Bekas pemain Liverpool, Mark Lawrenson percaya The Reds tidak akan berdepan kesukaran untuk membawa masuk pemain bintang ke Anfield pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Menurut Lawrenson, beliau yakin ‘pengaruh’ Jurgen Klopp di Liverpool akan menarik minat lebih ramai pemain bintang untuk menyertai kelab tersebut.
Menerusi temubual bersama The Irish Time, Lawrenson yang pernah mewakili Liverpool sekitar tahun 80an itu berkata, gaya permainan yang telah diterapkan oleh Klopp dan cara pengurus itu mengendalikan para pemain telah memberi kesan yang positif kepada kelab.
Oleh itu, beliau menjangkakan Liverpool tidak akan berdepan masalah dalam usaha untuk memikat pemain yang diinginkan mereka selepas ini.
Dalam pada itu, Lawrenson turut mengakui bahawa Klopp adalah seorang pengurus yang hebat, malah beliau turut menganggap bahawa Klopp adalah insan paling sempurna untuk kelab itu.
“Dia (Jurgen Klopp) hebat. Dia benar-benar sempurna untuk kelab ini.”
“Saya fikir semua pemain di dunia sedang melihat Liverpool pada masa ini. Saya juga yakin mereka berfikir bahawa ‘Wow, saya mahu bermain untuk Klopp’.”
“Klopp mempunyai nilai jualan yang hebat untuk kelab ini. Kehadirannya menarik perhatian ramai pemain dan saya yakin mana-mana pemain mahu bermain di bawah kendaliannya. Saya sendiri berusia 61 tahun pun ingin dilatih olehnya,” kata bekas pemain kebangsaan Ireland itu.
Magis Klopp
Bercakap mengenai perlawanan bertemu Barcelona, Lawrenson masih tidak percaya Klopp dan para pemain berjaya bangkit melakar kemenangan keatas gergasi Sepanyol itu di Anfield.
Beliau bagaimanapun akui bahawa pengaruh Klopp antara faktor utama mendorong kepada kejayaan Liverpool itu.
Menurutnya, Klopp memiliki magisnya yang tersendiri, di mana pengendali berusia 50 tahun itu mampu melakukan sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan.
“Dia sedang menciptakan sesuatu yang sangat istimewa di Liverpool. Pada hari Selasa malam kelmarin (bertemu Barcelona), dia telah berjaya mencipta satu malam yang luar biasa.”
“Dia telah berjaya menghadirkan malam yang tiada dunia (tiada harapan). Dia berjaya mempersembahkan gaya permainan yang hebat di malam impian.”