
Prestasi luar biasa City musim ini dengan mencatat 19 kemenangan dalam 21 perlawanan merupakan permulaan terbaik pernah dicatatkan dalam sejarah Premier League
Selain itu, kemenangan 4-0 yang diraih ketika berkunjung ke selatan Wales bertemu Swansea City pada perlawanan ke-15, telah memadamkan rekod 14 kemenangan berturut-turut Arsenal di pertandingan yang sama pada 2002.
12. Rekod tanpa kalah Juventus di Turin
Sebelum tewas mengejut keatas Lazio dengan keputusan 1-2, Juventus sebelum ini merupakan pasukan yang paling sukar untuk ditewaskan di laman sendiri.
Dua jaringan Ciro Immobile pada babak kedua perlawanan membuatkan Lazio memberikan penyandang juara Serie A, Juventus kekalahan pertama di laman sendiri buat pertama kali sejak Ogos 2015 dan menamatkan rentetan 38 kemenangan dan tiga seri buat juara enam kali berturut-turut Serie A itu.
Selama dua tahun, Bianconeri tidak pernah tumbang di laman sendiri dengan menghadapi 57 perlawanan dan 41 diantaranya dalam saingan Serie A.
Namun, kekalahan keatas Lazio pada tahun 2017, telah mengakhiri rekod gemilang gergasi Turin itu di Stadium Juventus.
Penutup
Anda mempunyai rekod lain yang tidak tersenarai di atas? Atau rekod manakah yang paling anda kagumi? Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.