12 Cerita Menarik (Sepanjang 2 Musim Lepas) Tentang Bola Sepak Scotland Yang Perlu Anda Tahu

Bola sepak Scotland – selain Celtic dan Rangers, tak banyak yang peminat bola sepak Eropah di Malaysia boleh katakan tentang subjek ini. Kecuali bagi seorang penulis kami, Nazreen Izahar yang meminati Aberdeen.

Tetapi sebenarnya, bola sepak Scotland juga mempunyai rencahnya tersendiri. Rencah yang menarik. Jadi kami sediakan cerita-cerita menarik tentang bola sepak Scotland sepanjang 2 musim lepas untuk anda kenal-kenal.

Nikmatilah.

1. Pemain sayap Aberdeen terjun ke sungai selepas kemenangan ke atas Partick Thistle. Beliau terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba 90 minit kemudian.

Selepas kemenangan 4-3 Aberdeen di halaman Partick Thistle, Gary Mackay Stephen keluar ke kelab malam di Glasgow bersama rakan-rakannya untuk meraikan kemenangan tersebut. Beliau terlibat dalam pergaduhan sebelum terjun ke Sungai Kelvin untuk menyelamatkan diri.

Beliau diselamatkan oleh pasukan bomba pada jam 3 pagi dan mendapat rawatan hospital kerana hipotermia.

2. Ross County ‘terpadam’ laman web sendiri.

Sebelum perlawanan menentang Celtic, penyokong Ross County menghadapi kesukaran membeli tiket perlawanan kerana ‘seseorang di kelab telah terpadam segala kandungan laman web’. 4 hari kemudian, laman web Ross County kembali beroperasi seperti biasa.

3. Akaun Twitter Inverness ‘like’ tweet video Pornhub

Kontroversi muncul apabila pengurus akaun rasmi Twitter Inverness tertekan ‘like’ tweet video Pornhub. ‘Like’ tersebut segera diundurkan tetapi sempat direkod secara visual oleh penyokong kelab.

4. Penyanyi Rod Stewart membuat cabutan undian Scottish Cup dalam keadaan mabuk di siaran langsung TV

Mengabai salam tangan Presiden Persatuan Bola Sepak Scotland sebelum mencubit punggung beliau secara langsung di TV, Sir Rod Stewart jelas mabuk ketika melakukan cabutan undian Scottish Cup pada Januari 2017 lepas.

5. Penyerang Rangers bergaduh dengan budak sekolah yang mengutuk beliau

Berang dengan seorang budak sekolah yang memanggil beliau ‘shite’ di luar restoran, Martyn Waghorn mengambil keputusan untuk mebela dirinya dengan cara paling ‘matang’ – mengajak budak tersebut bergaduh.

6. Pengurus Motherwell mencarut kepada penyokong Aberdeen selepas dibuang padang oleh pengadil.

Ketinggalan 0-6 kepada Aberdeen, pengurus Motherwell, Mark McGhee kemudiannya dibuang padang oleh pengadil. McGhee kemudiannya mengambil tempat di tempat duduk penyokong sebelum mencarut kepada penyokong Aberdeen.

McGhee sebelum ini pernah mengurus Aberdeen pada musim 2009/2010. Tetapi di sana, beliau dianggap pengurus paling teruk dalam sejarah Aberdeen. Di bawah pengurusan beliau, Aberdeen pernah kalah 0-9 kepada Celtic – rekod kekalahan terbesar dalam liga Scotland sehingga hari ini.

7. Pengurus Rangers buat headstand ketika kekalahan 1-2 kepada Dundee

Kecewa dengan kegagalan penyerangnya menyudahkan peluang, Graeme Murty melakukan ‘headstand’ ala-ala penari hip-hop ketika kekalahan 1-2 pasukannya kepada Dundee.

8. Penjaga garisan liga Scotland muntah ketika perlawanan berlangsung

Penjaga garisan Scottish Premier League, Andrew McWilliam muntah secara tiba-tiba ketika mengadili perlawanan liga antara Kilmarnock vs Dundee. Kemungkinan beliau ‘minum’ banyak sangat pada malam sebelumnya.

Pengadil kemudiannya ‘bergurau’ dengan memberi kad merah kepada penjaga garisannya.

9. Bola tersasar ke tempat duduk penyokong, penyokong mengutip bola dan terus lari keluar dari stadium

Ketika perlawanan antara Rangers vs Aberdeen, seorang penyokong mengutip bola yang tersasar ke tempat duduk penyokong sebelum berlari keluar dari stadium dengan bola tersebut.

10. Celtic keluarkan pekeliling minta penyokong mandi sebelum datang ke stadium

Barangkali tak ramai penyokong Celtic yang suka mandi, kelab mereka terpaksa mengeluarkan pekeliling yang meminta semua penyokongnya untuk mandi sebelum datang ke stadium.

Ini berikutan banyak penyokong yang mengadu bahawa badan penyokong Celtic berbau busuk.

11. Sky Sports tertipu dengan berita ketibaan pemain baru Aberdeen, Yerdäs Selzavön

Untuk pengetahuan anda, ‘yer da sells Avon‘ adalah ejekan popular di Scotland yang bertujuan untuk memalukan subjek ejekan.

Sekumpulan penyokong Aberdeen membuat akaun Twitter palsu Aberdeen dan mengumumkan ketibaan pemain baru dari Turki yang bernama Yerdäs Selzavön. Sky Sports kemudiannya membuat laporan rasmi tentang berita ini di laman web mereka.

12. Stenhousemuir umum ketibaan 2 pemain baru di restoran McDonald’s

Stenhousemuir, pasukan divisyen ke-4 Scotland mengumumkan ketibaan 2 pemain barunya, Michael Dunlop dan Ross Dunlop di restoran McDonald’s sekitar kawasan komuniti mereka.

Sumber:

1. Press Association (2017). Aberdeen’s Gary Mackay-Steven rescued from river shortly before 3am. The Guardian. https://www.theguardian.com/football/2017/aug/28/aberdeen-gary-mackay-steven-rescued-river-kelvin-glasgow-3am

2. Guardian sport (2016). Ross County ticket sales for Celtic match thrown into chaos after website deleted. The Guardian. https://www.theguardian.com/football/2016/apr/19/ross-county-website-deleted-ticket-sales-celtic

3. Sport staff (2017). Inverness launch investigation after official club Twitter account likes PornHub video tweet. Independent. http://www.independent.co.uk/sport/football/news-and-comment/pornhub-tweet-twitter-inverness-caledonian-thistle-porn-sex-video-liked-scottish-football-a7865436.html

4. Guardian sport (2017). Sir Rod Stewart rocks Scottish Cup fifth round draw with bizarre antics. The Guardian. https://www.theguardian.com/football/2017/jan/22/rod-stewart-scottish-cup-draw-antics

5. ROSS MCCAFFERTY (2017). Watch Rangers striker Martyn Waghorn confronting SCHOOLBOY after being called s***e. Daily Record. http://www.dailyrecord.co.uk/news/scottish-news/watch-rangers-striker-martyn-waghorn-9274053

6. Staff writer (2017). Video: Mark McGhee unhappy as fan films him being sent off. The Scotsman. http://www.scotsman.com/sport/football/teams/motherwell/video-mark-mcghee-unhappy-as-fan-films-him-being-sent-off-1-4368108

7. Callum Davis (2015). ‘Smelly’ Celtic fans told to improve their personal hygiene by club official. Telegraph. http://www.telegraph.co.uk/sport/football/teams/celtic/11869778/Smelly-Celtic-fans-told-to-improve-their-personal-hygiene-by-club-official.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN